Wednesday, January 19, 2011

Bagaimana cara untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama?

Beberapa tindakan yang mampu dilakukan untuk mengelak diri daripada mengulangi kesalahan yang sama untuk kedua kalinya. Antara langkah-langkah itu adalah:

i. Segera bertaubat untuk memotong mata rantai dosa dan mengiringi perbuatan dosa dengan kebaikan yang akan menghapuskan dosa.

Rasulullah bersabda:

“Seandainya kamu melakukan perbuatan dosa sehingga dosa –dosamu mencapai setinggi langit, kemudian kamu bertaubat nescaya Allah akan mengampuninya (menerima taubatmu)”. (HR Baihaqi)

Sabda Rasulullah:

“Seorang yang bertaubat dari suatu dosa seakan-akan tidak pernah memiliki dosa.” (HR Ibnu Majah).

Beliau bersabda:

“Apabila kamu berbuat dosa, maka lakukanlah kebaikan (untuk menghapuskannya.” (HR Baihaqi)

ii. Mengukuhkan azam untuk memperbaiki diri.

Penyebab utama seseorang menjadi lemah di hadapan dosa-dosa adalah kerana ketiadaan atau lemah tekad untuk menghidarinya sehingga mudah untuk melakukan dosa secara berulang kali.

Firman Allah dalam Surah Thaha ayat 115 yang bermaksud:

"Dan Sesungguhnya Telah kami perintahkan [*] kepada Adam dahulu, Maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak kami dapati padanya kemauan yang kuat."

[*] perintah Allah Ini tersebut dalam ayat 35 surat Al Baqarah yang bermaksud:

"Dan kami berfirman: "Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik dimana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini[**], yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim."

[**] pohon yang dilarang Allah mendekatinya tidak dapat dipastikan, sebab Al Quran dan Hadist tidak menerangkannya. ada yang menamakan pohon khuldi sebagaimana tersebut dalam surat Thaha ayat 120, tapi itu adalah nama yang diberikan syaitan.

iii. Mencari lingkungan yang kondusif untuk membaiki diri. Apabila berada di kalangan orang yang baik-baik maka orang akan rasa malu untuk melakukan dosa.

Itulah hikmah orang yang membunuh 100 orang dianjurkan untuk berhijrah ke tempat lain yang didiami oleh orang yang baik-baik dan rajin beribadah kepada Allah.

iv. Memohon perlindungan daripada Allah dan memperbanyakkan zikir. Seorang perlu memohon perlindungan daripada syaitan. Surah Al ‘Araf ayat 201 yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya."

Diantara sifat orang mukmin yang mendapat kelazatan iman ialah sentiasa menyedari bahawa maksiat adalah cabang kepada kekufuran. Kekufuran akan menyebabkan ia tercampak ke dalam neraka.

Sabda Rasulullah:

“Ada tiga sifat, barangsiapa yang pada dirinya terdapat 3 sifat ini, ia akan merasakan kelazatan iman: .... ia membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkan dirinya dari kekafiran sebagaimana ia membenci apbila dilemparkan ke dalam api neraka.” (Muttafaqun ‘Alaih).

Hendaklah kita mempelajari segala hal yang berkaitan dengan dosa dan akibat buruk serta negatif daripada perbuatan dosa tersebut agar berwaspada dan menjauhkan diri daripada dosa berkenaan.

Seorang mukmin yang cerdas ialah orang yang mengambil pengajaran daripada kesalahan diri sendiri. Tetapi lebih cerdas lagi jika mengambil pengajaran daripada perbuatan atau kesalahan orang lain agar tidak melakukan kesilapan atau kesalahan yang sama.

Pengajaran dari kisah orang Eskimo yang menggunakan kaedah yang aneh untuk melawan serigala. Mereka merendam pisau yang tajam di dalam darah. Kemudian pisau yang bersalut dengan darah tadi diletakkan di kawasan yang ada serigala. Serigala yang mempunyai deria bau yang kuat akan mencari dan menjilat pisau yang mempunyai kesan darah tersebut. Serigala sangat suka dan merasa nikmat atau lazat menjilat darah walaupun perbuatan itu sangat bahaya dan memudatkan. Akhirnya lidah serigala itu akan luka dan darah keluar sehingga membawa maut.

Begitulah juga maksiat yang dirasakan lazat oleh pelakunya tetapi ia memberi kesan yang buruk kepada dirinya di dunia dan akhirat.

Rujukan:

Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah, Refleksi 40 Hadis Ruhiyah Rasulullah, Fakhruddin Nursyam, Lc, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

No comments:

Post a Comment