Wednesday, January 19, 2011

Mengapa kita tidak boleh mengulangi kesalahan yang sama?

i. Mengulangi dosa dan kesalahan akan menghitamkan hati sehingga menyebabkan tidak mahu menerima kebenaran.

Sabda Rasulullah s.a.w. (HR Ahmad):

“Sesungguhnya seorang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa maka titik hitam muncul di hatinya. Jika ia bertaubat, meninggalkan dosa dan beristighfar, maka hatinya akan kembali bersih. Jika ia melakukan dosa lagi, maka titik hitam itu bertambah lagi sehingga hatinya tertutup oleh noda hitam yang disebutkan Allah dalam firmannya:

“Sekali-kali tidak demikian. Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka,” (Surah Al Muthaffifin ayat 14).

ii. Mengulang-ulang dosa akan mengubah dosa-dosa kecil menjadi besar dan dosa-dosa besar akan membawa kepada kekafiran.

Para ulama berkata: “Tidak dapat dianggap dosa kecil kalau dikerjakan secara berulang-ulang”.

Dosa besar yang dilakukan dikhuatiri akan menyeret pelakunya kepada kekafiran. Sepertimana orang terbiasa meminum minuman keras, berjudi atau maksiat yang lain. Lambat laun dia akan merasakan bahawa melakukan dosa besar adalah satu kebiasaan dan tidak dianggap dosa. Akhirnya apabila dia menganggap melakukan dosa besar itu suatu yang halal maka dia termasuk di kalangan orang yang kafir.

iii. Orang yang berulang-ulang melakukan dosa akan mengundang ‘aib dan kehinaan.

Ketika seseorang melakukan maksiat, Allah masih memberi kasih sayang kepadanya dengan menutupi perbuatan maksiat itu sehingga tiada orang lain yang mengetahuinya.

Tetapi apabila ia terus menerus melakukan maksiat maka Allah akan membuka tabir yang menutupi kejahatannya sehingga orang ramai mengetahui pelbagai maksiat yang dilakukannya. Allah akan membuka satu persatu kesalahan yang lalu yang pernah dilakukan.

Oleh itu sebelum Allah membuka segala ‘aib kita, eloklah kita segera bertaubat dan menghentikan segala perkara maksiat yang dilakukan .

Seringkali kita melihat penjenayah yang ditangkap atau dibelasah di khalayak ramai selepas beberapa kali melakukan perbuatan jenayah tersebut seperti mencuri. Andainya dia berhenti melakukan jenayah selepas pertama kali melakukannya nescaya Allah akan melindungi dirinya daripada ditangkap dan dihukum kerana Allah masih mengasihaninya dengan menutup kesalahannya.

Rujukan:

Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah, Refleksi 40 Hadis Ruhiyah Rasulullah, Fakhruddin Nursyam, Lc, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

No comments:

Post a Comment