Thursday, January 06, 2011

Ustaz Dahlan Mohd Zain Dalam Kenangan.


Catatan: Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak

Saya diberikan penghormatan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis untuk menulis satu artikel khas, mengenang Dato' Kaya Bakti Ustaz Dahlan bin Mohd Zain, guru saya, mudir kepada Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah tempat saya menuntut ilmu selama 7 tahun, yang telah pergi bertemu Allah SWT pada 18hb September 2010 tempoh hari.

7 tahun saya bersamanya, bukanlah sekadar memandangnya dari kejauhan semata-mata. Beliau adalah seorang murabbi, pendidik yang amat ramah dengan sesiapa yang menghampirinya. Beliau sangat memuliakan mereka yang mendekatinya. Beliau sangat pemurah dengan mutiara-mutiara ilmu kepada sesiapa yang bersungguh mencarinya. Tidak kekok untuk makan setalam dengan anak-anak muridnya yang jauh lebih muda, tidak rasa janggal bersembang mesra dengan kami walaupun dia lebih tua.

Beliau adalah satu susuk yang sangat menyenangkan. Kekal bersemangat walau usia ditelan zaman dan tubuh dimamah kesakitan. Jujurnya, selama saya mengenali beliau, saya menjadikan beliau sebagai antara contoh yang saya ingin teladani di dalam kehidupan saya. Kata-kata beliau ibarat mutiara bagi saya, segala tingkah laku beliau adalah qudwah untuk saya. Saya kira, bukan saya sahaja yang merasakan demikian. Semua anak muridnya pasti merasakan perkara yang sama.

Ustaz Dahlan, atau Dahaman bin Mohd Zain, dilahirkan di Jejawi Dalam, Perlis pada 16hb Februari 1934. Ayah beliau, Mohd Zain, berasal dari Tanah Seberang, berdarah Minangkabau, manakala ibu beliau bernama Che Pok, merupakan anak jati Jejawi Dalam, Perlis. Mempunyai 5 orang adik beradik, 3 lelaki dan 2 perempuan, Ustaz Dahlan adalah anak yang keempat.

Kesederhanaan dan kekurangan keluarganya ketika itu tidak menghalang beliau dari menjadi seorang yang amat cintakan ilmu. Ustaz Dahlan mula bersekolah pada tahun 1941, di Sekolah Melayu Jejawi, Perlis, saat Jepun menakhluk Tanah Melayu. 6 tahun di situ, beliau tamat persekolahan peringkat rendah pada tahun 1946.

Keunggulan Ustaz Dahlan dalam pelajaran terbukti apabila beliau adalah antara sebilangan kecil yang mendapat tawaran menyambung pengajian ke MCCK(Malay College Kuala Kangsar) yang nyata merupakan tawaran amat berprestij ketika itu. Namun kerana kesempitan hidup, tawaran itu terpaksa ditolak. Tambahan, ibu Ustaz Dahlan ketika itu uzur. Tetapi ini semua tidak mematikan semarak cintakan ilmu yang membara dalam jiwa beliau.

Ustaz Dahlan meneruskan kehidupan beliau selepas itu dengan melakukan kerja-kerja kampung seperti berkebun dan bersawah. Dalam melalui kehidupan yang sebegitu, Ustaz Dahlan tetap mengintai-intai peluang menyambung pengajian beliau. 7 tahun selepas itu, Ustaz Dahlan dapat menyambung persekolahannya di peringkat menengah di Sekolah Alawiyah pada tahun 1953. Pengajian diteruskan, hinggalah kematian Nazir Sekolah Alawiyah ketika itu, dan diganti dengan Nazir baru yang bukan berpendidikan agama.

Akibat peristiwa ini, satu mogok dilancarkan pada tahun 1960, dan pengajian Ustaz Dahlan sekali lagi terganggu apabila Sekolah Alawiyah dicutikan selama tiga bulan. Menjadi antara perancang protes tersebut, Ustaz Dahlan tidak mendaftar semula ke Sekolah Alawiyah kerana hendak mempertahankan imej aliran agama, yang padanya patut dipimpin oleh orang agama juga.

Pada tahun 1960 itu jugalah beliau mendapat tawaran mengajar di Sekolah Al-Mashoor, Pulau Pinang. Kegigihan beliau sebagai pendidik, dan mampu menggerakkan sekolah menarik perhatian Mudir sekolah itu yang berketurunan Iraq, Asy-Syeikh Hussin. Hinggakan As-Syeikh Hussin bertanyakan kepada beliau apakah rahsianya. Beliau berkhidmat di Al-Mashoor hanya selama tiga tahun, kerana selepas itu beliau diminta mengambil tawaran biasiswa pelajaraan kerajaan Iraq.

Pada 22 Januari 1964, beliau berangkat ke Iraq bersama 9 lagi rakannya. Di Universiti Bahgdad, Iraq, banyak lagi cabaran dan dugaan yang diperolehi. Hanya pada September 1964, barulah beliau boleh memulakan pengajian. Namun itu semua tidak menumpulkan semangat juang Ustaz Dahlan. Beliau gigih menuntut ilmu, di samping aktif memberikan sumbangan kepada pelajar melayu yang ada di sana.

Ketokohan beliau terpamer apabila beliau dipilih menjadi Yang DiPertua Persatuan Pelajar Malaysia Baghdad yang pertama. Jawatan itu disandang hingga beliau tamat pengajian pada tahun 1968. Pada tahun 1968, Ustaz Dahlan tamat pengajian ijazahnya dalam bidang Syariah dan Sastera Arab dengan cemerlangnya.

Itulah sedikit latar belakang pendidikan beliau, yang penuh dengan kesungguhan dan perjuangan. Tidak pernah rasa letih dan penat. Bersungguh-sungguh dan tidak pernah memberikan alasan untuk berhenti dan berehat. Ustaz Dahlan sering berkongsikan pengalaman ini sekiranya saya berziarah ke rumahnya, dan bertanya akan hari-hari lalu buat pedoman diri.

Ustaz Dahlan, sepanjang kehidupanya telah memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat. Beliau pernah menjadi Yang diPertua ABIM Negeri Perlis daripada tahun 1975-1990. Saya pernah bersembang dengan ramai veteran yang pernah menyertai ABIM Perlis pada zaman Ustaz menjadi Yang diPertua, rata-rata menyatakan betapa mereka terkesan dengan pembawaan ustaz ketika itu, dan mengakui Ustaz Dahlan banyak memberikan impak positif dalam perjalanan ABIM Perlis pada ketika itu dan juga kepada ahli-ahlinya.

Ustaz Dahlan mengasaskan Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI) pada tahun 1987 dan menjadi mudirnya hinggalah ke hujung hayat beliau pada tahun 2010. MATRI amat terkenal di seluruh pelusuk Malaysia kini, apabila para lepasannya sering muncul membawa imej Islam yang menyenangkan, serta mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing di merata tempat.

MATRI walaupun merupakan sekolah agama, telah membuktikan bahawa sekolah itu mampu memprodus kecemerlangan dalam segenap segi, membuktikan kesyumulan Islam itu sendiri. MATRI terkenal cemerlang dalam bidang Kokurikulum, juga antara yang terbaik dalam Kurikulum di Negeri Perlis. Bahkan pelajar-pelajarnya kini mempunyai pelbagai profession di seluruh pelusuk negara, sambil berusaha meneruskan usahawa dakwah dan tarbiyah yang dibawa oleh Ustaz Dahlan.

Ustaz Dahlan telah menerima pelbagai anugerah di tahun-tahun akhir kehidupannya. Antaranya adalah:
a. Anugerah Maal Hijrah. - 2004 .
b. Darjah Seri Sirajuddin Perlis. -2005
c. Tokoh Guru. – 2006.
d. Darjah Dato’ Bergelar Raja Perlis, Dato’ Kaya Bakti. – 2007
e. Calon Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan - 2007
f. Anugerah Pengetua Contoh, Program Usahawan Muda Peringkat Negeri Perlis. - 2008
g. Anugerah Jasamu Dikenang Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis - 2010

Itulah sedikit sebanyak yang mampu saya kongsikan berkenaan beliau. Jujurnya, beberapa helai kertas tidak akan cukup hendak menceritakan peribadi itu. Banyak lagi perkara yang tidak sempat saya kongsikan di ruang yang kecil ini. Namun saya fikir, inilah dia apa yang mampu saya kongsikan di sini.

Semoga, kesungguhan Ustaz Dahlan, menjadi qudwah kepada kita semua.
Semoga Allah redha, dan rahmati Ustaz Dahlan, serta menempatkan Ustaz Dahlan dalam kalangan hambaNya yang beriman.

~seorang hamba,

Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak,
Pelajar MATRI(2002-2008)
Pelajar Usuluddin, University of Yarmouk, Irbid, Jordan (2008-sekarang)
Penulis novel dan buku-buku motivasi,
pemilik website http://langitilahi.com/

No comments:

Post a Comment