Thursday, January 20, 2011

Pengajaran Dari Surah Al Mukminun (ayat 1 – 11) Siri 2

Ayat yang ke 4 Surah al Mukminun menerangkan tentang ciri ke 3 yang ada pada orang mukmin yang beruntung dan mewarisi syurga Firdaus iaitu:

“Dan orang-orang yang menunaikan zakat.”

Mereka mengadap Allah dengan penuh khusyuk dan menghindarkan diri dari perkara yang sia-sia dalam kehidupan. Di samping itu mereka menunaikan zakat yang membersihkan hati dan harta mereka.

Zakat membersih hati dari sifat bakhil, mengatasi cinta terhadap diri sendiri dan menolak bisikan syaitan yang menakut-nakutkan seseorang menjadi miskin (kerana menderma harta).

Zakat juga menanam kepercayaan bahawa balasan dan ganjaran ada di sisi Allah. Harta yang dikeluarkan zakat menjadi bersih dari syubhat dan ia menjadi harta yang baik dan halal.

Zakat mempunyai matlamat untuk memelihara masyarakat Islam dari kerosakan akibat kemiskinan di satu pihak dan kerosakan disebabkan kemewahan di pihak yang lain. Ia merupakan jaminan sosial untuk seluruh individu dan golongan yang lemah. Di samping zakat memberi perlindungan kepada masyarakat Islam dari perpecahan dan kehancuran.

Ciri ke 4 mereka yang beruntung diterangkan di dalam ayat ke 5 Surah Mukminun yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang menjaga anggota kelamin mereka.”

Islam menjaga kebersihan jiwa, rumahtangga dan kelompok masyarakat muslimin melalui saranan supaya menjaga anggota kelamin mereka. Langkah memelihara anggota kelamin daripada persetubuhan yang tidak halal, menjaga hati dari menaruh keinginan kepada pasangan yang tidak halal dan mengawal anggota masyarakat dari menurut nafsu buas tanpa sempadan.

Islam menjaga keharmonian rumah tangga supaya tidak rosak akibat penzinaan dan menjaga keturunan dari dicemari oleh kelahiran di luar ikatan perkahwinan.

Masyarakat yang melepaskan nafsu keinginan tanpa perhitungan adalah masyarakat yang rosak dan kacau bilau. Tidak ada keamanan rumahtangga dan tidak ada kehormatan keluarga. Sedangkan keluarga merupakan unit yang pertama dalam masyarakat. Ia berfungsi sebagai tapak semaian di mana kanak-kanak subur dan membesar. Ia memerlukan keamanan, kemantapan dan kesucian supaya benar-benar layak menjadi tapak semaian dan medan pendidikan kepada anak-anak.

Masyarakat yang melepaskan nafsu tanpa ada batasan adalah satu masyarakat yang kotor dam rendah nilai kemanusiaannya. Kayu pengukur kemajuan manusia yang sebenar ialah kebolehan mereka mengawal kehendak dan kemahuannya. Mereka berkebolehan untuk mengatur dorongan dan keinginan hawa nafsu dalam bentuk produktif dan bersih di mana anak-anak tidak merasa malu dengan kelahiran mereka di dunia ini. Anak-anak mengetahui siapa bapanya tidak seperti haiwan jantan dan betina yang mengawan semata-mata didorong oleh hawa nafsu seks. Akhirnya lahir anak-anak yang tidak mengetahui siapa bapa mereka.

Seburuk-buruk perangai haiwan tidaklah sampai membuang atau membunuh anak sendiri. Tetapi manusia hari ini yang hanya mengikut dorongan nafsu, melayan keinginan seks tanpa ikatan perkahwinan sehingga membawa kepada perbuatan membuang dan membunuh bayi. Lebih kejam dan zalim dari binatang yang tidak diberi akal...

Al Quran menentukan bekas yang halal bagi lelaki untuk menaruh benih-benih keturunan mereka sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat ke 6 surah Al Mukminin yang bermaksud:

“kecuali dengan isteri-isteri mereka dan hamba-hamba yang dimiliki mereka, maka sesungguhnya mereka tidak dicela (menikmati hubungan kelamin dengan mereka)

Hamba yang dimaksudkan di sini adalah tawanan perang yang merupakan peraturan antarabangsa yang diiktiraf oleh semua kerajaan pada masa dahulu. Peraturan menghambakan tawanan perang bukan merupakan sistem kemasyarakatan dalam Islam.

Oleh itu sesiapa yang mencari kenikmatan di luar dari itu bererti dia telah melampaui batas yang halal dan menceroboh ke daerah yang haram. Ini bermakna dia mencabul kehormatan wanita yang tidak dihalalkan untuknya. Ibarat binatang ternak yang meragut rumput di padang larangan.

Rumahtangga akan hancur kerana tidak mendapat jaminan dan ketenteraman. Sepertimana serigala yang menangkap mangsa di sana sini. Inilah bentuk kerosakan yang dihindari oleh Islam.

Rujukan:

Asy Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, Tafsir Fi Zilalil Quran – Di Bawah Bayangan Al Quran Jilid 11, terjemahan Yusoff Zaky Haji Yacob, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 2002.

No comments:

Post a Comment