Thursday, October 14, 2010

Said Bin Amir al-Jumahiy - Siri 1

Said Bin Amir Al-Jumahiy menyaksikan sendiri peristiwa sahabat Rasulullah, Khubaib Bin ‘Adiy disiksa dan dibunuh dengan kejam oleh puak kafir Quraisy. Said Bin Amir Al-Jumahiy pada ketika itu masih belum memeluk Islam. Namun nasib yang menimpa Khubaib terus terbayang-bayang di kotak fikiran Said Bin Amir al-Jumahiy yang sedang meningkat dewasa.

Khubaib mengajar Sa’id satu hakikat yang tidak pernah diketahui sebelum ini. Khubaib mengajar, kehidupan yang sebenar adalah akidah dan berjihad di jalannya hingga ke titisan darah yang terakhir.

Beliau juga mengajar, iman yang teguh mampu menghasilkan keajaiban dan mencipta kemukjizatan. Said belajar satu perkara lagi, lelaki yag dicintai sepenuhnya oleh seluruh sahabatnya adalah seorang Nabi yang mendapat dukungan langit.

Ketika itulah hati Said Bin Amir al-Jumahiy terbuka untuk memeluk Islam. Lalu beliau berdiri di khalayak ramai dan mengumumkan bahawa beliau tidak terlibat dengan dosa dan jenayah yang dilakukan oleh Quraisy. Beliau meninggalkan berhala dan sembahan Quraisy serta memeluk agama Allah.

Suatu hari ketika mengadap Khalifah Umar Al Khattab yang baru dilantik menjadi khalifah. Kata Sa’id: “Wahai Umar, saya berpesan kepadamu agar gentar dengan Allah dalam menguruskan hal ehwal rakyat. Jangan sekali-kali kamu gerun dengan manusia dalam menunaikan hak-hak Allah. Janganlah kata-katamu tidak bertepatan dengan perbuatan. Lantaran perkataan yang terbaik adalah perkataan yang sejajar dengan perbuatan."

“Wahai Umar, prihatinlah terhadap urusan rakyat yang dipertanggungjawabkan Allah kepadamu, sama ada yang dekat mahupun yang jauh. Sayangilah mereka sebagaimana kamu menyayangi diri dan keluargamu. Lindungilah mereka daripada perkara yang tidak diingini sebagaimana kamu tidak ingin ia menimpa diri dan keluargamu. Bergelumanglah dalam kebenaran dan jangan gentar dengan celaan dalam menegakkan hukum Allah.”

Lalu Umar bertanya: “Siapa yang mampu melakukan perkara tersebut wahai Sa’id?”

“Ia mampu dilakukan oleh individu sepertimu. Iaitu individu yang dilantik oleh Allah mengurus urusan umat Muhammad, sedangkan tiada perantara antaranya dengan Allah.”, jawab Sa’id.

Ketika itu juga Umar Al Khattab menawarkan Sa’id menjadi pembantunya, kata beliau: “Wahai Sa’id, saya lantik kamu menjadi gabenor di Hims.”

Jawab Sa’id: “Wahai Umar saya bersumpah dengan nama Allah, janganlah kamu menyesatkan dan menyerahkan saya kepada dunia."

“Kamu pikulkan urusan pemerintahan ini ke tengkuk saya, kemudian kamu hendak berlepas tangan. Demi Allah! Saya tidak akan membiarkan kamu bersikap begitu!!” hentak Umar.

Kemudian beliau dilantik menjadi gabenor di Hims tetapi enggan menerima imbuhan wang daripada khalifah. Ia menyatakan bahawa pemberian daripada baitulmal melebihi daripada keperluannya.

Ketika satu rombongan penduduk Hims mengunjungi Khalifah Umar . Khalifah meminta disenaraikan fakir miskin di Hims supaya dapat diberi bantuan. Selepas nama-nama fakir miskin diserahkan kepada Khalifah Umar, beliau mendapati nama Said Bin Amir al-Jumahiy turut tersenarai sebagai fakir miskin.

Umar tersentak lalu bertanya kepada rombongan penduduk Hims: “Siapa Said Bin ‘Amir?”. Jawab mereka serentak: “Gabenor kami.”

“Gabenor kamu miskin?!!, tanya Umar kehairanan.

Jawab mereka: “Benar. Demi Allah! Sehinggakan dapurnya tidak berasap beberapa hari”

Umar menangis sehingga janggutnya basah. Kemudian beliau memasukkan 1,000 dinar ke dalam uncang dan berpesan kepada rombongan tersebut: “sampaikan salam saya kepadanya dan katakan kepada gabenormu: Amirul Mukminin mengirimkan wang ini untukmu agar keperluan saraan harianmu tertunai."

Setelah tiba di Hims, rombongan tersebut terus bertemu Sa’id dan menyerahkan uncang tersebut. Said memeriksa isi uncang tersebut. Apabila Said melihat uncang tersebut berisi wqng dinar, beliau menolaknya ke tepi seraya berkata: “Innalillahiwainna ilaihiroji’un”.

Gelagatnya bagaikan berlaku bencana dan malapetaka besar. Lantas isterinya bergegas dengan penuh bimbang: “Apakah yang telah berlaku Sa’id? Apakah Amirul Mukminin meninggal dunia..?”

“Lebih dahsyat lagi...”, tegas Sa’id.

“Apa bencana yang lebih dahsyat daripada itu?”, tanya si isteri kebingungan.

“Dunia ini telah masuk ke dalam kehidupan saya bagi merosakkan akhirat saya. Dugaan dan bencana telah berlaku dalam rumah saya.”, jawab Sa’id bersedih.

“Bebaskan diri kamu daripadanya.” Nasihat isterinya. Isterinya langsung tidak tahu menahu tentang wang dinar tersebut. Lantas Sa’id bertanya:

“Adakah kamu boleh membantu saya?”
“Boleh”, jawab isterinya ringkas.
Lalu beliau mengambil wang dinar tersebut dan memasukkan ke dalam beberapa uncang. Kemudian wang tersebut diagih-agihkan kepada fakir miskin.

Pengajaran:

i. Sahabat jenerasi awal yang mendapat didikan daripada Rasulullah sangat takut kepada Allah. Sebagai pemimpin mereka khuatir tidak dapat melaksanakan amanah yang diberikan.

ii. Sahabat Rasulullah tidak gerun kepada manusia dalam melaksanakan perintah Allah.

iii. Mereka melaksanakan apa yang diucapkan (cakap serupa bikin) kerana perkataan yang terbaik adalah perkataan yang sejajar dengan perbuatan.

iv. Seorang pemimpin yang baik melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan menyayangi serta melindungi mereka tanpa membezakan samada di kalangan kaum kerabat, sahabat handai atau orang yang kasihi.

v. Sahabat Rasulullah lebih mengutamakan ganjaran Allah (berupa nikmat syurga yang berkekalan di akhirat) berbanding kemewahan hidup di dunia yang sementara.

vi. Seorang isteri yang baik adalah yang membantu suami dalam mendapatkan keredhaan Allah.

Rujukan:

Dr Abdul Rahman Ra’fat Al- Basha, 65 Gambaran Kehidupan Sahabat, Jilid 1, terjemahan oleh Ust Abdul Hakam Bin Jaafar & Ust. Mohd Noor Bin Daud, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur, Mac 2006.

No comments:

Post a Comment