Sunday, October 24, 2010

Ath-Thufail Bin Amr Ad-Dausi Siri 1

Ath-Thufail Bin Amr Ad-Dausi merupakan ketua kabilah Daus ketika jahiliah. Beliau adalah antara pembesar Arab yang berkedudukan dan berpengaruh. Beliau seorang yang pemurah dan sangat memuliakan tetamu serta suka menolong orang yang memerlukan bantuan.

Ketika Ath Thufail datang ke Mekah, para pemuka Quraisy menyambut dan memberikan layanan teramat baik kepadanya. Mereka berpesan kepada Ath Thufail: “Wahai Thufail, kamu telah datang ke negeri kami. Lelaki yang mendakwa bahawa dia seorang nabi ini sebenarnya telah memporakperandakan kehidupan kami. Mencarik kesatuan kami dan memecahbelahkan perpaduan kami. Sesungguhnya kami bimbang apa yang berlaku pada kami akan berlaku kepadamu dan kepimpinanmu dalam kaummu. Oleh itu kamu jangan sekali-kali bercakap dengan lelaki ini. Kamu juga jangan dengar apa-apa daripadanya. Kerana kata-katanya ibarat sihir. Ia mampu memisahkan antara anak dan ayahnya, antara adik beradik dan antara isteri dengan suaminya.”, panjang lebar pemuka Quraisy menasihatkan Thufail.

Pesanan ini telah membuatkan Thufail berazam untuk tidak mendekati, mendengar atau berkata-kata dengan nabi. Beliau menyumbat telinganya dengan kapas ketika bertawaf di Kaabah dan memohon keberkatan daripada berhala yang menjadi sembahannya.

Namun pada ketika itu dilihatnya Rasulullah sedang menunaikan solat di sisi Kaabah. Dia mendapati cara Rasulullah solat berbeza dengan ibadah yang mereka lakukan. Thufail sangat terpikat dengan ibadah yang dilakukan oleh Rasulullah. Terasa jiwanya bergegar. Selangkah demi selangkah Thufail mendekati Rasulullah sehingga benar-benar hampir dengan baginda Rasul.

Sebagai seorang sasterawan beliau sangat mengkagumi bacaan dalam solat Rasulullah yang didengarinya. Thufail menunggu sehingga Rasulullah selesai solat. Kemudiannya beliau mengekori Rasulullah sehingga ke rumah baginda. Thufail masuk bertemu Rasulullah dan berkata: “Wahai Muhammad, kaummu menuduhmu dengan bermacam-macam jenis tuduhan. Demi Allah! Mereka berterusan menakut-nakutkan saya tentang kamu sehingga saya menyumbat telinga saya dengan kapas, agar saya tidak mendengar kata-katamu. Namun Allah Taala tetap menginginkan agar ia sampai ke telinga saya. Saya dapati ungkapannya sangat indah. Ceritakanlah kepada saya perihal kamu yang sebenarnya.”

Lalu Rasulullah S.A.W. menceritakan perkara sebenar yang berlaku. Baginda membaca surah Al Ikhlas dan Al Falaq. Thufail menyatakan bahawa ayat Quran yang dibacakan itu lebih indah daripada ungkapan dalam sajak yang pernah ditulisnya. Lantas beliau terus menghulurkan tangan kepada Rasulullah dan mengucapkan kalimah syahadah.

Beliau kemudiannya menetap di Mekah beberapa ketika untuk mempelajari tentang Islam dan menghafal beberapa ayat Al Quran. Sebelum pulang menemui kaumnya Thufail berkata kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, ahli keluarga saya mentaati saya. Saya pula akan pulang menemui mereka dan saya akan menyeru mereka agar memeluk Islam. Oleh itu doakanlah agar Allah menganugerahkan untuk saya petanda yang boleh membantu saya menyeru mereka kepada Islam.” Rasulullah S.A.W. pun berdoa: “Ya Allah jadikanlah untuknya petanda.”

Dalam perjalanan pulang menemui kaumnya Thufail tiba di satu tempat tinggi yang membolehkan beliau melihat rumah mereka. Thufail mendapati satu cahaya seperti pelita berada antara dua matanya. Lalu diapun berdoa: “Ya Allah, jadikanlah ia (cahaya) bukan diwajah saya. Kerana saya bimbang mereka akan menyangka ia merupakan balasan yang diturunkan kepada saya lantaran meninggalkan agama mereka.” Lalu cahaya tersebut berpindah ke hujung cemetinya. Semasa menuruni lereng bukit itu, orang ramai dapat melihat cahaya dicemeti bagaikan pelita yang tergantung.

Apabila sampai ke bawah bukit, bapa Thufail yang sudah tua datang...Lalu Thufail berkata: “Jauhkan diri ayah daripada saya. Kita tidak sehaluan lagi.”

“Kenapa pula begitu wahai anakku?!,” tanya ayahnya kehairanan.

Jawab Thufail: “Saya telah memeluk Islam dan saya merupakan pengikut agama yang dibawa oleh Muhammad S.A.W..”

“Wahai anakku, agamaku mengikut agamamu.”, jawab ayahnya.

Seterusnya isteri Thufail turut menganut Islam. Kemudiannya beliau mengajak kaumnya memeluk Islam. Namun mereka bersikap dingin dan tiada sambutan. Hanya Abu Hurairah yang segera memeluk Islam.

Pengajaran:

1. Kerja dakwah perlu dilaksanakan mengikut kemampuan masing-masing. Ianya tidak hanya menjadi tanggungjawab para guru, ustaz atau mereka yang tinggi ilmu pengetahuannya.

ii. Mereka yang tidak memahami Islam selalu beranggapan bahawa Islam itu memecahbelahkan keluarga dan masyarakat. Sedangkan Islam itu sebenarnya menjaga institusi keluarga dan masyarakat, dengan syarat mereka beriman kepada Allah.

iii. Mereka yang memandang negatif kepada Islam biasanya kurang mengenali Islam. Mereka hanya mendapat gambaran Islam daripada perspektif musuh Islam yang menguasai media massa.

iv. Dakwah perlu dimulakan kepada keluarga yang terdekat seperti ibu bapa, adik beradik, anak-anak, saudara mara, rakan taulan dan sebagainya.

v. Orang yang hebat semasa jahiliahnya, juga hebat apabila mendapat didikan Islam.

vi. Kebiasaannya dakwah Islam kurang mendapat sambutan di kalangan masyarakat, tetapi usaha dakwah perlu diteruskan. Kita tidak boleh merasa lemah dengan pengikut yang sedikit kerana Allah menilai usaha kita bukan natijah yang kita perolehi. Hanya Allah yang boleh memberi hidayah kepada manusia.

vii. Selalulah membaca dan meneliti ayat-ayat Al Quran kerana ia dapat mengubati penyakit hati dan membersihkan jiwa manusia daripada karat-karat jahiliah.

Viii. Sifat pemurah, menolong orang yang memerlukan dan melayan tetamu sangat dituntut oleh Islam.

Rujukan:

Dr Abdul Rahman Ra’fat Al- Basha, 65 Gambaran Kehidupan Sahabat, Jilid 1, terjemahan oleh Ust Abdul Hakam Bin Jaafar & Ust. Mohd Noor Bin Daud, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur, Mac 2006.

No comments:

Post a Comment