Saturday, October 30, 2010

Berbahagialah...

Rasulullah bersabda: “........ Berbahagialah seseorang yang dijadikan oleh Allah sebagai pemegang kunci-kunci kebaikan....” (HR Ibnu Majah dari Anas r.a.)

Kunci pembuka kebaikan termasuklah mengajar ilmu kebaikan, mempelajari ilmu, beramal dengan ilmu, menggalakkan orang belajar ilmu dan menyediakan kemudahan untuk orang menuntut ilmu serta bersahabat dengan orang yang berilmu.

Seorang yang menjadi kunci pembuka kebaikan dan penutup kejahatan akan mendapat beberapa bentuk kebahagiaan seperti:-

i. Mendapat penghormatan dan simpati dari semua manusia kerana keperluan mereka kepada ilmu dan kebaikan jauh lebih besar berbanding keperluan mereka kepada makan dan minum.

Imam Ahmad berkata:

“Keperluan manusia kepada ilmu jauh lebih besar daripada keperluan mereka kepada makan dan minum. Kerana makan dan minum diperlukan hanya sekali atau dua kali dalam sehari. Sedangkan ilmu sentiasa diperlukan sepanjang hayat (selagi ia bernafas).”

ii. Mendapat doa kebaikan dari seluruh makhluk Allah.

Ia juga akan mendapat doa dan selawat dari Allah dan seluruh makhluk-Nya. Rasul S.A.W. bersabda:

“Sesungguhnya Allah, para malaikat, para penduduk langit dan bumi, bahkan seekor semut dalam lubangnya dan ikan di lautan sentiasa berselawat untuk orang-orang yang mengajarkan kebaikan kepada umat manusia.” (HR Tarmidzi)

iii. Terhindar dari berbagai musibah di dunia dan akhirat akibat dosa.

Rasulullah bersabda, “Ubatilah orang-orang yang sakit di antara kamu dengan sedekah, sesungguhnya sedekah menolak berbagai penyakit dan gangguan-ganguan lainnya.” (HR Ad Dailami)

Sabda Rasulullah: “Sedekah akan memadamkan murka Allah dan menolak kematian yang buruk.” (HR Baihaqi)

“Bersedekahlah kerana sesungguhnya sedekah itu dapat membebaskan kamu dari api neraka.” (HR Thabrani)

Semua ulama sepakat bahawa sebaik-baik sedekah adalah dengan mengajarkan ilmu dan kebaikan kepada orang lain.

iv. Meraih pahala yang besar dari Allah dan mendapat balasan syurga.

Seseorang yang menjadi kunci pembuka kebaikan dengan sentiasa mengajar akan mendapat pahala yang besar.

Rasulullah bersabda: “Barangsiapa yang menunjukkan (sesorang) kepada kebaikan, ia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya.” (HR Muslim)

“Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga,” (HR Abu Dawud)

Jika seseorang yang mencari ilmu dimudahkan Allah untuk memperolehi syurga, apatah lagi orang yang mengajar ilmu dengan ikhlas, sudah tentulah lebih berhak mendapat balasan syurga (Miftahu Daris Sa’adah /79-80)

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah, Bina Insani Press Solo, September 2006

No comments:

Post a Comment