Thursday, October 14, 2010

Khubaib Bin ‘Adiy

Khubaib Bin ‘Adiy merupakan salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang berjaya diberkas oleh puak kafir Quraisy hasil tipudaya pengkhianatan. Mereka merancang untuk membalas dendam akibat kekalahan mereka di dalam Perang Badar.

Khubaib Bin ‘Adiy diarak bersama beberapa orang tawanan yang lain ke satu perhimpunan untuk dilaksanakan hukuman ke atas mereka. Mereka dihadapkan di depan pembesar Quraisy, Abu Sufian Bin Umayyah dan lain-lain di satu tempat pembunuhan yang ditentukan.

Ketika tubuh Khubaib yang sasa itu diseret ke kayu berpalang dia berkata: “Bolehkah kamu tinggalkan saya solat dua rakaat sebelum saya mati..?”. Kemudian beliau menunaikan solat dua rakaat dengan sempurna. Selepas selesai solat beliau menghadap pembesar Quraisy seraya berkata: “Demi Allah! Jika tidak kerana kamu akan beranggapan bahawa saya memanjangkan solat kerana takut mati, nescaya saya memanjangkan solat saya.”

Kemudiannya puak kafir itu memotong anggota badan Khubaib yang masih hidup satu demi satu. Kata mereka: “Adakah kamu suka jika Muhammad menggantikan tempatmu dan kamu selamat?”

Khubaib berkata dengan darah yang berlumuran di seluruh tubuhnya: “Demi Allah! Saya tidak rela sekiranya saya selamat, duduk bersama isteri dan anak-anak, sedang Muhammad dicucuk duri."

Orang ramai mengangkat tangan seraya menjerit: “Bunuh dia...bunuh dia...!!!"

Khubaib yang terikat di kayu berpalang mendongakkan wajahnya ke langit seraya berkata: “Wahai Allah hitunglah bilangan mereka, hancur leburkanlah mereka dan jangan kamu biarkan mereka walaupun seorang."

Kemudian beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pada tubuhnya tidak terkira berapakah tetakan pedang dan tusukan lembing yang menghujaninya.

Rujukan:

Dr Abdul Rahman Ra’fat Al- Basha, 65 Gambaran Kehidupan Sahabat, Jilid 1, terjemahan oleh Ust Abdul Hakam Bin Jaafar & Ust. Mohd Noor Bin Daud, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur, Mac 2006.

No comments:

Post a Comment