Tuesday, October 26, 2010

Berakhirnya Sebuah Andalus

Al-Andalus sering digambarkan dengan seribu keindahan. Pancuran air, tamadun yang dimegah-megahkan, lagu dan syair digubah untuk mengungkapkan keindahannya, dan keilmuan sains dan teknologinya sering menjadi bahan paparan media. Memang Andalus hebat. Tetapi ia bukanlah seindah yang digambarkan. Andalus itu pahit dan derita, penuh kebinatangan yang terbit pada wajah manusia,

Pada tahun 1492 di daerah Valencia yang ditawan oleh El Cid Campeador telah berlaku pembunuhan Muslim besar-besaran dengan restu Pope. Semua yang dilakukan di Valencia adalah sama seperti apa yang dilakukan oleh Ataturk di Turki, dan kerajaan-kerajaan Eropah hari ini yang gementar dengan kehadiran 58 juta umat Islam di Eropah, pada statistik terkini.

Pada tahun 1516, diperkenalkan undang-undang yang melarang Muslimah menutup mukanya. Serban juga diharamkan, dan mereka yang melanggar peraturan ini akan dihukum menjadi hamba di ladang milik paderi. Pegawai polis itu juga geram dengan umat Islam yang enggan memakan babi, tidak minum arak dan khabarnya mandi setiap pagi Jumaat. Mereka telah menghancur binasakan Hamam kerana tidak mahu umat Islam mandi… biar kotor dan jijik seperti mereka. Anak-anak yang lahir diperiksa dan jika dikhatan, keluarganya akan dihukum. Orang Islam di Valencia enggan makan di meja, sebaliknya duduk di lantai!

Undang-undang diperkenalkan pada tahun 1526 yang mengharamkan orang Islam memiliki kunci rumah. Pintu rumah setiap orang Islam mesti dibiarkan terbuka dan orang Kristian boleh menjenguk masuk sesuka hati, demi memastikan orang Islam tidak bersembahyang atau menyimpan bejana air untuk berwudhu’. Orang Islam dicela kerana didapati mereka menamakan anak-anak mereka dengan dua nama. Secara rasmi, mungkin bernama Fredo tetapi di dalam rumah anak itu dipanggil Ahmad, Ali dan sebagainya. Orang Islam di Valencia juga didapati melanggar peraturan kerana memohon untuk bekerja pada hari Ahad dan Krismas!

Walaupun penghapusan etnik telah mencapai kemuncaknya pada tahun 1492, umat Islam yang berbaki masih terus mempertahankan Islam mereka. Intifadhah pertama umat Islam berlaku pada tahun 1501 dan ia berterusan hingga 1570. Namun sedikit demi sedikit, generasi anak Muslim pasca 1492, telah kehilangan Islam mereka.

Mereka masih tahu diri mereka Islam tetapi apabila mereka melarikan diri menyeberang laut ke pantai Afrika Utara di kawasan Tunisia, mereka telah dibunuh oleh umat Islam sendiri. Mereka disyaki sebagai pengintip Kristian, semata-mata kerana bahasa mereka yang rumit dan gagal membuktikan pengetahuan mereka tentang Solat!

Saya bangga dengan ketabahan umat Islam ketika itu. Ternyata, hampir semua buku tentang Sejarah Eropah yang ada di pasaran menyembunyikan sejarah Andalus kerana ia terlalu buruk, keji, jelek mengatasi binatang, pada imej kaum Kristian yang sangat hina pada masa itu.

Pope hari ini sudah memohon maaf kepada Yahudi atas perlakuan kuasa Kristian kepada Yahudi ketika itu, tetapi hingga kini, beliau masih sombong untuk memohon maaf atas kematian umat Islam yang mencecah ratusan ribu malah jutaan orang. Kalau mati di medan perang, ia cerita lain. Tetapi ini adalah pembunuhan dan penyembelihan yang diarahkan oleh Pope kepada El Cid Campeador dan pemimpin Kristian sejagat.

Mana mungkin sejarah Andalus dapat disembunyikan. Ia bukan era 8 bulan atau 8 tahun, tetapi 800 tahun. 800 tahun yang tidak mungkin Eropah hari ini boleh berdiri tanpanya.
Tiada lagi Andalus… hasil kebodohan umat Islam yang berpecah belah, bersikap nifaq berkonspirasi dengan musuh untuk membunuh saudara sendiri, lantas dihukum Allah dengan kezaliman Kristian yang tiada tolok bandingnya.

Catatan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
http://saifulislam.com

No comments:

Post a Comment