Thursday, October 21, 2010

Sa’id Bin ‘Amir Al-Jumahiy Siri 2

Khalifah Umar Al Khattab selalu memantau kakitangan kerajaan dan gabenor di bawah pemerintahannya untuk memastikan mereka melaksanakan amanah yang diberikan.

Beliau telah melawat wilayah Syam untuk melakukan tinjauan. Sehinggalah akhirnya beliau tiba di Hims. Penduduknya bertemu dan mengucapkan salam kepada beliau. Umar bertanya: “Apa pandangan kamu tentang gabenormu?”.

Lalu mereka mengadu kepada Umar dan menyebut empat perangai ‘buruk’ gabenor mereka iaitu Sa’id Bin Amir al Jumahiy seperti berikut:-

i. Sa’id tidak bertemu dengan orang ramai sehingga matahari meninggi.

ii. Beliau tidak melayan sebarang pengaduan pada waktu malam

iii. Dalam satu bulan ada satu hari Said tidak menemui orang ramai.

iv. Said sering pengsan. Ini menyebabkan beliau tidak menyedari sesiapa di dalam majlisnya.

Kata Umar: “Saya akan temukan Said dengan mereka (orang yang membuat aduan). Saya berdoa agar sangkaan saya terhadap Said tidak salah. Lantaran saya berkepercayaan penuh terhadapnya.”

Apabila menjelang pagi penduduk Hims dan gabenornya bersemuka di hadapan Khalifah Umar Al Khattab. Lalu Umar meminta mereka menyatakan aduan mereka terhadap gabenor mereka satu persatu.

Untuk aduan pertama (tidak bertemu dengan orang ramai sehingga matahari meninggi) Said berkata: “Demi Allah! Saya tidak suka memperkatakannya. Namun saya terpaksa berterus terang. Keluarga saya tidak memiliki orang gaji. Setiap pagi saya bangun menguli tepung. Setelah itu saya perap adunan tersebut sehingga naik. Kemudian barulah saya bakar untuk makanan keluarga saya. Selepas itu saya mengambil wuduk dan keluar bertemu orang ramai.”

Bagi aduan kedua (tidak melayan sebarang pengaduan pada waktu malam) Said menjawab: “Demi Allah! Saya juga tidak suka menghebahkan perkara ini...Sebenarnya saya peruntukkan siang untuk mereka. Manakala malam untuk Allah ‘Azza Wa Jalla.”

Manakala jawapan bagi aduan ketiga (ada satu hari dalam sebulan Said tidak menemui orang ramai) Said menjelaskan: “Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak memiliki orang gaji wahai Amirul Mukminin. Saya juga tidak memiliki pakaian lain selain pakaian yang saya pakai ini. Saya membasuhnya sebulan sekali dan saya tunggu sehingga ia kering. Kemudian barulah saya keluar bertemu mereka pada lewat petang.”

Mengenai aduan keempat (sering pengsan), Said menceritakan bahawa beliau telah melihat peristiwa pembunuhan Khubaib Bin ‘Adiy, dan ketika itu beliau masih lagi seorang musyrik. Khubaib ditanya oleh orang Quraisy yang memotong-motong anggota badannya (Khubaib) : “Adakah kamu suka jika Muhammad menggantikan tempatmu?” Lantas Khubaib menjawab: “Demi Allah! Saya tidak rela sekiranya saya selamat, duduk bersama isteri dan anak-anak, sedang Muhammad dicucuk duri.”

Kata Said: “Demi Allah! Saya tidak mampu mengingati tragedi ngeri tersebut. Bagaimana saya boleh membiarkannya diperlakukan sedemikian sedangkan saya tidak membantunya. Saya merasakan Allah tidak mengampunkan kesalahan saya tersebut.... sebab itulah saya jatuh pengsan.”

Dengan nafas lega Umar berkata: “Segala puji-pujian bagi Tuhan yang tidak mengecewakan sangkaan baik saya terhadapnya.”

Kemudian Khalifah Umar Al Khattab menghantar 1,000 dinar untuk membantu Sa’id mengurus kehidupan sehariannya. Apabila si isteri melihatnya, dia berkata kepada si suami: “Segala puji- pujian bagi Tuhan yang telah mengurniakan kekayaan dan kamu tidak perlu lagi bersusah payah melayani kami. Belikanlah makanan dan carilah orang gaji untuk saya.”

“Adakah kamu ingin perkara yang lebih baik daripada itu?”, tanya Sa’id. “Apa dia?”, tanya isterinya ingin tahu. Jawab Sa’id: “Kita pinjamkannya kepada Allah (menginfaqkan harta di jalan Allah) dalam bentuk pinjaman yang baik.”

“Bagaimana?”, tanya isterinya lagi. “Kita berikan dinar ini kepada orang yang datang memerlukannya, sekalipun kita lebih memerlukannya.”, jelas Sa’id. “Baiklah... mudah-mudahan kamu dianugerahkan kebaikan.”, balas isterinya.

Belum sempat beliau meninggalkan majlis tersebut, beliau mengambil wang dinar dan mengagihkannya ke dalam beberapa uncang. Sa’id berkata kepada salah seorang ahli keluarganya:

“Pergi dan berikan uncang ini kepada janda si polan, anak yatim si polan, orang miskin keluarga si polan dan orang fakir keluarga si polan.”

Mudah-mudahan Allah meredhai Sa’id Bin Amir Al Jumahiy. Beliau lebih mengutamakan orang lain berbanding diri dan keluarganya sendiri meskipun mereka sendiri hidup dalam keadaan yang amat susah dan memerlukan.

Pengajaran:

i. Seorang pemimpin yang baik selalu memantau perlaksanaan tugas kakitangan bawahannya dan melihat secara dekat permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

ii. Seorang pemimpin yang bijak tidak tertipu dengan kemewahan dunia tetapi mengharapkan balasan yang baik dan nikmat yang berkekalan di akhirat iaitu syurga Allah.

iii. Orang yang beriman sentiasa menunggu sepertiga malam untuk melakukan ibadah dan bermunajat kepada Allah. Ia merasa nikmat, tenggelam dalam kekusyukan solat, berzikir dan beristighfar kepada Allah.

iv. Seseorang yang pemurah dan menafkahkan sebahagian hartanya di jalan Allah merasai nikmat sebagaimana orang yang suka atau nikmat apabila menerima hadiah.

v. Orang beriman merasai ikatan ukhwah dan kasih sayang sesama Islam. ibarat satu tubuh badan yang akan merasai sakit (atau berjaga malam) apabila salah satu anggotanya sakit.

vii. Orang mukmin yang baik mengutamakan sahabatnya melebihi dirinya sendiri.

viii. Sahabat Rasulullah sangat mengasihi Rasulullah melebihi kasih kepada diri sendiri, anak isteri dan keluarga sendiri.

ix. Orang yang bijak akan menggunakan segala harta dan kekayaan yang ada untuk mendapat pahala dan ganjaran yang baik di sisi Allah.

x. Orang yang beriman selalu memohon ampun dan bertaubat kepada Allah serta merasa bimbang tidak mendapat keampunan Allah atas segala dosa-dosa.

xi. Sokongan daripada isteri adalah penting kepada suami untuk memberi kekuatan dalam melaksanakan kerja-kerja Islam dan amal kebajikan.

Rujukan:

Dr Abdul Rahman Ra’fat Al- Basha, 65 Gambaran Kehidupan Sahabat, Jilid 1, terjemahan oleh Ust Abdul Hakam Bin Jaafar & Ust. Mohd Noor Bin Daud, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur, Mac 2006.

No comments:

Post a Comment