Sunday, October 10, 2010

Taubat Yang Bersungguh-Sungguh (Siri 3)

Segeralah bertaubat kepada Allah dan janganlah berputus asa. Salah seorang ulama mengatakan, “Janganlah seseorang itu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah telah memberikan harapan kepada Firaun untuk memperolehi rahmatNya. Bahkan lebih dari itu, Allah juga telah menawarkan agar kaum Nasrani mahu bertaubat, Allah SWT berfirman, “Mengapa mereka tidak mahu bertaubat dan meminta ampun kepada Allah?”.

Ciri-Ciri Taubat Nasuha (jujur dan bersungguh-sungguh)

1. Seorang hamba yang bertaubat keadaannya adalah lebih baik daripada sebelum bertaubat.

Ibnu Taimiyyah pernah ditanya, “Apakah seorang hamba yang bertaubat itu sama seperti sebelum dia berbuat dosa?” Ibnu Taimiyyah menjawab, “Ada yang serupa, ada juga yang lebih baik, dan ada juga yang lebih rendah daripada sebelum bertaubat. Semuanya bergantung kepada urusan masing-masing. Adakala dosa membuatkan seseorang itu merana sepanjang hari menjadi sebab kebahagiaannya di dunia dan akhirat kelak (kerana ia bertaubat).

Hassan Basri berkata, “Sesungguhnya seorang mukmin itu berbuat dosa, sehingga dia merasa tersiksa, menyesal dan menangisinya. Sampai akhirnya dia masuk syurga.”

Saad bin Jubair mengatakan, “Berapa banyak orang yang berbuat dosa, sehingga noda dosa itu masih melekat pada dirinya (namun kerana bertaubat), akhirnya dia masuk syurga,”

Inilah keadaan dan perbuatan yang dilakukan orang-orang soleh. Ketika mereka berbuat dosa dan berbuat kesalahan, mereka menangis dan hati mereka terasa sangat sedih. Dengan taubat itu mereka masuk syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.

2. Rasa takut senantiasa menghantui siang dan malam.

Sufyan Ats Tsauri, apabila hendak tidur, membolak-balikkan tubuhnya di atas tilam dengan penuh rasa takut dan rasa malu. Dia berkata, “Dengan tilam ini saya mengingatkan kubur..”

Seorang penyair mengatakan: “Kubur boleh menjadi sebagai taman syurga atau boleh juga sebagai jurang api neraka. Kalau dia baik, maka untuk selanjutnya di sisi Rabb kita akan jauh lebih baik bagi hamba-Nya. Kalau dia buruk, maka yang sesudahnya akan jauh lebih buruk lagi. Celakalah bagi hamba yang menyimpang dari jalan Allah”.

3. Hendaknya hati kita patuh, tunduk dan merendahkan hati kepada Allah

Sesungguhnya rintihan penyesalan seorang yang melakukan dosa lebih baik di sisi Allah daripada seorang ahli ibadah yang sombong dan bermegah-megah dengan amalannya.

Diceritakan dalam sebuah hadis sahih, “seorang dari Bani Israil berkata kepada pendosa, “Bertaubatlah kamu kepada Allah”. Orang itu berkata:

“Demi Allah, Allah tidak akan mengampunimu,” Maka Allah berfirman, “Siapakah orang yang bersumpah dengan atas namaKu? Aku menjadikan kamu sebagai saksi bahawa Aku mengampuni si pendosa ini dan Aku menghapus semua amalan orang ini.” (HR Muslim)

4. Sentiasa tekun membuat sesuatu yang Allah ridha

Mengekalkan amal ketaatan sehingga kematian menjemput diri kita. Misalnya membaca Al Quran setiap hari.

Firman Allah: “Dan sembahlah Rabbmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal),” (Surah Al Hijr ayat 99).

Ibadah adalah satu amalan yang berterusan sehingga kita berjumpa dengan Allah dalam keadaan taat kepadaNya.

Rujukan:

Dr A’idh al Qarni M.A., Jadilah Pemuda Kahfi – Ekspresi Cinta Seorang Ulama kepada Pemuda, terjemahan H. Sarwedi M.Amin Hasibuan, Lc, Solo; Aqwam, 2005

No comments:

Post a Comment