Wednesday, October 13, 2010

Anas Bin Malik Al Ansori

Anas bin Malik merupakan sahabat Rasulullah S.A.W. yang menjadi perawi ketiga terbanyak meriwayatkan hadis baginda Rasulullah S.A.W. selepas Abu Hurairah dan Abdullah Bin Umar. Beliau diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh ibunya, Ghumaiso’ ketika masih usia kanak-kanak. Sanubarinya dipenuhkan ibunya dengan rasa cinta terhadap Nabi Muhammad S.A.W.

Anas dilamun cinta mendengar kisah Nabi S.A.W. Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah ibu Anas datang bertemu Rasulullah bersama-sama dengan Anas. Setiba di depan Rasulullah, ibunya memberi salam. Katanya: “Wahai Rasulullah semua lelaki dan wanita Ansar telah memberi hadiah kepada tuan. Namun saya tiada apa-apa yang boleh saya hadiahkan selain anak saya ini.... ambillah dia. Dia akan berkhidmat untuk tuan mengikut apa sahaja yang tuan mahu..”

Rasulullah amat gembira dan menyambut anak tersebut dengan senyuman yang manis. Beliau mengusap-ngusap kepala Anas yang ketika itu berumur 10 tahun. Nabi S.A.W. menyentuh anak rambut Anas dengan hujung jarinya. Lalu baginda menjadikannya sebahagian anggota keluarganya.

Anas Bin Malik dilayan baik oleh Nabi S.A.W. Hinggakan anak pun tidak dapat merasai layanan sebegitu daripada bapanya. Beliau dapat mengecapi kecantikan sifat mulia dan keagungan keperibadian baginda Rasulullah S.A.W.

Kata Anas Bin Malik: “Rasulullah S.A.W. merupakan manusia yang paling berakhlak mulia, amat berlapang dada dan terlalu penyayang.
Satu hari baginda meminta saya pergi menyelesaikan satu urusan. Lalu saya pun keluar. Sedangkan ketika itu saya pergi bermain dengan rakan sebaya saya di pasar. Maka saya tidak pergi ke tempat yang Rasulullah maksudkan. Sesampai saya ke tempat rakan-rakan saya, saya rasa ada orang berdiri di belakang saya dan dia memegang baju saya...
Saya pun berpaling , saya lihat Rasulullah tersenyum seraya berkata: “Wahai Unais (panggilan manja beliau), adakah kamu telah pergi ke tempat saya suruh tadi?”

Saya rasa bersalah dan saya berkata: “Baiklah. Saya akan pergi sekarang juga wahai Rasulullah.”

Demi Allah! Saya telah berkhidmat dengan Nabi S.A.W. selama 10 tahun. Tidak pernah sekalipun Rasulullah berkata: “Mengapa kamu buat begitu...” jika saya melakukan sesuatu. Apabila saya tidak melakukan sesuatu perkara, baginda juga tidak pernah berkata: “Mengapa kamu tidak lakukannya..”

Apabila Rasulullah S.A.W. memanggil Anas, beliau akan memanggil dengan panggilan manja iaitu Unais. Adakala baginda memanggil “Wahai anakku.”

Rasulullah S.A.W. pernah berpesan kepada Anas:
“Wahai anakku, jika kamu mampu pada waktu pagi dan petang tidak berdendam dengan sesiapa, lakukanlah. Wahai anakku itu merupakan sunnahku. Sesiapa yang menghidupkan sunnahku sesungguhnya dia mencintaiku, Sesiapa yang mencintaiku sesungguhnya dia akan bersamaku di syurga. Wahai anakku, jika kamu pulang bertemu keluargamu, berikan salam kepada mereka. Kerana ia akan membawa keberkatan kepadamu juga keluargamu.”

Anas bin Malik sentiasa hidup dengan memori bersama Rasulullah S.A.W. sepanjang hayatnya selama 103 tahun. Beliau amat gembira bila mengingati kali pertama bertemu baginda Rasulullah S.A.W. Manakala air matanya akan bercucuran apabila teringat hari kewafatan baginda Rasulullah S.A.W. Apabila beliau menangis orang disekeliling beliau juga turut menangis.

Anas bin Malik amat berharap memperolehi syafaat Rasulullah S.A.W. pada hari kiamat kelak. Beliau sering berkata: “Sesungguhnya saya berharap dapat bertemu Rasulullah S.A.W. pada hari kiamat. Saya akan katakan kepada baginda: “Wahai Rasulullah ini khadam kecilmu Unais.”

Beliau mewasiatkan agar tongkat pendek kepunyaan Rasulullah S.A.W. dikebumikan bersama-sama jenazahnya. Maka tongkat tersebut diletakkan di dalam bajunya.

Doa:
“Ya Allah! Sesungguhnya aku mencintai para sahabat Nabi-Mu Muhamad S.A.W., sebenar-benar dan sedalam-dalam cinta. Maka serahkanlah aku kepada mereka(untuk memperolehi syafaat mereka) pada hari Kiamat. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa aku mencintai mereka kerana-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.”

Rujukan:

Dr Abdul Rahman Ra’fat Al- Basha, 65 Gambaran Kehidupan Sahabat, Jilid 1, terjemahan oleh Ust Abdul Hakam Bin Jaafar & Ust. Mohd Noor Bin Daud, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur, Mac 2006.

No comments:

Post a Comment