Tuesday, June 23, 2009

TAQWA (Siri ke 2)

Memelihara taqwa

1. Suatu hari Abu Dzar Al Ghifari datang kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan meminta nasihat kepada baginda:

“Wahai Rasulullah, berikanlah wasiat kepada saya”.

Jawab Rasulullah, “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya dialah (taqwa) bagi segala-galanya”.

Kemudian, berkata Abu Dzar lagi, “Ya Rasulullah, tambahkanlah sedikit lagi”.

Jawab Rasulullah, “Hendaklah kamu membaca Al Qur’an. Sesungguhnya ia (membaca Al Qur’an) adalah cahaya di dunia dan simpanan di Akhirat nanti”.

Rasulullah juga berpesan kepada Abu Dzar supaya membaca Al Qur’an. Sesungguhnya para sahabat sangat mengambil berat membaca Al Qur’an. Pada bulan Ramadhan rumah mereka kedengaran seperti bunyi lebah kerana membaca Al Qur’an.

Sehubungan dengan Al Qur’an, Ibn Taimiyyah ada menegaskan:

“Sesiapa yang tidak membaca Al Qur’an, bermakna dia hijrah meninggalkan Al Qur’an. Sesiapa yang membaca tanpa tadabbur bermakna dia hijrah meninggalkan Al Qur’an. Sesiapa yang tadabbur tanpa mengamalkan Al Qur’an bermakna dia juga hijrah meninggalkan Al Qur’an”.

2. Firman Allah Subhanahuwata’ala (yang bermaksud):

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah. Seseorang itu hendaklah melihat apa yang akan dikemukakan pada hari esok”.

Mu’az bin Jabal ialah seorang yang membuka institusi pendidikan di San’ak. Sebuah institusi pendidikan yang masih kekal hingga hari ini.

Sebelum Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam melepaskan Mu’az bin Jabal ke Yaman sebagai wakilnya, Rasulullah memegang tali kudanya dan berkata (yang bermaksud):

“Sesungguhnya orang yang paling hampir denganku ialah orang yang paling bertaqwa kepada Allah walau bagaimana pun keadaan mereka”.

Pesan Rasulullah lagi (yang bermaksud):

“Kamu mungkin tidak akan berjumpa saya lagi selepas ini. Hanya engkau kan menziarahi maqam saya sahaja”.

Itulah natijah pentarbiyyahan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Para sahabat sentiasa dipesan supaya memelihara taqwa mereka.

No comments:

Post a Comment