Thursday, June 11, 2009

IMAN (Siri 1)

Pengertian dan ciri-ciri Iman

Iman adalah membenarkan dengan hati, mengaku dengan aqal fikiran dan membuktikan dengan amalan-amalan.

Hati yang beriman ialah hati yang benar-benar yakin dan percaya kepada Allah Subhanahuwata’ala dan rasul-Nya. Tasdiq atau keyakinan tidak bercampur syak dan tidak ragu-ragu. Juga tidak ada rasa tidak puas hati, rasa tidak layak, rasa lapuk dan rasa was-was terhadap segala ajaran Allah Subhanahuwata’ala. Inilah keimanan yang penuh yakin dan tidak bergoncang lagi.

Iman yang benar meresap ke dalam hati dan bertakhta di jiwa, menggerakkan anggota zahir untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala, menjadikan perkara-perkara ghaib seperti syurga dan neraka seolah-seolah hadir di hadapan mata, memenuhkan jiwa dengan peranan tenang, tabah dan tetap pendirian. Orang-orang yang mempunyai iman seperti ini akan sanggup bekorban apa sahaja di jalan Allah Subhanahuwata’ala. Mereka bergantung, percaya, tawakkal, berharap, takut dan menyerah kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Kesan iman pada hati dan kehidupan

Apabila pengertian iman seperti di atas memenuhi hati seseorang muslim, maka jiwanya akan ringan melakukan apa sahaja bentuk ibadah dan ikhlas semata-mata kepada Allah Subhanahuwata’ala. Ibadah dan iman seperti ini mempunyai pengaruh dan kesan yang besar dalam kehidupan dunia dan akhirat. Kehidupan dunia akan dipenuhi dengan kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan yang meresap di seluruh pelusuk jiwa. Kegemilangan yang sungguh indah dan cahaya yang terang akan memenuhi hati seseorang muslim. Apabila cahaya batin ini bertambah sinarnya dan melimpah di wajah muslim, sinar yang dapat dilihat oleh orang-orang yang beriman sekali pun kulit muslim itu hitam atau sawo matang. Manakala di akhirat pula kemanisan iman ini akan dapat dirasakan lebih manis daripada madu.

Rujukan:

Penjelasan tentang iman oleh Al-Imam Asy-Syahid Hassan al-Banna.

No comments:

Post a Comment