Thursday, June 11, 2009

KONSEP SYAHADAH لا إلٰه إلا الله (Siri 1)

Muqaddimah

Kalimah لا إلٰه إلا الله adalah kalimah yang menggambarkan mu’jizat daripada Allah Subhanahuwata’ala . Ia terdiri daripada 3 huruf iaitu ه ل أ . Manakala kalimah الله juga terdiri daripada tiga huruf ه ل أ .

Kalimah لا إلٰه إلا الله membawa pengertian wala’ (ta’at dan setia) kepada Allah Subhanahuwata’ala dan bara’ (menolak, mengingkar dan melepaskan diri) daripada selain Allah Subhanahuwata’ala. Inilah sikap seorang mu’min apabila bersyahadah dengan kalimah لا إلٰه إلا الله. Penyimpangan daripada wala’ dan bara’ yang betul akan membawa kepada dosa yang besar, bahkan boleh membawa kepada syirik.

Kalimah Muhammad Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah bahagian yang kedua daripada syahadatain. Ini bermakna dalam rangka mengamalkan wala’ dan bara’ sepertimana yang dituntut dalam syahadah لا إلٰه إلا الله maka mestilah mengikut petunjuk dan tunjuk ajar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mendapat pengesahan daripada Allah Subhanahuwata’ala untuk membawa dan melaksanakan kebenaran (al-haq). Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah tauladan bagi perlaksanaan bara’ dan wala’.

Kalimah لا إلٰه إلا الله

لا ialah penolakan (bara’) iaitu menolak atau mengingkari sembahan selain daripada Allah Subhanahuwata’ala (dan hanya menerima Allah Subhanahuwata’ala sahaja sebagai sembahan). Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Bahawa, sembahlah Allah (saja), dan jauhilah thaghut"
(Surah An-Nahl, 16:36)

إله ialah ilah yang ditolak atau sembahan yang ditolak (berdasarkan syahadah di atas). Penyimpangan daripada tauhid atau syirik akan berlaku apabila manusia tidak menolak sembahan selain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah Subhanahuwata’ala, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya."
(An-Nisa’, 4:116)

إلا bermakna ’kecuali’, yakni suatu peneguhan dan penegasan bahawa Allah Subhanahuwata’ala sebagai satu-satunya ilah yang disembah - untuk manusia mengabdi dan beribadah kepada-Nya.

الله bermakna pengakuan tegas dan muktamad bahawa Allah Subhanahuwata’ala sebagai satu-satunya ilah yang disembah dan diabdikan diri.

Al-Bara’

Bara’ (pengingkaran) adalah natijah daripada kalimah tauhid لا إلٰه إلا الله , yang bermakna mengingkari, memisahkan diri, membenci dan memerangi segala ilah selain daripada Allah Subhanahuwata’ala seperti hawah nafsu dan sistem hidup yang bukan Islam.

Natijah daripada bara’ akan menghasilkan usaha untuk menghancurkan segala bentuk penyembahan atau pengabdian kepada selain daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Al–Wala’

Wala’ bermakna mentaati, mendekatkan diri, mencintai sepenuh hati, membela, mendokong dan menolong. Wala’ ditujukan kepada Allah Subhanahuwata’ala dan kepada sesuatu yang diizinkan oleh Allah Subhanahuwata’ala seperti mentaati Rasul dan mentaati orang-orang beriman.

Wala’ kepada Allah Subhanahuwata’ala akan menjadikan seseorang mu’min itu mencintai Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Katakanlah: "Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah Subhanahuwata’ala dan RasulNya dan dari berjihad di jalan nya, Maka tunggulah sampai Allah Subhanahuwata’ala mendatangkan Keputusan Nya". dan Allah Subhanahuwata’ala tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik."
(At-Taubah, 9 : 24)

Bukti seorang mu’min yang wala’ kepada Allah Subhanahuwata’ala sepenuhnya ialah beliau bersiap sedia untuk mendokong dan menolong din Allah Subhanahuwata’ala .

No comments:

Post a Comment