Tuesday, June 16, 2009

JANGANLAH BERPUTUS ASA UNTUK BERTAUBAT (Siri 1)


Islam menyeru kepada kebaikan

Islam adalah manhaj kehidupan yang terang, jelas dan terbaik. Manhaj ini sudah cukup untuk membimbing manusia mencapai tahap ketinggian dan melayakkannya menjadi khalifah Allah Subhanahuwata’ala di muka bumi ini.

Ramai manusia yang tersesat, melakukan ma’siat atau terseleweng daripada jalan yang terang dan jelas, sama ada disebabkan kejahilan, terpengaruh dengan suasana, tunduk kepada hawa nafsu atau terpesona dengan seruan yang sia-sia.

Penyelewengan-penyelewengan ini menurunkan darjat manusia dan menghalangnya daripada kesucian dan ketinggian. Akhirnya, jatuhlah nilai dirinya dan lemahlah tenaganya. Dan juga jatuhlah ia ke dalam suasana yang menghalangnya daripada mengikuti kebenaran.

Bilamana manusia sampai ke tahap ini, tiadalah rasa izzah terhadap risalah Islam yang tertinggi, cita-cita yang mulia dan contoh yang baik baginya. Seluruh tenaganya adalah untuk kepentingan dirinya, memuaskan nafsunya, mengutamakan dirinya dan menolak kepentingan orang lain.

Di saat ini dunia kehilangan jiwa-jiwa dan contoh-contoh yang baik. Manusia bertarung dengan sedahsyat-dahsyat pertarungan, lebih buruk daripada pertarungan di antara haiwan yang buas.

Islam sentiasa menyeru manusia berpegang kepada kebenarannya serta berpaut dengan talinya agar tidak tersesat di dalam perjalanan dan tidak tersilap di dalam matlamat. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Maka berpegang teguhlah kamu kepada agama yang telah diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus. Dan sesungguhnya al-Quran itu benar-benar adalah satu kemuliaan besar bagimu dan bagi kaummu dan kelak kamu akan diminta pertanggungjawaban. "
(Surah az-Zukhruf: ayat 43-44.)

Bertaubatlah di atas kesalahan

Kadangkala manusia tersesat kerana ia lemah, jiwanya terlena dan ruhnya tertidur, manakala hawa nafsunya terbebas dan mengaburi matlamatnya. Ketika itu terhentilah pertarungan antara ruhnya dan hawa nafsu tersebut.

Dalam keadaan yang teruji ini, janganlah kamu berkata kepada diri kamu sendiri bahawa kamu bukanlah dijadikan sebagai malaikat yang suci lagi bersih serta bukan juga seorang manusia yang ma'sum (terpelihara). Katakanlah kepada diri kamu sendiri bahawa kamu hanya seorang manusia yang sentiasa berperang di antara kebaikan dan kejahatan. Kadangkala ruh kamu menang lalu meningkat tinggi dan kadangkala nafsu kamu menang lalu kamu jatuh ke tempat yang rendah.

Kamu hendaklah membetulkan kesilapan kamu apabila tersilap dan merawat kesakitan kamu apabila terjatuh sakit. Kamu hendaklah membersihkan jiwa kamu daripada karat-karat jahiliyah yang terlekat di jiwa kamu dengan cara bertaubat dan hendaklah kamu memulakan hidup yang baru. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiawasallam (yang bermaksud):

" Setiap anak Adam melakukan kesilapan, tetapi sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah orang yang bertaubat.”

"Sesungguhnya Allah Ta'ala membuka (tangan-Nya) di waktu malam untuk menerima taubat orang-orang yang melakukan kesilapan di siang hari dan membuka (tangan-Nya) di waktu siang untuk menerima taubat orang-orang yang membuat kesilapan di waktu malam sehinggalah tiba hari akhirah."

Dengan ini terhapuslah segala kesilapan. Jiwa kamu kembali kuat, hati menjadi sejahtera dan akan menanglah kekuatan ruh dan tewaslah kehendak-kehendak hawa nafsu.

Allah Subhanahuwata’ala Maha Mengetahui tabi’at manusia yang lemah. Ia tidak mentaklifkan ke atas manusia supaya 'ismah (suci dari dosa), kerana taklif ini tidak mampu disempurnakan oleh manusia. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo’a): Ya Rab kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Rab kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Rab kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkau Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. “
(Surah al-Baqarah: ayat 286)

Allah Subhanahuwata’ala mentaklifkan manusia supaya berkejar ke arah 'ismah setiap kali diri mereka lari daripada-Nya dan supaya mereka membersihkan diri setiap kali mereka melakukan dosa. Nabi Adam ‘Alaihisalam juga pernah melakukan kesilapan. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Kedua-duanya berkata: Ya Rab kami, kami telah mengianiaya diri kami sendiri dan jika engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami nescaya kami termasuk di dalam orang-orang yang merugi. "
(Surah al-A'raf: ayat 23.)

"Kemudian Rabnya memilihnya, maka Dia menerima taubatnya dan memberinya petunjuk ."
(Surah Taha: ayat 122)

"Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Rabnya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubatnya lagi Maha Penyayang. "
(Surah al-Baqarah: ayat 37)

Islam sentiasa membuka pintu harapan

Islam sentiasa membuka pintu harapan dan mengajak mereka yang telah melakukan dosa supaya bertaubat dan meminta keampunan daripada Allah Subhanahuwata’ala (dengan beristighfar kepada-Nya). Allah Subhanahuwata’ala mengampuni mereka walau sebesar mana sekali pun dosa mereka. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:

"Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, sesunguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semua. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah az-Zumar: ayat 53)

"Dan barangsiapa yang melakukan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia memohon ampun daripada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. "
(Surah an-Nisa: ayat 110)

Firman Allah Subhanahuwata’ala di dalam sebuah hadith al-Qudsi (yang bermaksud):

"Allah berfirman: Wahai anak Adam, selagi engkau berdoa terhadap-Ku dan bergantung harap kepada-Ku, Aku akan mengampunimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam walaupun dosamu memenuhi awan di langit, kemudian engkau memohon ampun daripada-Ku, Aku akan mengampunimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi dan engkau berjumpa dengan-Ku dalam keadaan engkau tidak syirik pada-ku sedikitpun, maka Aku akan datang kepadamu sebanyak itu juga dengan keampunan. "

Rujukan:
Sayyid Sabiq, Buku: Islamuna.

No comments:

Post a Comment