Tuesday, June 16, 2009

JANGANLAH BERPUTUS ASA UNTUK BERTAUBAT (Siri ke 2)

Cara bertaubat

Taubat dalam Islam tidak berhajat kepada sumpah seperti yang dilakukan oleh agama Kristian. Tidak juga berhajat kepada syeikh atau guru dan tidak juga pergi ke suatu tempat yang tertentu. Taubat dalam Islam ialah suatu kesedaran jiwa untuk melakukan perubahan. Menyedari dirinya telah melakukan penyelewengan daripada manhaj hidup yang betul dan berusaha untuk kembali serta tetap di atasnya.

Selama mana orang yang bertaubat itu memohon ampun kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan jiwa itu sedar, memperbaiki kesilapan yang lalu dan berusaha untuk kembali kepada apa yang sepatutnya, maka itulah sebenarnya taubat yang disukai oleh Allah Subhanahuwata’ala. Kerana itulah Allah Subhanahuwata’ala mengampuni dosa-dosa yang telah dilakukan. Firman-Nya yang bermaksud:
"Dan apabila orang-orang yang melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka. Dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa mereka selain daripada Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji tersebut sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasan mereka keampunan dari Rab mereka dan balasan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang kekal mereka di dalamnya, itulah sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang beramal.”
(Surah Ali 'Imran: ayat 135-136)

Oleh itu Allah Subhanahuwata’ala memberi peluang kepada orang yang mengakui keburukan, kesalahan dan kezaliman yang mereka telah kerjakan apabila mereka mengingati Allah Subhanahuwata’ala. Serta mereka menyedari bahawa mereka tidak berkuasa ke atas kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala kerana terlalu sedikit kemampuan yang mereka miliki. Di kala mereka menyedari kesilapan, mereka terus merasa pedih, sakit dan sedih yang amat sangat, maka mereka terus berlari kepada Allah Subhanahuwata’ala dan memperbaiki kesilapan dengan segera. Inilah sebenarnya tanda hati yang sihat dan jiwa yang hidup. Manakala orang yang berdegil tetap melakukan dosa dan berterusan dengannya, membuktikan jiwanya kosong dan mati. Degil adalah sifat orang-orang yang kafir. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewah dan mereka terus menerus melakukan dosa yang besar. “
(Surah al-Waqi'ah: ayat 45-46.)

Allah Subhanahuwata’ala meletakkan syarat taubat yang diterima ialah taubat itu hendaklah dilakukan dengan segera dan tidak meneruskan lagi kesilapan yang lalu. Firman-Nya yang bermaksud:
"Sesungguhnya taubat di sisi Allah ialah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima oleh Allah taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."
(Surah an Nisaa’ : 17)

Orang yang bertaubat hendaklah bersegera melakukan amal soleh. Maka amal soleh itu menghapuskan kejahatan seperti cahaya matahari menghapuskan kegelapan malam. Dan apabila amalan yang dilakukan itu disertai dengan keikhlasan dan keyakinan yang sepenuhnya, semua ini akan mebersihkan jiwa dan mensucikannya.

Sebenarnya keampunan yang dianugerahkan Allah Subhanahuwata’ala akan menghilangkan semua dosa sama sekali. Oleh itu taubat hendaklah sentiasa diiringi oleh amal soleh. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:.
"Apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami itu datang kepadamu, maka katakanlah : Salaamun – alaikum. Rab kamu telah menetapkan atas diri-Nya kasih sayang iaitu bahawasanya sesiapa yang melakukan kejahatan di antara kamu lantaran kejahilan, kemudian ia bertaubat setelah mengerjakannya dan melaksanakan pembaikan, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Surah al-An'am: ayat 54)

"Sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh kemudian tetap di jalan yang benar. "
(Surah Taha: ayat 82)

"Kemudian Rabmu (mengampuni) bagi orang-orang yang mengerjakan kesalahan kerana kebodohannya, kemudian mereka bertaubat setelah itu dan memperbaiki dirinya. Sesungguhnya Rabmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. "
(Surah an-Nahl: ayat 119.)

"Dan orang-orang yang tidak menyembah ilah lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya ia mendapat pembalasan dosanya. Iaitu akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari qiyamah dan ia kekal di dalam azab tersebut dalam kedaaan terhina, kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amalan soleh. Maka mereka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya. "
(Surah al-Furqan: ayat 68-71)
Amalan-amalan soleh yang dapat menghapuskan dosa adalah banyak. Antaranya ialah:


1) Berwudhu'

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu’anhu mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah bersabda (yang bermaksud):

"Apabila seseorang hamba Muslim atau Mu'min itu membasuh mukanya maka keluarlah segala dosa dari pandangan matanya dengan mengalir air wudu'. Apabila ia membasuh tanganya maka terhapuslah dosa yang dilakukan oleh kedua-dua belah tangannya bersama mengalir air wudhu'. Apabila ia membasuh kedua belah kakinya dengan mengalirnya air sehingga ia menjadi bersih daripada dosa-dosa.”

2) Mengerjakan solah

Daripada Abu Hurairah telah berkata (yang bermaksud):
"Saya mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
"Apa pendapat kamu jika di depan rumah seorang kamu terdapat sebatang sungai, lalu ia mandi di dalamnya lima kali sehari, ada atau tidak daki terlekat pada tubuhnya."

Jawab sahabat-sahabat: "Tiada lagi."

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda lagi:
"Begitulah solah lima waktu. Allah (Subhanahuwata’ala) membersihkan dengannya dosa-dosa.”

3) Mengerjakan Solah Jumaat

Hadith diriwayatkan oleh Bukhari daripada Salman al-Farisi berkata bahawa sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud):
"Tiada seorang pun yang mandi pada hari Jumaat dan membersihkan badannya sebersih-bersihnya, memakai minyak wangi, kemudian ia keluar dari rumahnya dalam keadaan tidak bermusuhan dengan siapa pun, kemudian ia mengerjakan solah yang diwajibkan ke atasnya serta dia diam bila imam berkhutbah, kecuali akan diampunkan dosanya sehingga datang hari Jumaat yang lain.”

4) Mengerjakan haji dan umrah

Abu Hurairah berkata bahawa ia pernah mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
"Sesiapa yang menunaikan haji dan ia tidak berkata-kata dengan perkara-perkara yang keji serta tidak melakukan kejahatan, maka dia akan pulang dalam keadaan seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.”

5) Berjihad

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu’anhu berkata (yang bermaksud):
"Seorang sahabat telah melalui sebuah lembah yang di dalamnya terdapat sebuah mata air yang jernih dan menakjubkannya lalu ia berkata: "Jika aku mengasingkan diriku daripada manusia dan tinggal di lembah ini .... tetapi aku tidak melakukannya melainkan setelah diizinkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Kemudian beliau bertanya Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, Baginda bersabda: "Jangan lakukannya. Sesungguhnya kedudukan salah seorang daripada kamu fi sabillillah lebih baik daripada mendirikan solah di rumahnya selama 70 tahun. Tidakkah engkau mengingini Allah mengampuni kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga? Berperanglah di jalan Allah. Sesiapa yang berperang di jalan Allah sekalipun tempohnya selama diperahkan susu unta, wajiblah kepadanya syurga."

6) Berakhlaq dengan akhlak yang baik

Akhlak baik seperti memberi maaf, bermanis muka dan bersalam-salaman ketika tersilap akan menghapuskan dosa-dosa. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
"Tidak seorang muslim yang bertemu dan bersalam-salaman kecuali Allah (Subhanahuwata’ala) mengampuni dosa kedua-duanya sebelum berpisah. "

7) Bersabar menanggung kesakitan

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud):
"Tidak akan terkena ke atas seorang muslim daripada kepenatan, kesakitan, kesusahan, kesedihan dan kedukaan sehingga duri yang mencucuknya kecuali semua itu akan diampunkan dosa-dosanya. "

8) Beristighfar kepada Allah Subhanahuwata’ala

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud):
"Sesiapa yang sentiasa beristghfar, Allah akan memberikan jalan keluar dalam setiap kesusahan dan memberikan kemudahan dalam setiap kepayahan dan memberikan rezeki yang tidak disangka-sangka."

Rujukan:

Sayyid Sabiq, Buku: Islamuna.

No comments:

Post a Comment