Tuesday, June 16, 2009

MAKSIAT DAN KESAN-KESANNYA DI DUNIA

Maksiat lawannya ta’at. Hanya Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya yang dapat menentukan sesuatu amalan itu sama ada ta’at atau maksiat.

Maksiat mempunyai kesannya sepertimana ta’at juga mempunyai kesannya. Keta’atan menjadi suatu yang manis bagi si mu’min, manakala maksiat adalah suatu kelazatan bagi si penderhaka kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Sesungguhnya maksiat dan pengaruhnya sangat membahayakan insan di dunia dan akhirat. Mu’min sentiasa berhati-hati dalam kehidupan hariannya agar tidak terperangkap dalam kemaksiatan.

Kita hendaklah mempelajari daripada al-Qur’an dan As-Sunnah untuk memahami perkara-perkara ta’at dan perkara-perkara maksiat.

Kesan-kesan kemaksiatan yang dilakukan oleh seseorang hamba dapat dilihat semasa hidupnya di dunia ini lagi. Kesan-kesan itu ialah:

1) Tidak mendapatkan ilmu yang sebenar

Ilmu adalah sinar yang diletakkan Allah Subhanahuwata’ala ke dalam hati. Sedangkan maksiat memadamkan sinar tersebut.

Pernah Imam Malik menasihatkan Imam Syafi’i yang belajar dengarnya:

"Saya melihat Allah (Subhanahuwata’ala) telah meletakkan sinar dalam hatimu. Jangan engkau padamkan dengan kegelapan maksiat."

Imam Syafi’i juga pernah mengeluh:

"Saya mengeluh kepada Waki' bahawa hafalanku jelek, lantas dia menasihatiku untuk meninggalkan maksiat. Sambung Waki': Ketahuilah bahawa ilmu itu anugerah Allah, dan Allah tidak berikan kepada pelaku maksiat."


2) Tidak mendapat rezeki yang diberkati

Dalam Musnad Imam Ahmad ada menyatakan:

"Sesungguhnya seorang hamba tidak mendapatkan rezeki kerana dosa yang diperbuat."

Sememangnya jelas bahawa taqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala itu akan membawa kepada kemurahan rezeki yang diberkati, sedangkan meninggalkan taqwa mendatangkan kefakiran dan kemiskinan yang sebenar.

3) Kerisauan dan kesepian di hati

Hati seorang insan pelaku maksiat dengan Allah Subhanahuwata’ala, tidak ada keseimbangan dan kenikmatan, malahan yang terbit dari hatinya hanyalah kegelisahan dan kesepian. Sekiranya kenikmatan dunia seisinya diberikan kepadanya, tetap tidak akan mampu mengimbangi keresahan tersebut.
Tidak ada yang lebih pahit bagi hati insan daripada kerisauan kerana kesepian atau keterasingan antara dirinya dengan orang lain, lebih-lebih lagi dengan orang-orang yang sebelumnya baik dengannya. Bilamana perasaan keterasingan itu menjadi kuat, maka dia akan menjauhkan dirinya dari lingkungan orang-orang tadi.

Akhirnya, jika hati yang terasing itu banyak melakukan maksiat, dia akan mendekati kelompok syaitan, dan jauh dari kelompok yang dekat dengan Allah Subhanahuwata’ala. Kesan seterusnya, perasaan keterasingan itu akan menguasai dirinya dan dia akan mula terasa terasing dari keluarganya serta anak-anaknya, dan ini akan terus menambahkan kerisauan dan rasa tertekan dalam dirinya.

4) Banyak mendapat kesulitan

Orang yang tidak bertaqwa akan mendapat kesukaran dalam pelbagai urusannya. Kehidupannya banyak menemui kesulitan, jalan buntu dan jalan penyelesaian yang serba sulit.

5) Kegelapan dalam hati

Kegelapan dalam hatinya akan sungguh-sungguh ia rasakan seperti gelap pekatnya malam. Bila ia diberi petunjuk, maka kegelapan maksiatnya itu menutupi hatinya.

Berkata Abdullah bin Abbas:

"Sesungguhnya pada kebaikan itu ada cahaya pada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan serta kecintaan di hati ramai orang terhadap dirinya. Adapun pada perbuatan buruk terdapat warna hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan badan, kekurangan rezeki dan rasa benci kepadanya di hati ramai orang."

6) Melemahkan hati dan badan

Orang mu’min itu kekuatannya terletak pada hatinya. Bilamana hatinya kuat, badannya pun menjadi kuat. Sedangkan orang yang jahat dan penuh dengan maksiat, walaupun badannya kuat, namun hatinya sangat lemah. Bayangkan dalam sejarah yang lalu, kekuatan badan orang-orang Persia dan Romawi dapat dihancurkan oleh orang-orang mu’min dengan kekuatan hati yang kuat imannya kepada Allah Subhanahuwata’ala.

7) Kehilangan keta’atan

Tidak ada hukuman bagi suatu dosa, kecuali hukuman itu adalah terhalangnya seseorang daripada keta’atan terhadap Allah Subhanahuwata’ala. Juga akan terputuslah jalan-jalan kebaikan baginya. Keta’atan itu lebih baik daripada dunia seisinya.

8) Mengurangi umur dan mengikis keberkatan

Sebahagian ulama mengatakan, bahawa kurangnya umur orang yang suka melakukan maksiat bermakna hilangnya keberkatan umur. Hidup ini sebenarnya adalah kehidupan hati.

Umur manusia beriman ialah apabila hatinya hidup dan bersama-sama dengan Allah Subhanahuwata’ala. Itulah umur yang sebenar. Bila hidupnya berpaling daripada Allah Subhanahuwata’ala dan sibuk dalam kemaksiatan, maka hilanglah kehidupan yang hakiki. Sehingga pada akhirnya (di akhirat nanti) pelaku-pelaku maksiat akan berkata:
"Dia mengatakan: "Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal saleh) untuk hidupku ini".
(Al-Fajr:24).

Rujukan:
Ibn Qayyim, buku: Terapi Penyakit Hati.

No comments:

Post a Comment