Thursday, June 11, 2009

TAUHID AL-ULUHIYYAH (Siri ke 3)



Tauhid al-Rububiyyah menghubungkan Tauhid al-Uluhiyyah

Tauhid al-Rububiyyah ialah mengakui keesaan Allah Subhanahuwata’ala sebagai Rabb, Tuan, Penguasa, Pencipta dan Pengurnia secara mutlak. Tidak ada sekutu bagi-Nya di dalam Rububiyyah.

Sesungguhnya kesanggupan dan kesediaan manusia mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala dari segi Rububiyyah dengan segala pengertiannya akan menghubung atau menyebabkan manusia mengakui Tauhid al-Uluhiyyah iaitu mengesakan-Nya dalam pengabdian. Secara spontan pula manusia akan mengakui bahawa Allah Subhanahuwata’ala sahaja yang layak disembah, selain daripada-Nya tidak layak disembah walau dalam apa keadaan sekali pun.

Al-Quran terlebih dahulu memperingatkan orang-orang musyrikin Quraisy agar mengakui Tauhid al-Rububiyyah. Apabila mereka menerima Tauhid al-Rububiyyah dan bersungguh-sungguh mengakuinya, maka terbinalah hakikat Tauhid al-Uluhiyyah pada diri mereka. Hakikat ini jelas sepertimana firman-firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Apakah mereka mempersekutukan Allah dengan berhala-berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatu apapun? Sedangkan berhala-berhala tersebut adalah buatan manusia."
(Surah Al-A'raf: 191)

"Apakah (Allah) yang menciptakan segala sesuatu itu sama dengan yang tidak dapat menciptakan (apa-apa)? Maka mengapakah kamu tidak mengambil pengajaran?."


(Surah An-Nahl: 17)

"Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu serukan selain daripada Allah tidak dapat menciptakan seekor lalat, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiada mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah pula yang disembah."
(Surah Al-Hajj: 73)

Ayat-ayat tersebut mengingatkan orang-orang musyrikin mengenai suatu hakikat yang nyata iaitu sembahan-sembahan mereka adalah lemah, malah tidak berkuasa untuk mencipta sesuatu walaupun seekor lalat. Jika lalat itu mengambil atau merampas sesuatu dari mereka, maka mereka tidak berkuasa untuk mendapatkannya kembali. Ini menunjukkan betapa lemah yang meminta dan lemah pula yang dipinta. Oleh itu akal yang sejahtera tidak boleh menerima penyembahan selain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Dalam peribadatan mereka tidak boleh mempersekutukan sesuatu dengan Allah. Allah adalah al-Khaliq Yang Esa. Selain daripada-Nya adalah lemah dan dhaif belaka.

Rujukan:



Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul Ad-Da'wah.

No comments:

Post a Comment