Tuesday, June 23, 2009

TAQWA (Siri 1)

Pengertian Taqwa

1. Suatu hari Syaidina Umar Radhiallahu’anhu pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab tentang taqwa, “Apakah yang dimaksudkan tentang taqwa ya Ubai. Kata Ubai, “Tidakkah engkau pernah melalui satu jalan yang banyak duri?”. Jawab Umar, “Ya, saya pernah”. Kata Ubai, “Apakah yang engkau buat?”. Kata Umar, “ Saya angkat kain dan saya berhati-hati melangkah”. Kata Ubai, “Itulah taqwa.”

2. Taqwa adalah satu pengawasan. Untuk sampai ke peringkat taqwa seperti ini, maka seseorang itu perlulah melalui jalan iman dan memahami benar-benar akan Islam terutama perkara-perkara yang fardhu dan wajib difahami. Kalau tidak melalui jalan ini maka seseorang tidak boleh menjadi seorang yang bertaqwa pada Allah Subhanahuwata’ala dalam ertikata yang sebenarnya. Dia tidak akan tahu hendak mengawasi diri, dia akan terpijak duri dan tidak tahu mengikuti nilai Allah Subhanahuwata’ala. Justeru itu seseorang mestilah terlebih duhulu beriman pada Allah dan Islam sepenuhnya.

3. Taqwa juga adalah neraca. Taqwa membezakan diantara buruk dengan baik. Taqwa kepada Allah juga akan memurahkan rezeki. Taqwa akan memudahkan segala kesusahan. Taqwa menyebabkan pintu syurga Allah akan dibuka.

Taqwa lahir daripada perasaan takutkan Allah

Takutkan Allah Subhanahuwata’ala akan melahirkan taqwa kepada-Nya. Mengenai takut:

1. Takut kepada Allah Subhanahuwata’ala bermakna bahawa kita mematuhi dan mendampingi Allah Subhanahuwata’ala dalam semua urusan.

2. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ada bersabda bahawa baginda adalah orang yang paling takut kepada Allah Subhanahuwata’ala.

3. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam juga ada bersabda bahawa baginda adalah orang paling mengenali Allah Subhanahuwata’ala dan takut kepada-Nya.

4. Orang yang takut kepada Allah Subhanahuwata’ala akan berjaga-jaga dan berhati-hati agar tidak melakukan sesuatu yang dimurkai-Nya. Dia berjaga-jaga agar tidak terjatuh ke dalam perkara yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala mencampakkan ke dalam hatinya sifat berani dan ‘Izzah (rasa mulia) dengan iman.

5. Orang yang takut kepada Allah Subhanahuwata’ala akan takut kepada musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala. Dia tidak merasa segan silu dalam memperkatakan kebenaran.

6. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bahawa sesiapa takut kepada Allah Subhanahuwata’ala maka semua yang lain akan takut kepadanya. Tetapi sesiapa yang takut kepada selain daripada Allah Subhanahuwata’ala, maka dia akan takut kepada selain daripada Allah Subhanahuwata’ala.

7. Sesiapa yang takutkan Allah Subhanahuwata’ala, dia akan dapat mengawal nafsu syahwat. Maksiat akan dapat ditinggalkannya. Maksiat itu umpama madu yang telah bercampur dengan racun. Dia akan meniggalkannya setelah diketahuinya.

8. Dengan rasa takut kepada Allah Subhanahuwata’ala, maka anggota zahir seseorang itu akan terbentuk dengan baik, termasuklah tingkahlakunya. Sifat angkuh, ‘ujub dan riya’ akan hilang. Lahirlah rasa khusyu’ dan tawadhu’.

9. Dengan takut, hatinya menjadi bersih serta suci, jiwanya luhur, matanya mudah mengeluarkan airmata dan tangannya menjadi pemurah. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah bersabda bahawa baginda berdo’a (yang bermaksud):

“Ya Allah kurnialah kepadaku kedua mata yang mudah mengeluarkan airmata, yangmana lelehan air mata itu adalah kerana takut kepada-Mu sebelum lelehan darah”.

10. Orang yang takut kepada Allah Subhanahuwata’ala juga akan sentiasa sedar bahawa Allah Subhanahuwata’ala memerhatikannya. Dia tidak merasa mudah selamat daripada azab dan tindakan Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Barangsiapa yang tidak ingat kepada Ar-Rahman (Allah) maka Kami akan adakan baginya syaitan, maka syaithan itu sebagai teman karibnya.” (Surah az-Zukhruf: ayat 36).

11. Sifat-sifat orang Muslim yang mulia dijelaskan oleh Allah Subhanahuwata’ala di dalam Firman-Nya:
“Sesungguhnya orang-orang yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka, dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka, dan orang-orang yang tidak mempersekutukan Tuhan mereka, dan orang yangmana apa-apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut, sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itu akan segera untuk mendapat kebaikan dan merekalah orang-orang yang memperolehinya.”

12. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa baginda bersumpah:

Yang bermaksud:
“Demi Allah, sekiranya kamu sedar sepertimana apa yang akau tahu nescaya kamu akan ketawa sedikit dan menangis banyak (Bererti kamu akan menangis panjang jika kamu tahu terhadap apa yang akan menungguh kamu di masa hadapan. Inilah jiwa yang sentiasa takut kepada Allah Subhanahuwata’ala. Jiwa yang berkesan takut kepada Allah Subhanahuwata’ala).”

13. Contoh sifat Taqwa para sahabat ialah - pada suatu hari Abu Bakr as-Siddiq telah pergi ke sebuah taman dan ia melihat seekor burung sedang bersiul-siul. Dia berkata:
“Wahai burung sungguh bertuah kamu. Kamu makan, minum dan berterbangan di bawah pokok tanpa sebarang takut kepada hari perkiraan (Hisab). Aku ingin menjadi seperti kamu”.

14. Contoh sifat taqwa lagi ialah - pada suatu hari berlaku perselisihan antara Abu Dzar al-Ghifari dan Bilal Ibn Rabbah. Dalam perselisihan itu Abu Dzar telah memanggil Bilal dengan dengan panggilan, “Hai anak orang hitam”. Bilal telah mengadu kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tentang kata-kata Abu Dzar tersebut. Nabi Sallallahu’alaihiwasallam berkata (yang bermaksud):
“Sesungguhnya pada diri kamu (Abi Dzar) masih terdapat saki-baki Jahiliyyah”.

Mendengar berita ini Abu Dzar terus tunduk melutut agar Bilal memijak kepalanya. Begitulah gambaran ketaqwaan yang telah ditunjukkan oleh beberapa orang sahabat nabi. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Sesungguhnya orang yang paling takut kepada-Ku ialah golongan ‘ulama’.”
Surah al-Fatir: ayat 28.

15. Semakin kukuh iman seseorang maka akan semakin bertambah takutnya kepada Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala akan memberi pertunjuk kepadanya. Bila dia melakukan kebaikan Allah Subhanahuwata’ala akan memberikan berbagai-bagai kemudahan kepadanya.

No comments:

Post a Comment