Sunday, May 04, 2008

Penyelesaian Menurut Islam

Firman Allah yang bermaksud:
“Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka). Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisinya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang mereka sembunyikan dalam hatinya.” (Al-Maidah: 52)

Saya mengajak bangsa saya supaya mereka membuat pilihan. Ataupun dalam perkataan yang lebih tepat ialah supaya mereka menunaikan ikrar mereka dengan Allah dan dengan diri mereka sendiri. Mereka perlu melentur seluruh sudut kehidupan masyarakat kita ini menurut landasan Islam yang suci. Dengan ini, masyarakat kita akan terselamat daripada sebarang kekacauan, ketidakstabilan dan perpecahan yang kini wujud dalam setiap aspek.

Keadaan ini menghalang kita untuk terus mara. Keadaan ini menghalang kita untuk memahami jalan penyelesaian sebenar yang dapat menyelesaikan segala krisis yang melanda kita di dalam dan di luar. Di sini saya tegaskan bahawa tiada jalan lain yang dapat menyelamatkan kita melainkan kita perlu melalui jalan ini dengan penuh yakin. Kita perlu lakukan apa saja yang kita mampu. Kita perlu lakukan dengan tekun dan pantas.

Mungkin ada yang berkata: Ini tidak mungkin dicapai ketika seluruh elemen hidup moden hari tiada langsung berlandaskan landasan agama. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang hari ini memegang tampuk kuasa dan boleh menentukan halatuju semua bangsa telah menetapkan bahawa kehidupan manusia perlu dipisahkan daripada pegangan agama. Agama perlu dipisahkan daripada semua sudut kehidupan dan dipencilkan hanya dalam hati dan tempat-tempat ibadat sahaja. Itulah satu-satunya laluan orang yang beriman untuk berhubung dengan Allah.

Pihak yang berkata demikian sebenarnya tidak mengenali Islam dan tidak belajar tentang ajaran-ajaran dan hukum-hakam Islam. Mereka tidak memahami tabiat dan hakikat Islam yang sebenar. Mereka tidak memahami bahawa Islam merangkumi aspek keagamaan dan kemasyarakatan, masjid dan negara, dunia dan akhirat. Malah Islam menyentuh sudut praktikal dalam hidup dunia lebih daripada menyentuh sudut amal ibadat.

Namun demikian Islam tetap berjaya meletakkan kedud-dua bahagian hidup ini supaya berada di atas landasan hati yang sejahtera, emosi yang hidup , merasai kehadiran Allah dan jiwa yang suci. Ini bermakna agama adalah sebahagian elemen Islam.

Islam mengatur aspek agama sama seperti ia mengatur aspek dunia. Sebagai umat Islam, kita dituntut supaya meletakkan agama dan dunia kita di atas landasan Islam. Firman Allah yang bermaksud:
“Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”.
(Surah Al Maidah: 50)

Atas dasar ini para ulamak Islam meletakkan dasar hukum muamalat dan urusan hidup masyarakat sebagai dua perkara yang berbeza menurut pandangan syarak. Ini bermakna ruang untuk memberi pendapat dan ijtihad dalam perkara kedua (urusan hidup masyarakat) lebih luas berbanding perkara pertama (Muamalat). Ini bertujuan agar masyarakat tidak terbeban dan merasa sukar. Firman Allah yang bermaksud:
“Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran”.
(Surah Al Baqarah: 185)

Jika dasar ini tidak wujud akan timbul pelbagai masalah dalam masyarakat dan menambah lagi kesalahan yang telah sedia mereka lakukan. Mungkin akan berkata: “Bukankah ini bererti kita kolot dan kita membawa dunia berundur seribu tahun ke belakang . Adakah betul tindakan kita jika kita pada hari ini melaksanakan suatu sistem yang dibentuk untuk masyarakat yang hidup empat belas generasi sebelum kita. Apatah lagi ia dibentuk bukan di negara kita dan dalam budaya yang berbeza dengan budaya kita? Bukankah zaman telah berubah dan semakin maju?”

Bagi kita mereka ini juga tidak memahami tabiat agama Islam yang suci ini. Islam ini didatangkan kepada manusia membawa suatu gagasan yang suci dan menggariskan beberapa matlamat yang agung. Gagasan ini menggariskan dasar-dasar utama dan segala persoalan utama dengan tidak memperincikan masalah-masalah kecil. Islam seterusnya menyerahkan kepada perubahan sosial dan perkembangan semasa untuk memainkan peranannya. Islam membuka ruang seluas-luasnya untuk semua perubahan ini dan tidak akan bertembung dengan mana-mana perkara.
Sejarah perkembangan Islam telah menceritakan kepada bagaimana Ibnu Umar r.a pernah suatu ketika dalam satu tahun memberikan satu pendapat dalam suatu masalah. Namun pada tahun berikutnya dalam masalah yang sama dia memberikan pendapat yang berbeza. Apabila beliau ditanya mengenai perbezaan fatwa ini beliau menjawab: “Dahulu pendapat saya itu berpandukan pengetahuan saya ketika itu sementara pendapat saya ini pula berpandukan kepada apa yang saya tahu sekarang ini”. Demikian apa yang dikatakannya.

[Petikan dari buku Himpunan Risalah Imam Hasan Al-Banna, terjemahan Ust Salehan Bin Ayub, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2003, p 291-293.]

No comments:

Post a Comment