Sunday, May 04, 2008

Islam Sesuai Dulu, Kini & Selamanya

Apakah masih timbul soal kembali kepada sistem Islam sebagai kolot dan mundur?

Tidak ada satu undang-undang pun di dunia ini yang begitu terbuka menerima perubahan, selari dengan kehendak kemajuan dan begitu anjal setanding dengan undang-undang Islam yang suci ini. Firman Allah yang bermaksud:
“Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan, tetapi Dia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu supaya kamu bersyukur.
(Surah al Maidah: 6)

Mungkin ada yang berkata kenyataan terbuka untuk kembali kepada Islam adalah perkara yang akan membimbangkan negara asing dan Barat. Kesannya mereka akan bersatu mengenakan tindakan terhadap kita. Kita tidak akan mampu berhadapan atau melawan tindakan ini.

Alangkah daifnya, alangkah teruk dan cetek sekali penilaian dan fikiran ini. Cuba renung semula bagaimana sikap kita dengan negara-negara tersebut.

Kita telah meniru sistem mereka. Kita tiru cara hidup mereka dan kita ikut bulat-bulat budaya mereka. Adakah semua ini memberi faedah kepada kita? Adakah kita terselamat daripada manipulasi mereka? Adakah apa yang kita lakukan ini dapat menghalang mereka daripada menjajah kita, merampas kemerdekaan kita dan mengaut semua kekayaan bumi kita?

Malah lebih buruk lagi, mereka berhimpun pula di persidangan atau forum antarabangsa untuk menafikan hak-hak kita. Mereka wujudkan pelbagai masalah, kekangan dan rintangan di hadapan kita. Apa yang mereka utamakan hanya satu iaitu kepentingan mereka sahaja. Apa yang mereka pentingkan hanyalah kedudukan dan kepentingan mereka sahaja. Apa yang mereka lebih utamakan ialah bangsa Kristian. Namun dalam perang dunia yang lepas kita dapat lihat sendiri bagaimana mereka saling bersengketa sesama sendiri sedangkan mereka semua adalah bangsa Kristian.

Malangnya negara-negara Islam masih bersedia untuk berlembut lidah dan bermanis bahasa dengan mereka. Kini, mereka bantu pula Yahudi Zionis walaupun mereka dengan Yahudi tidak pernah sebulu semata-mata kerana wujud kepentingan materialisme dan kolonialisme. Hakikat ini sedia dimaklumi dalam setiap tindak tanduk politikus barat.
Jadi kita sebenarnya tidak mendapat apa-apa keuntungan apabila kita membelakangkan Islam. Kita juga sebenarnya tidak akan menokok kemarahan mereka kepada kita jika kita isytiharkan kita berpegang dengan Islam dan menurut hidayah Islam. Apatah lagi sekarang ini mereka terbahagi kepada dua kem yang berbeza dan saling bersaing merebut kekayaan material.

Pada hakikatnya kesan kita membelakangkan dan mengenepikan Islam sebenarnya membawa padah kepada diri kita sendiri. Selagimana kita jauh dari roh Islam dan tidak melaksanakan ajaran Islam kita akan terus terumbang ambing dan semangat kita akan lemah. Kita akan berpecah dan kekuatan kita akan goyah.

Jika kita dengan tegas dan berani menyatakan bahawa kami seluruh umat Islam bukan penganut komunisme, bukan demokrasisme dan bukan apa yang kamu sangka, sebaliknya dengan segala puji bagi Allah kami adalah orang-orang Islam. Nescaya pada ketika itu akan terpampang jalan hidayah dan cahaya.

Islam akan menggabungkan kita. Seluruh saudara-saudara kita di seluruh muka bumi ini akan bersatu. Inilah satu-satunya (tiada yang lain) kekuatan dan penyelamat kita untuk berhadapan dengan pencabulan penjajahan barat yang telah menggugat seluruh bumi kita.

Secara ringkasnya apa yang saya katakan ialah apabila kita mengambil kira kemurkaan atau keredhaan Barat untuk kita berpegang atau tidak dengan Islam, pada hakikatnya walaupun kita tidak berpegang dengan Islam kita tetap tidak akan mendapat keredhaan mereka. Pada ketika itu sudah tentu kita sendiri yang akan rugi. Sedangkan jika berpegang dengan Islam, kita bergabung di bawah nama Islam dan kita menerima pedoman Islam, tidak syak lagi kita akan berjaya.

Malah ada kemungkinan kesan keutuhan perpaduan yang ada pada kita akan membolehkan kita mengatasi mereka. Jadi di antara dua pandangan ini yang mana satukah patut kita ikut, wahai saudara yang bijak pandai?

[Petikan dari buku Himpunan Risalah Imam Hasan Al-Banna, terjemahan Ust Salehan Bin Ayub, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2003, p 294-295.]

No comments:

Post a Comment