Sunday, May 04, 2008

Akhlak Islam

Akhlak (al khuluq) bererti tabiat atau tingkah laku. Menurut Al-Ghazali (dalam Ihya’ Ulumudin) akhlak ialah sesuatu yang sebati dalam jiwa seseorang dan melahirkan tingkah laku secara spontan tanpa dirancang atau disengajakan.

Oleh itu dapatlah dikatakan akhlak ialah kumpulan nilai atau sifat yang sebati dalam jiwa seseorang dan melahirkan tingkah laku secara spontan tanpa dirancang atau disengajakan.

Akhlak sangat penting dan pengaruhnya sangat besar dalam membentuk tingkah laku manusia. Apa saja yang lahir dari manusia atau segala tindak-tanduk manusia adalah sesuai dengan pembawaan dan sifat yang ada dalam jiwanya.

Tepatlah apa yang dikatakan oleh Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin, “ Sesungguhnya semua sifat yang ada dalam hati akan lahir pengaruhnya (tandanya) pada anggota manusia, sehingga tidak ada sesuatu perbuatan pun melainkan semuanya mengikut apa yang ada dalam hati manusia”.

Tingkah laku atau perbuatan manusia mempunyai hubungan yang erat dengan sifat dan pembawaan dalam hatinya. Umpama pokok dengan akarnya. Bermakna, tingkah laku atau perbuatan seseorang akan baik apabila baik hatinya, sepertimana pokok, apabila baik akarnya maka baiklah pokoknya. Apabila rosak akar, maka akan rosaklah pokok dan cabangnya. Allah swt berfirman:
“Dan tanah yang baik, tanam-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah, dan tanah yang tidak subur, tanam-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.” (Al A’raf: 58)

Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersih hati dan menanam sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman.

Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya. Allah swt berfirman:
“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”
(Ar-Ra’d : 110)

Manusia sebelum berbuat sesuatu atau meninggalkan sesuatu terlebih dahulu mempertimbang dan memikirkannya samada hendak membuatnya atau meninggalkannya. Pertimbangan ini akan mengikut akhlak yang ada dalam jiwanya. Apabila dia telah mengambil keputusan untuk berbuat atau tidak, maka barulah lahir dorongan dan keinginan untuk membuat sesuatu atau meninggalkannya.
Pertimbangan itu kadang-kadang berlaku secara spontan sehingga lahir suatu tindakan tanpa sengaja dan tanpa memikirkannya. Kadang-kadang pula pertimbangan itu berlaku melalui satu proses pemikiran yang mendalam dan mengambil waktu yang lama. Kadang-kadang manusia, dalam pertimbangannya timbul keraguan samada ingin membuat sesuatu atau meninggalkannya. Namun, dalam semua keadaan, tingkahlaku atau perbuatan manusia didahului oleh pertimbangan dan penilaian. Ini menunjukkan betapa pentingnya akhlak.

Sesungguhnya tingkah laku atau perbuatan manusia bergantung kepada akhlaknya. Akhlak Islam perlu ditanam betul-betul pada jiwa manusia sehingga ia dapat menguasai seluruh tindak-tanduk dan pemikirannya. Dan, sehingga manusia sentiasa tertarik dengan Islam dan yakin bahawa kehidupan ini semestinya disesuaikan dengan akhlak Islam.

Oleh itu Islam sentiasa mengingatkan manusia agar berpegang dan mencintai akhlak yang baik. Juga berusaha untuk melaksanakan akhlak Islam sehingga tercerna dengan jelas dalam semua amal perbuatannya.

No comments:

Post a Comment