Friday, May 02, 2008

Penyertaan Allah

Perlulah kita yakin bahawa tiada suatu benda yang dapat wujud tanpa kekuasaan Allah swt. Tiada sebarang perlakuan yang kita lakukan terkeluar daripada pengetahuan Allah subhanahuwata’ala. Tiada secebis rahsia pun yang Allah swt tidak ketahui. Kita perlu sedar bahawa setiap perjuangan untuk mencapai dan menegakkan Islam, akan disertai Allah swt.

Setiap apa yang disertai atau diredhai Allah swt sudah tentu mempunyai kekuatan yang tidak dapat diruntuhkan. Hal ini jelas terbukti dalam perjuangan generasi awal dahulu (generasi Al Quran) yang dididik oleh Rasulullah. Lihatlah apa yang telah berlaku pada Sumaiyah. Dalam usaha mempertahankan aqidahnya, wanita itu tidak tunduk kepada kehendak jahiliah. Ini kerana beliau memahami dan jelas apakah matlamat hidupnya itu. Beliau sanggup menghadapi musuh-musuh Allah swt dan mempertahankan imannya walaupun disula.

Berpegang teguh dengan Islam apabila menghadapi kufur merupakan salah satu syarat untuk berjaya dalam menegakkan Islam. Keteguhan dalam berterusan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Ia perlu melalui pendidikan (tarbiyah) hari demi hari. Pendidikan bersumberkan Al Quran, as Sunnah, sirah para sahabat dan perjuangan ulamak-ulamak muktabar sangat-sangat diperlukan hari ini.

No comments:

Post a Comment