Sunday, March 20, 2011

HUBUNGKANLAH KELUARGA KITA DENGAN BI’AH SOLEHAH

Bi-ah Solehah

Kita perlu mewujudkan suasana yang soleh. Suasana yang tidak soleh tidak boleh membantu melahirkan fardhi muslim. Lebih-lebih lagilah menusia mempunyai dua persediaan. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَنَفۡسٍ۬ وَمَا سَوَّٮٰهَا (٧) فَأَلۡهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقۡوَٮٰهَا (٨) قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا (٩) وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا

“Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah mengil­hamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Maka beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya”. (Asy Syams : 7-10)

Jika tiada bi-ah (suasana) solehah maka pembinaan jiwa yang bertaqwa akan tergendala.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermafhum):

“Setiap orang mengikut kepada jalan yang dipermudahkan baginya”.

Bagi mereka yang hidup dalam bi-ah solehah, maka jiwa akan menju­rus kepada taqwa. Oleh itu segala amalan, tindakan, pergaulan, makan, minum dan sebagainya mestilah Islamik. Semua amalan itu memberi kesan terhadap orang yang kita didik.

Meskipun kita dapat kumpulkan dua atau tiga orang, namun bi-ah solehah seharusnya betul-betul wujud dalam kumpulan yang kecil itu. Janganlah dibiarkan orang-orang yang kita didik larut atau hanyut dalam bi’ah yang lain. Kalau dia kelihatan mula terlarut, maka cepat-cepatlah kita bawa dia semula ke dalam bi-ah yang Islamik. Sekarang ini sangat banyak bi’ah yang tidak Islamik. Bi-ah itu memberikan kesan mendalam kepada anggota-anggota masyara­kat sehingga anggota-anggota masyarakat tidak lagi terkesan dengan ayat-ayat Allah Subhanahuwata’ala.

Kadang-kadang, kita boleh memberikan syarahan sehingga seseorang cukup sedar, insaf dan benar-benar rasa ingin bertaubat, tetapi apabila dia kembali kepada bi-ah yang lama (yang tidak Islamik), maka kesedaran itu hilang dan dia larut semula.

Oleh itu kita perlu wujudkan bi-ah Islam untuk mempermudahkan mereka yang dididik menikmati peningkatan dalam tarbiyah Islami­yah. Melahirkan bi-ah seperti ini memerlukan proses yang teliti dan kesungguhan. Juga perlu mendapat pimpinan daripada Allah Subhanahuwata’ala.


Rumahtangga

Rumahtangga adalah juzuk yang penting dalam pembangunan ummah. Kita perlu memberikan perhatian khusus dalam pembinaan suami yang soleh dan isteri yang solehah. Kalau tidak lahir rumahtangga yang melalui proses yang betul, maka ia boleh manda­tangkan masalah yang besar kepada Jama’ah Islamiyah. Misalnya isteri iltizam dengan fikrah Islamiyah tetapi si suami tidak bersetuju dengan dengan fikrah Islamiyah, atau sebaliknya, maka keadaan ini akan merumitkan pasangan yang ingin bersama-sama dengan jama’ah Islamiyah untuk membangunkan Islam.

Masyarakat muslim adalah lahir daripada rumahtangga-rumahtangga muslim. Oleh baitul muslim perlu dijaga dan dipelihara. Sekiranya jama’ah mendapati belum cukup pasangan-pasangan ke arah membentuk baitul muslim, maka da’wah perlu digiatkan. Peningkatan tarbiyah mereka perlu dipelihara. Halaqat-halaqat perlu diadakan agar lahir murabbi dan murabbiah.

Untuk membangunkan baitul muslim, kita perlu menggunakan nilai yang betul. Dalam rangka mencari pasangan hidup, mereka yang dibentuk dan iltizam dengan fikrah serta da’wah perlu diberikan keutamaan. Apabila seseorang anggota itu terlepas ke dalam bi’ah yang lain atau meneruskan hidupnya dalam rumahtangga yang lain maka dia mungkin larut dan perkembangannya kemungkinan akan terbantut.

Rumahtangga kita mestilah dihubungkan dengan bi-ah solehah. Rumah­tangga kita mestilah dihubungkan dengan jentera jama’ah. Hubungkanlah anggota-anggota dalam rumahtangga dengan kegiatan-kegiatan jama­’ah Islamiyah dari semasa ke semasa. Janganlah membataskan rumah­tangga itu bersendirian.

Justeru itu jama’ah Islamiyah perlu mengadakan aktiviti-aktiviti yang lengkap supaya rumahtangga itu berkesempatan bersama-sama aktiviti-aktiviti yang Islamik dan menjauhkan aktiviti-aktiviti yang tidak Islamik. Wujudkanlah kegiatan-kegiatan dengan cukup dan banyak agar ramahtangga kita tidak berpeluang dirosakkan oleh suasana yang lain. Dalam konteks ini, kita perlu mempercukupkan jentera kita.

Pembangunan kita bukan semata-mata berpada dengan mengada­kan halaqat, tetapi kita memerlukan pelbagai program lain yang munasabah. Rumahtangga kita dihubungkan dengan pelbagai suasana yang soleh dan dibebaskan daripada dipengaruhi oleh suasana jahiliyyah.

Namun, segala program kita perlu dirancangkan berasaskan kemampuan jama’ah Islamiyah yang diproses dan dibangunkan. Bukanlah semata-mata berasaskan semangat.

Seterusnya dalam rumahtangga janganlah wujud sikap ingin berlum­ba-lumba dengan rumahtangga lain seperti yang biasa wujud dalam masyarakat. Yakni perlumbaan harta benda, perabut dan perhiasaan seperti televisyen, kereta dan lain-lain. Kita perlu berpegang kepada nilai ukhrawi. Perlumbaan yang sepatutnya wujud ialah perlumbaan untuk berkhidmat kepada din Allah Subhanahuwata’ala, berkorban untuk Islam dan berkorban untuk jama’ah Islamiyah.

Dalam rumahtangga perlu diadakan halaqat untuk ahli-ahli keluarga. Perlu dibanyak­kan bahan-bahan yang Islamik. Walaupun kita rasa sukar untuk mengadakan keperluan-keperluan ini, tetapi kita mesti juga beru­saha dari semasa ke semasa.

Apabila lahir individu dan rumahtangga muslim, maka barulah ada harapan untuk melahirkan masyarakat muslim. Dengan cara ini InsyaAllah akan lahir Ummah Muslimah walaupun kita berhadapan dengan suasana kufur yang mencabar. InsyaAllah yang hak itu akan menang. Cuma kita perlu melalui proses yang betul untuk menikmati kemenangan itu.

Rujukan utama: Kuliah Ustaz Dahlan Mohammad Zain.

No comments:

Post a Comment