Monday, March 07, 2011

Pengajaran Dari Surah Al Insan (Ayat 7 -10)

Di dalam ayat 7 hingga 10 Surah Al Insan, Allah menerangkan tentang beberapa sifat orang-orang yang taat serta menjadi kesayangan Allah.


يُوفُونَ بِٱلنَّذۡرِ وَيَخَافُونَ يَوۡمً۬ا كَانَ شَرُّهُ ۥ مُسۡتَطِيرً۬ا (
٧) وَيُطۡعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسۡكِينً۬ا وَيَتِيمً۬ا وَأَسِيرًا (٨) إِنَّمَا نُطۡعِمُكُمۡ لِوَجۡهِ ٱللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمۡ جَزَآءً۬ وَلَا شُكُورًا (٩) إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوۡمًا عَبُوسً۬ا قَمۡطَرِيرً۬ا (١٠)

“7. Mereka menunaikan nazar dan takutkan Hari Kiamat yang azabnya merata di mana-mana.

8. Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan.

9. (mereka berkata) “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.”

10. Sesungguhnya kami takut kepada azab Tuhan kami, iaitu azab hari Kiamat yang membuat muka manusia masam kusam dan suram muram.” (Surah Al Insan Ayat 7 -10)

Ayat di atas memberi gambaran tentang hati orang yang penuh ikhlas dan penuh azam untuk menunaikan komitmen dan kewajipan aqidah. Hati orang yang penuh dengan perasaan belas kasihan terhadap orang yang lemah. Hati yang mementingkan kebajikan orang lain dari kebajikan dirinya sendiri. Hati yang takut kepada Allah dan yakin kepada keredhaanNya. Hati yang takut kepada Allah kerana dirangsangkan oleh taqwa dan sikap serius dalam memahami kewajipan yang berat itu.

Ungkapan “mereka menyempurnakan nazar” (يُوفُونَ بِٱلنَّذۡرِ) bermaksud mereka melaksanakan segala ketaatan dan kewajipan yang diwajibkan ke atas diri mereka. Mereka menganggap perkara itu adalah sesuatu yang serius, mereka tidak cuba mengelakkan diri dari bebanan dan tanggungjawab dan tidak pula cuba meninggalkannya setelah menyatakan keazaman. Inilah maksud dari ungkapan “mereka menyempurnakan nazar” iaitu pengertian yang lebih umum dari pengertian biasa perkataan ‘nazar’.

Perkataan وَيَخَافُونَ يَوۡمً۬ا كَانَ شَرُّهُ ۥ مُسۡتَطِيرً۬ا bermaksud “Dan takutkan Hari Kiamat yang malapetakanya meluas merata-rata”.

Mereka tahu sifat malapetaka Hari Kiamat itu merebak merata-rata dan menimpa manusia yang lalai cuai dan berdosa. Mereka takut ditimpa malapetaka seperti itu. Inilah sifat orang-orang yang bertaqwa . Merasai betapa berat dan besarnya bebanan kewajipan menjunjung perintah Allah. Mereka takut berlaku kecuaian dan ketidaksempurnaan dalam menjalankan tugas mereka walaupun sebanyak mana mereka menunaikan amalan ibadat dan keta’atan itu.

Seterusnya ayat ke 8, وَيُطۡعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسۡكِينً۬ا وَيَتِيمً۬ا وَأَسِيرًا yang bermaksud:

Dan mereka memberikan makanan yang disayanginya kepada orang miskin, anak yatim dan orang tawanan.”

Ini gambaran perasaan mereka yang suka membuat kebajikan dan menolong orang lain dengan memberi makanan kepada mereka sukai walaupun mereka sendiri memerlukan makanan itu tetapi mereka mengutamakan orang-orang yang benar-benar memerlukannya. Mereka lebih mementingkan keperluan orang yang lemah walaupun mereka juga memerlukan makanan itu.

Ayat ini menerangkan sifat yang berlawanan yang ada pada orang kafir Quraisy yang menindas dan berlaku kejam terhadap orang mukmin di Mekah. Mereka tidak memberi sesuatu apapun kepada orang-orang yang dhaif yang benar-benar memerlukan bantuan. Tetapi mereka sanggup berbelanja besar untuk tujuan bermegah-megah.

Hal seperti ini banyak berlaku pada zaman ini di mana jutawan yang beragama Islam sanggup berbelanja berbillion ringgit untuk membeli kelab bola sepak. Padahal dalam masa yang sama umat Islam Palestin menderita kekurangan makanan di kem pelarian.

Berlainan dengan orang-orang mukmin yang taat, mereka ibarat sebuah wadi yang teduh ditengah matahari yang panas terik. Mereka memberi makanan dengan hati yang murah dan belas kasihan serta niat yang ikhlas kerana Allah.

Ayat berikut mengungkap keadaan dan kata hati mereka:

إِنَّمَا نُطۡعِمُكُمۡ لِوَجۡهِ ٱللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمۡ جَزَآءً۬ وَلَا شُكُورًا

(mereka berkata) “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.”

إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوۡمًا عَبُوسً۬ا قَمۡطَرِيرً۬ا

Sesungguhnya kami takut kepada azab Tuhan kami, iaitu azab hari Kiamat yang membuat muka manusia masam kusam dan suram muram.”

Itulah rasa belas kasihan yang lahir dari hati mereka yang lembut dan sentiasa mencari keredhaan Allah. Mereka tidak mengharapkan balasan atau terima kasih dari makhluk. Mereka tidak memperlihatkan kemegahan dan kelebihan mereka kepada orang-orang yang susah. Malah pemberian mereka adalah untuk mendapat perlindungan dan malapetaka hari kiamat yang sangat ditakuti. Mereka berbuat demikian kerana berpandu kepada sabda Rasulullah:

“Peliharalah dirimu dari api neraka walaupun dengan pemberian sebelah buah tamar.”

Di zaman itu memberi makanan secara langsung begini merupakan satu amalan untuk melahirkan rasa belas kasihan. Salah satu cara untuk memenuhi keperluan orang yang susah.

Pada masa kini cara menghulurkan bantuan dan pertolongan telah berubah mengikut perubahan masyarakat dan zaman. Tetapi apa yang perlu dikekalkan ialah hati yang penuh kasihan belas dan perasaan simpati serta keinginan untuk berbuat kebaikan dan mencari keredhaan Allah. Membersihkan diri dari motif keduniaan seperti mengharapkan balasan, terima kasih atau faedah dalam kehidupan.

Di zaman sekarang sukar untuk mencari hati yang benar-benar ikhlas dalam memberi bantuan atau pertolongan. Lebih teruk lagi terdapat sebahagian manusia yang mengambil kesempatan dengan meminta wang sogokan atau rasuah di atas perkhidmatan yang diberikan, walaupun pada hakikatnya itu adalah tanggungjawab hakiki mereka yang mendapat gaji bulanan.

Pada hari ini wang dikutip dari orang yang mempunyai pendapatan dalam bentuk cukai untuk digunakan sebahagiannya bagi membantu orang yang susah. Dalam Islam kutipan zakat adalah satu kaedah untuk mendapatkan sumber kewangan bagi melindungi golongan fakir miskin. Di samping itu ianya merupakan proses didikan yang mengasuh jiwa penderma untuk ditingkatkan kepada peringkat yang lebih luhur.

Islam merupakan akidah yang tersemat di dalam hati di samping merupakan satu kaedah tarbiah untuk mendidik hati, kerana perasaan belas kasihan kepada saudara-saudaranya dapat mendidik seseorang untuk memberi manfaat kepada saudaranya yang lain.

Rujukan:

Asy Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, Tafsir Fi Zilalil Quran – Di Bawah Bayangan Al Quran Jilid 17, terjemahan Yusoff Zaky Haji Yacob, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 2002

No comments:

Post a Comment