Wednesday, March 02, 2011

Tinggalkan Dosa-dosa Kecil Untuk Mendekatkan Diri Kepada Allah S.W.T.

Dosa kecil akan menjadi besar jika dilakukan terus menerus. Menurut Imam Hasan al-Basri, tidak ada dosa kecil apabila dilakukan dengan terus menerus dan tidak ada dosa besar apabila disertai dengan istighfar.

Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Ali Imran: 135
وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَـٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَہُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ 
"Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui."
(Surah Ali Imran: 135)

Kita tidak boleh menganggap remeh ke atas dosa-dosa kecil kerana Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, yang selalu khuatir tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Orang yang bergembira dengan dosanya telah ditegur oleh Allah S.W.T. dalam Surah al-Baqarah ayat 206:

وَإِذَا قِيلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتۡهُ ٱلۡعِزَّةُ بِٱلۡإِثۡمِ‌ۚ فَحَسۡبُهُ ۥ جَهَنَّمُ‌ۚ وَلَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ
"Dan apabila dikatakan kepadanya: 'Bertakwalah kepada Allah', bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka Jahannam. Dan sungguh neraka Jahannam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya."
(Surah al-Baqarah ayat 206)

Mereka yang berasa aman daripada azab Allah lupa bahawa Allah S.W.T akan menyediakan azab neraka Jahanam kepada mereka kerana keingkaran mereka kepada arahan Allah dan Rasul-Nya.

Allah berfirman dalam Surah al-Mujadalah: ayat 8
أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ نُہُواْ عَنِ ٱلنَّجۡوَىٰ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا نُہُواْ عَنۡهُ وَيَتَنَـٰجَوۡنَ بِٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ وَمَعۡصِيَتِ ٱلرَّسُولِ وَإِذَا جَآءُوكَ حَيَّوۡكَ بِمَا لَمۡ يُحَيِّكَ بِهِ ٱللَّهُ وَيَقُولُونَ فِىٓ أَنفُسِہِمۡ لَوۡلَا يُعَذِّبُنَا ٱللَّهُ بِمَا نَقُولُ‌ۚ حَسۡبُهُمۡ جَهَنَّمُ يَصۡلَوۡنَہَا‌ۖ فَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ
"Apakah tiada kamu perhatikan orang-orang yang telah dilarang mengadakan perbicaraan rahsia, kemudian mereka kembali (mengerjakan) larangan itu dan mereka mengadakan perbicaraan rahsia untuk berbuat dosa, permusuhan dan derhaka kepada Rasul. Dan apabila mereka datang kepadamu, mereka mengucapkan salam kepadamu dengan memberi salam yang bukan sebagai yang ditentukan Allah untukmu. Dan mereka mengatakan pada diri mereka sendiri: 'Mengapa Allah tiada menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?' Cukuplah bagi mereka neraka Jahannam yang akan mereka masuki. Dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."
(Surah al-Mujadalah: 8)

Perbuatan maksiat secara terang-terangan, Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: "Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: 'Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tetapi di pagi hari dia buka tutup Allah terbabit' ."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila orang yang melakukan perbuatan dosa itu dijadikan tauladan oleh orang lain maka orang yang melakukan dosa tersebuat akan mendapat dosa yang sama dan tidak dikurangkan walaupun sedikit. Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksud : "Sesiapa yang memberi contoh di dalam Islam dengan contoh yang buruk, dia akan mendapat dosanya dan dosa orang yang mengikutinya selepas dia tanpa dikurangi dosa terbabit sedikitpun."

Orang yang suka melakukan dosa, hidupnya akan mengalami jalan buntu pada setiap urusannya. Sebagaimana orang-orang yang bertakwa akan dimudahkan oleh Allah dalam segala urusannya.

Bagaimana ia akan dapat menemukan pintu-pintu kebaikan, sementara dirinya menutup dengan perbuatan dosa, sehingga semua kemaslahatan menutup pintu terhadap dirinya.

Perbuatan dosa akan menimbulkan kegelapan hati. Kegelapan itu benar-benar nyata dalam hatinya, seperti melihat dan merasakan gelapnya malam. Hal ini kerena sesungguhnya, ketaatan itu cahaya, sedangkan dosa itu kegelapan. Semakin banyak dosa yang dilakukan, maka akan semakin gelap hati orang itu. Akibatnya, orang-orang yang berterusan melakukan dosa itu, pasti akan jatuh ke dalam kekafiran, kerena hatinya sudah terhijab (tertutup) oleh kemaksiatan, dan kebenaran (al-haq) tidak mungkin lagi dapat menyentuh hatinya.

Sumber:

http://abubasyer.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment