Wednesday, March 02, 2011

Perasaan Dukacita Boleh Menghapuskan Dosa

Perlu sentiasa diingatkan bahawa hidup di dunia ini hanya sementara dan kehidupan di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Rendahkanlah hati untuk menerima kebenaran dan buangkan sikap ego. Sikap ego dan tak mahu menerima teguran adalah sikap ahli neraka yang mementingkan pendapat sendiri dan tidak mahu bertolak ansur dalam perkara yang harus.

Bila hati kita bersedia untuk menerima tarbiah dan bersedia untuk menerima perubahan dan merasai diri ini bersalah maka akan lahir perasaan dukacita dan menyesal kerana keegoan selama ini menyebabkan kehidupan makin bercelaru. Perasaan dukacita seperti ini akan mengapuskan dosa-dosa yang lalu.

Rasulullah S.A.W. bersabda “Apabila seorang hamba terlalu banyak dosanya dan tidak ada amalan untuk menghapuskan dosa-dosanya, Allah akan melibatkannya dengan kedukacitaan untuk menghapuskan dosa-dosanya” (Riwayat Ahmad dari Aisyah r.a.)

Jikalau seorang hamba melakukan amalan kebaikan, ia akan menghapuskan dosa-dosa kecilnya. Tetapi jika dosanya telah terlalu banyak dan dia tidak melakukan sesuatu untuk menghapuskan dosanya, maka Allah akan menimpakan sesuatu yang mendukacitakan atau merungsingkannya untuk menghapus dosanya.

Dari Abu Said Al-Khudri dan Abu Hurairah r.a. “Seorang muslim itu tidak ditimpa sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan dukacita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan sebabnya sebahagian daripada dosa-dosanya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

"Mana-mana muslim yang sakit atau terkena sesuatu musibah digugurkan dosa seperti pokok kayu gugur daunnya di musim luruh" (Hadis Riwayat Bukhari Muslim dari Ibnu Mas’ud)

Firman Allah S.W.T. dalam hadis qudsi maksudnya : “Bila Aku (Allah) mengenakan satu musibah ke atas hamba-Ku samada ke atas badannya, hartanya, anaknya dan disambut dengan baik, Aku malu hendak tegakkan timbangan amalannya” (Hadis Riwayat Muslim)

Orang yang sakit lama dan diterimanya dengan reda, maka diampun dosanya kecuali dosa dengan manusia. Segala musibah ada pampasannya kerana ia datang dari Allah (takdir). Ada pampasan sehingga habis segala dosa.

Allah berhak melakukan apa sahaja ke atas hamba-Nya, namun Allah malu hendak menimbang amalan hamba-Nya yang sabar dengan musibah-Nya di hari kiamat.Musibah itu menyedarkan manusia tentang kesalahanya supaya dia insaf dan sedar akan kesalahannya.

Dalam mengharungi kehidupan seharian pelbagai bentuk perasaan dukacita yang kita hadapi . Masalah keluarga seperti suami tidak mampu menguruskan keluarga dengan baik atau masalah isteri yang sukar menerima teguran atau masalah anak-anak yang tidak mendengar nasihat.

Perasaan dukacita yang disertai dengan sabar tidak akan sia-sia kerana ianya akan mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T. dan menghapuskan dosa-dosa kecil. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya : “Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Ayyub kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Dan mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun.”

Berakhlaklah dalam mendidik isteri kerana rumahtangga bahagia akan dapat dibangunkan jika dikendalikan mengikut nilai-nilai yang dikehendaki oleh Allah SWT. Tidak boleh dikatakan rumahtangga bahagia sekiranya sesebuah rumahtangga itu tidak dapat diatur dan disusun mengikut apa yang dikehendaki Allah SWT walaupun keadaan rumahtangga itu nampaknya tenang dan aman.

Dalam hal ini, kebijaksanaan suami dalam mengendalikan rumahtangga menjadi faktor penting untuk mencapai tujuan itu.Masalah utama yang patut dilakukan oleh suami ialah berakhlak baik dengan isteri dan anggota keluarga di bawah tanggungjawabnya. Maksud berakhlak di sini ialah si suami mestilah seorang penyabar dalam mendidik isterinya. Dalam artikata yang lain si suami mestilah sanggup menghadapi derita dan sengsara disebabkan kerenah isterinya. Ini adalah kerana kaum perempuan itu dijadikan oleh Allah SWT sebagai makhluk yang lemah dan perlu dilindungi.

Semua pihak samaada suami, isteri , anak-anak dan kaum keluarga yang lain perlu memahami ajaran Islam sebenarnya. Perlu diceritakan mengenai dosa dan pahala dan juga syurga dan neraka supaya hati ini ada perasaan takut jika masing-masing lari daripada amanah dan tanggungjawab kepada Allah S.W.T.

Marilah sama-sama kita perbaiki rumah tangga yang bergelora dengan tenang dan sabar, dan yakinlah kepada Allah S.W.T. Setiap kesusahan itu ada kebaikan dan kejayaan. Mungkin Allah S.W.T. ingin menguji kita sebagai suami atau isteri supaya sedar akan kesilapan masing-masing dan kembali kepada-Nya dengan mentaati suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sumber:
http://abubasyer.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment