Tuesday, April 19, 2011

Muhasabah Diri

Membangun Kecerdasan Ruhiyah

Seseorang dianggap memiliki kecerdasan ruhiyah apabila ia memiliki tekad yang sangat kuat, berusaha memanfaatkan setiap momentum dan peluang yang datang, sentiasa bersikap hati-hati dan waspada agar setiap detik yang dilaluinya tidak hilang begitu sahaja tanpa digunakan untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Rasulullah bersabda: “Seorang yang cerdas adalah orang yang mampu mengendalikan dirinya, dan beramal untuk (kehidupan) setelah kematiannya.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)

Hadis di atas menunjukkan bahawa orang yang cerdas sentiasa melakukan kawalan dan pengendalian diri sebelum dan sesudah melakukan suatu perbuatan.

Orang-orang yang cerdas sentiasa melakukan muhasabah diri (muhasabatun nafs).

  1. Muhasabah sebelum beramal

Muhasabah sebelum beramal dilakukan dengan memelihara niat, fikiran, kehendak dan tekad yang terdetik dalam hati.

  • i. Sebelum melakukan suatu perbuatan seseorang muslim perlu memikirkan niat dan kehendaknya samada diiringi dengan keikhlasan untuk meraih pahala dari Allah atau tidak. Jika ikhlas maka ia melanjutkan langkahnya untuk beramal. Jika tidak, ia menghentikan langkah dan memperbetulkan niat dan kehendaknya.

Al Hassan r.a. berkata, “Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada seorang hamba yang menghentikan amal perbuatan untuk melakukan muhasabah diri. Jika ia melakukan kerana Allah maka ia boleh meneruskan amal perbuatan berkenaan, jika bukan kerana Allah ia perlu menghentikan perbuatannya.”

  • ii. Setelah itu ia juga perlu merenungkan samada ia mampu melakukan atau tidak. Jika menurut pertimbangannya ia tidak mampu melakukan maka ia meninggalkannya agar waktu tidak terbuang sia-sia. Jika menurut pandangannya ia mampu melakukannya maka ia melakukannya dengan sepenuh hati.
  • iii. Setelah itu ia merenungkan sekali lagi samada perbuatan yang dilakukannya itu akan memberikan manfaat / maslahat bagi dirinya atau tidak. Jika bermanfaat maka ia melakukannya, jika tidak bermanfaat maka ia tinggalkannya.
  • iv. Ia juga perlu memikirkan samada perbuatan itu sebaiknya dilakukan pada saat itu juga atau masa yang lain. Perlu juga difikirkan cara dan kaedah yang dapat merealisasikan amal perbuatan dan dapat melipatgandakan pahalanya.

  1. Muhasabah Setelah Beramal

Muhasabah setelah beramal ada 3 jenis:

  • i. Muhasabah terhadap perbuatan yang seharusnya ia kerjakan kerana berkaitan dengan hak-hak Allah atau hak-hak makhluknya. Ia perlu menyemak:

- Samada ia mampu mempertahankan keikhlasan niatnya.

- Samada ia mengerjakan mengikut sunnah Rasulullah saw.

- Samada terdapat kelalaian di dalamnya seperti solat yang tidak khusyuk, mencemari puasa dengan maksiat, melakukan pertengkaran semasa mengerjakan haji atau bersedeqah tetapi diiringi dengan tindakan mengungkit-ungkit pemberiannya dan menyakiti hati penerimanya.

- Jika ada kekurangan dari beberapa aspek di atas maka hendaklah bertekad untuk memperbaiki diri, meningkatkan kualiti amal, beristighfar dan bertaubat kepada Allah atas setiap kekurangan dan kelalaian yang dilakukannya.

  • ii. Muhasabah terhadap perbuatan yang seharusnya ditinggalkan kerana termasuk perbuatan maksiat, baik maksiat besar seperti zina, minum minuman keras, mencuri dan dosa-dosa besar lain maupun maksiat kecil seperti memandang yang haram, sentuhan yang haram dan dosa-dosa kecil yang lain.

Termasuk di dalamnya adalah amal perbuatan yang seharusnya ditinggalkan kerana kurang utama sementara ada amal perbuatan yang lebih utama seperti solat bersendirian di rumah padahal mampu melakukan secara berjemaah di masjid atau menyibukkan diri dengan zikir yang tertentu dan meninggalkan zikir yang lebih utama.

Jika masih melakukan hal-hal yang terlarang maka hendaknya segera memohon keampunan kepada Allah.

Jika telah berhasil meninggalkannya maka hendaklah ia sentiasa memohon taufik dan dukungan dari Allah agar memiliki kemampuan untuk meninggalkan segala perbuatan yang seharusnya ia tinggalkan.

  • iii. Muhasabah terhadap urusan biasa yang dibolehkan seperti aktiviti keduniaan yang hukum asalnya harus. Ia perlu muhasabah samada ia melakukannya untuk meraih pahala Allah atau tidak.

- Samada perbuatannya mendatangkan keuntungan dunia dan akhirat.

- Samada amalan yang dilakukan itu menyebabkan kewajipannya terhadap Islam terabai.

Muhasabah dalam urusan seperti ini akan mengajar seorang Muslim sentiasa memilih kegiatan yang bermanfaat, kerana Allah dan termasuk amalan yang menjadi keutamaan.

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.


No comments:

Post a Comment