Saturday, March 19, 2011

Halangan dalam mengenal Allah - Akibat Sifat Sombong dan Berbuat Aniaya

Ma’rifatullah (mengenal Allah) adalah perkara utama yang harus disempurnakan oleh seseorang muslim. Dengan mengenal Allah kita akan mendapat kebaikan di antaranya adalah peningkatan iman dan taqwa. Di samping itu dengan mengenal Allah akan tumbuh ketenangan, keberkatan dan kehidupan yang baik, serta di akhirat dibalas dengan syurga Allah. Semua ini adalah bergantung kepada keredhaan Allah.

Antara halangan dalam mengenal Allah adalah:-

i. Sifat sombong (Al kibr)

Al Kibr iaitu orang yang hatinya mengingkari dan membantah ayat-ayat Allah serta tidak beriman kepada Allah.

Perbuatan sombong adalah perbuatan yang akan menjauhkan kita dari Allah SWT. Hanya Allah sahaja yang boleh sombong dengan kebesaran dan kehebatanNya. Manusia tidak boleh memiliki sifat sombong kerana manusia pada dasarnya adalah lemah, terbatas dan tidak memiliki kekuasaan walaupun terhadap dirinya sendiri.

Firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi:

“Kemuliaan adalah pakaian-Ku dan kesombongan adalah selendang-Ku. Barangsiapa yang merebut keduanya dari-Ku, maka Aku akan menyiksanya.” (HR Muslim)

Firaun yang terkenal dengan sifat sombong tetapi saat akhir ketika menjelang ajal di dalam Laut Merah mengakui kebesaran Allah. Pada hakikatnya firaun mengakui adanya penguasa di luar dirinya, tetapi disebabkan sifat sombong dia dijauhkan dari mengenal Allah.

Dengan perbuatan sombong maka seseorang itu sangat sukar untuk menerima kenyataan bahawa hasil usaha, rezeki, prestasi dan kejayaannya adalah kerana izin Allah.

Mereka yang memiliki sifat sombong adalah orang yang merasakan bahawa segala hasil yang diterima adalah disebabkan oleh usahanya sahaja. Dia tidak menganggap adanya bantuan pihak lain termasuk tidak mengakui adanya bantuan Allah dan ketentuan Allah.

Menurut sebuah hadis: “Sombong adalah batharul haqqi dan ghamthun naas. Batharul haqqi ialah menolak kebenaran dan ghamthun naas ialah memandang rendah orang lain.” (HR Muslim)

Rasulullah bersabda: “Orang laki-laki yang paling dibenci oleh Allah ialah orang yang keras kepala lagi suka bertengkar” (HR Muslim).

Firman Allah dalam Surah An Nahl ayat 22:

إِلَـٰهُكُمۡ إِلَـٰهٌ۬ وَٲحِدٌ۬‌ۚ فَٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡأَخِرَةِ قُلُوبُہُم مُّنكِرَةٌ۬ وَهُم مُّسۡتَكۡبِرُونَ

“Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Esa. Maka orang-orang yang tidak beriman kepada akhirat, hati mereka mengingkari (keesaaan Allah), sedangkan mereka sendiri adalah orang-orang yang sombong”.

Firman Allah dalam Surah Ghafir ayat 35

ٱلَّذِينَ يُجَـٰدِلُونَ فِىٓ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ بِغَيۡرِ سُلۡطَـٰنٍ أَتَٮٰهُمۡۖ ڪَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ وَعِندَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْۚ كَذَٲلِكَ يَطۡبَعُ ٱللَّهُ عَلَىٰ ڪُلِّ قَلۡبِ مُتَكَبِّرٍ۬ جَبَّارٍ۬ (٣٥)

(Iaitu) orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah dengan tidak ada sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya). (Bantahan yang demikian) besar kebenciannya dan kemurkaannya di sisi hukum Allah dan di sisi bawaan orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah meteraikan atas hati tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya!

ii. Berbuat Aniaya (Azh Zhulm)

Orang zalim adalah orang yang telah mendapat maklumat dan pengetahuan tentang Islam tetapi dia melakukan pendustaan dan mengada-ada terhadap ayat-ayat Allah. Oleh kerana itu Allah memberikan balasan kepada mereka dengan tidak memberikan petunjuk dan memberikan pembalasan berupa azab di akhirat dan di dunia mereka tidak menemui kebahagiaan serta ketenangan jiwa.

Firman Allah dalam Surah As Saff ayat 7:

وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ وَهُوَ يُدۡعَىٰٓ إِلَى ٱلۡإِسۡلَـٰمِ‌ۚ وَٱللَّهُ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.”

Mereka engkar dengan perintah Allah. Mereka tidak melaksanakan suruhan Allah. Muslim yang mengetahui kewajipan menunaikan solat tetapi tidak melaksanakannya juga termasuk orang yang zalim.

Begitu juga orang yang tidak meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah. Sebagai contoh; perbuatan merokok adalah merosakkan kesihatan. Semua orang mengakui dan memahami hakikat ini. Oleh itu orang yang menghisap rokok adalah menzalimi diri sendiri kerana tetap merokok walaupun mengetahui bahayanya. Mereka merosakkan jasad yang diamanahkan oleh Allah supaya menjaganya. Samada manusia itu sedar atau tidak hakikatnya dia telah melakukan kezaliman.

Firman Allah dalam Surah As Sajdah ayat 22:

وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِۦ ثُمَّ أَعۡرَضَ عَنۡهَآ‌ۚ إِنَّا مِنَ ٱلۡمُجۡرِمِينَ مُنتَقِمُونَ

“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian dia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya). Sesungguhnya Kami tetap membalas orang-orang yang berdosa (apa lagi orang-orang yang lebih zalim)”

Begitu juga apa saja perbuatan yang merugikan diri sendiri atau orang lain seperti menurut hawa nafsu merupakan satu bentuk kezaliman yang perlu dielakkan.

Rujukan:

Dr Irwan Prayitno, Msc, Keperibadian Muslim, Pustaka Tarbiatuna, Jakarta, Jun 2010.

1 comment:

  1. “Mengenal Diri…Mengenal Tuhan…Mengenal Allah”

    http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=893

    http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=893&start=240

    ReplyDelete