Friday, March 11, 2011

Bagaimana Memastikan Pahala Mengalir Sepanjang Hidup?

Cara Untuk Menentukan Pahala Mengalir Sepanjang Masa.

Rasulullah S.A.W. bersabda: “Apabila seorang hamba sakit atau berpergian maka Allah tetap menuliskan pahala untuknya seperti yang telah dikerjakannya dalam keadaan sihat atau sedang bermukim. (HR Ahmad & Bukhari)

Hadis ini menggambarkan kehidupan orang mukmin yang kadangkala terpaksa keluar untuk menunaikan tugas bagi memenuhi keperluan diri dan keluarganya.

Adakalanya orang mukmin ditimpa sakit sehingga perlu berehat untuk memulihkan kesihatan diri. Ketika ia sihat dapatlah dia melakukan pelbagai aktiviti, menunaikan berbagai amal kebajikan secara maksima. Namun ketika ia sakit atau keluar (outstation), seringkali ia tidak mampu melakukan amal kebaikan secara maksima, bahkan tidak dapat menunaikan sama sekali.

Dalam keadaan terhalang melakukan amal ibadah kerana sakit atau keluar (outstation), pahala seorang muslim akan tetap mengalir dengan syarat:-

a. Ikhlas dalam beramal

Allah hanya menerima amal kebaikan dan memberi pahala kepada pelakunya apabila amal kebaikan itu dikerjakan dengan ikhlas.

Diriwayatkan bahawa ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah seraya bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana pendapatmu mengenai seseorang yang berperang demi meraih pahala dan populariti?

Rasulullah S.A.W. menjawab, “Ia tidak mendapatkan sesuatu pun.” Ia mengulang pertanyaan itu tiga kali, lalu Rasulullah tetap menjawab, “Ia tidak mendapatkan sesuatu pun.”

Kemudian beliau bersabda,

“sesungguhnya Allah tidak menerima suatu amalan kecuali yang dikerjakan dengan ikhlas dan diharapkan untuk meraih redhaNya.”

(HR An Nasa’i)

Bahkan orang yang tidak ikhlas dalam melakukan amal kebaikan akan himpunkan dalam api neraka bersama sekutu yang menjadi tumpuan amal kebaikan yang dilakukannya.

Sabda Rasulullah:

“Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman: “Aku Dzat yang paling tidak memerlukan sekutu. Barangsiapa melakukan suatu amalan dan menyekutukan Allah dengan selainKu. Aku akan meninggalkannya bersama sekutunya.” (HR Muslim)

b. Istiqamah dalam beramal

Apabila seseorang melakukan amal kebaikan secara berterusan ketika sihat atau berada di rumah, maka ia akan tetap mendapat aliran pahala meskipun ia terhalang untuk untuk melakukan amal kerana ia sakit, bermusafir (outstation) atau uzur lainnya. Kerana dapat dipastikan bahawa ia akan melakukan amal kebaikan tersebut, jika ia tidak sakit atau bermusafir.

Namun orang yang dalam keadaan sihat atau berada di rumah, tetapi tidak mengerjakan sesuatu amalan secara berterusan, maka ia tidak akan mendapat aliran pahala atas amal kebaikan yang terhalang untuk dikerjakan kerana sakit atau bermusafir. Sebab belum tentu ia akan mengerjakan amal kebaikan tersebut, meskipun ia tidak sakit atau tidak bermusafir, sebagaimana kebiasaannya.

c. Ketulusan Hati Saat Beramal

Ketulusan hati untuk mengamalkan suatu amalan akan mendatangkan pahala, meskipun kadangkala seseorang itu terhalang untuk melakukan amalan tersebut. Al- Hasan berkata,

“Rasulullah S.A.W. bersabda,

“Sungguh kamu telah meninggalkan orang-orang di Kota Madinah. Kamu tidak menginfakkan sesuatu, tidak melalui suatu lembah, tidak membunuh musuh, melainkan mereka akan mendapat sama dengan kamu sekelian.” Kemudian beliau membaca ayat, “Dan tiada dosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu supaya kamu memberi mereka kenderaan, lalu kamu berkata, “Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu,” lalu mereka kembali, sedangkan mata mereka bercucuran air mata kerena disedih disebabkan tidak memperolehi apa yang mereka nafkahkan.” (At Taubah: 93)

Anas R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda,

“Sesungguhnya di Kota Madinah ada orang-orang yang kamu tidak melalui sesuatu lembah dan tidak pula melakukan suatu perjalanan, melainkan mereka akan sentiasa bersamamu (dalam mendapat pahala).” Para sahabat bertanya, “(Apakah mereka mendapat pahala yang sama meskipun) mereka berada di Madinah?. Beliau menjawab, “Ya, (kerana) mereka terhalang oleh keuzuran.” (HR Bukhari dan Muslim)

Dalil yang lain menunjukkan pentingnya ketulusan hati adalah sabda Rasulullah S.A.W.

“Barangsiapa memohon mati syahid kepada Allah Ta’ala dengan sepenuh ketulusan, maka Allah akan menyampaikannya kepada kedudukan para syuhada meskipun ia mati di atas tempat tidurnya.” (HR Muslim)

Syarat-syarat untuk terus menerus mendapat pahala ketika sakit;

Apabila seseorang itu sakit, ia akan terus mendapat pahala amalan yang biasa dilakukan ketika dia sihat, dengan syarat-syarat seperti berikut:

a. Sabar atas musibah sakit

Seringkali orang tidak dapat bersabar jika mendapat ujian berupa sakit, sehingga ia merungut, marah dan mengadukan Allah kepada orang-orang yang menjenguknya.

“Apakah salahku sehingga Allah menurunkan penyakit itu kepadaku?” Di antara mereka ada yang tidak sabar sehingga mengambil jalan pintas dengan membunuh diri kerana telah berputus asa akibat penyakit tidak sembuh.

Ada juga yang berikhtiar menyembuhkan penyakit melalui jalan atau cara yang diharamkan Allah kerana tidak sabar. Ketidaksabaran ini akan menghalang pahala mengalir secara berterusan bagi amalan yang biasa dilakukan ketika sihat dan menghalang keampunan dari Allah.

Ketika seorang sahabat mencela penyakit demam yang dihidapinya telah ditegur oleh Rasulullah, “Janganlah kamu mencaci maki penyakit demam, kerana ia dapat menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana alat peniup api dapat menghilangkan karat besi.” (HR Muslim)

Salah satu hikmah diturunkan sesuatu penyakit adalah untuk mengetahui kesabaran kita dalam menghadapinya. Abdul Malik berkata, “Setiap orang pasti akan mendapat ujian sihat, untuk dilihat apakah ia bersyukur. Atau mendapat ujian sakit, untuk dilihat apakah ia bersabar.”

Rasulullah S.A.W. bersabda,

“Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin. Semua urusannya merupakan kebaikan, dan hal ini tidak terjadi kecuali kepada orang mukmin. Jika mendapat kegembiraan (nikmat) ia bersyukur, maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Jika ia mendapat kesusahan, ia bersabar (redha), maka hal itu merupakan kebaikan baginya.” (HR Muslim)

Jadi kalau kita tidak mampu bersabar ketika mengalami musibah sakit bererti kita belum layak mendapat kebaikan yang diperolehi oleh seorang mukmin, yakni pengampunan dosa, peningkatan darjat dan aliran pahala amal yang kita kerjakan pada ketika sihat.

b. Redha Atas Ketentuan Allah

Di samping bersabar dalam menjalani saat-saat sakit, seseorang muslim hendaklah redha dengan ketentuan Allah yang telah ditentukan atasnya. Ia menyedari sepenuhnya bahawa penyakit adalah cara Allah menghapuskan dosa, mengangkat darjat dan melipatgandakan pahalanya.

Rasulullah S.A.W. bersabda,

“Tidak ada seorang Muslim yang tersusuk duri, atau yang lebih ringan dari itu, melainkan diangkat baginya satu darjat dan dihapuskan darinya satu kesalahan.” (HR Muslim)

Habib Al Harani mengatakan, “Al Hasan pernah menjengukku tatkala aku sakit, lalu ia berkata kepadaku, “Wahai Habib, sesungguhnya jika kita tidak diberi pahala kecuali pada hal-hal yang kita sukai, maka pahala itu hanya sedikit.

Sesungguhnya Allah Maha Pemurah, Dia menguji seseorang hamba, padahal Ia tidak menyukainya, maka Ia memberinya pahala yang besar,” (Tuhfatul Maridh: 20)

c. Tetap Menunaikan Kewajipan Yang Termampu

Selain ia bersabar dan redha di atas ketentuan Allah, orang yang sakit hendaklah tetap melaksanakan kewajipan yang mampu dilakukannya.

Diriwayatkan bahwa Ubai Bin Ka’ab bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah pahala demam itu?” Beliau menjawab, “Kebaikan akan sentiasa berjalan pada diri orang yang mengalaminya selagi tubuhnya gementar atau uratnya menegang.” Ubai berkata, “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon sakit demam kepadaMu, yang tidak menghalangiku untuk berjihad di jalanMu, yang tidak menghalangiku keluar ke Ka’abahMu, dan tidak pula menghalangiku untuk mendatangi masjid NabiMu.” Sehingga tak seorang pun menyentuh tubuh Ubai melainkan ia akan merasa panas. Hal itu terus berlangsung sehingga ia meninggal dunia.” (HR Ahmad).

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc., Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah – Refleksi 40 Hadits Ruhiyah Rasulullah S.A.W., Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

No comments:

Post a Comment