Saturday, May 30, 2009

TAUHID AR-RUBUBIYYAH (Siri ke 3)

Dalil-Dalil Tauhid ar-Rububiyyah

Banyak dalil menunjukkan bahawa Allah itu Maha Esa dan tiada sesuatu yang menyamai Allah dari sudut Rububiyyah. Antaranya:

1. Lihatlah pada tulisan di papan hitam, sudah pasti ada yang menulisnya. Orang yang berakal waras akan mengatakan bahawa setiap sesuatu pasti ada pembuatnya.

2. Semua benda di alam ini, daripada sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya, menyaksikan bahawa Allah itu adalah Rabb al-'Alamin. Dia berhak ke atas semua kejadian di alam ini.

3. Susunan alam yang mengkagumkan, indah dan tersusun rapi adalah bukti Allah Maha Pencipta. Jika alam boleh berkata-kata, dia akan menyatakan bahawa dirinya makhluk ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Orang yang berakal waras akan berkata bahawa alam ini dijadikan oleh satu Zat Yang Maha Berkuasa, iaitu Allah Subhanahuwata’ala. Tidak ada orang yang berakal waras akan menyatakan bahawa sesuatu itu boleh berlaku dengan sendirinya.

4. Begitu hebatnya Ilmu Allah. Pandanglah saja kepada kejadian manusia dan fikirkanlah betapa rapi dan seni ciptaan-Nya.Terdapat seribu satu macam ciptaan Allah yang memiliki sifat yang berbeza-beza antara satu sama lain. Semuanya menunjukkan bahawa Allah adalah Rabb yang Maha Bijaksana .

Fitrah manusia mengakui Rububiyyah Allah

Berikrar dan mengakui akan Rububiyyah Allah Subhanahuwata’ala adalah suatu perkara yang dapat diterima. Hakikat ini sering terlintas dalam setiap fitrah manusia. Meskipun seseorang itu kafir, namun jauh di lubuk hatinya tetap mengakui Rububiyyah Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud:
"Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah. Maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan daripada menyembah Allah?"
( Surah Az-Zukhruf: 87)

"Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta langit dan bumi? Nescaya mereka menjawab: Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui."
(Surah Az-Zukhruf: 9)

Tidaklah susah untuk membuktikan Rububiyyah Allah Subhanahuwata’ala. Fitrah setiap insan itu sendiri adalah buktinya. Manusia yang mensyirik dan mengkufurkan Allah juga mengakui ketuhanan Allah Yang Maha Pencipta pada detik-detik tertentu.

Al-Quran mengakui adanya Tauhid ar-Rububiyyah di dalam jiwa manusia

Al-Quran mengingatkan bahawa fitrah atau jiwa manusia memang telah memiliki rasa mahu mengakui Allah Rabb al-'Alamin.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Berkata rasul-rasul mereka: Apakah ada keraguan terhadap Allah, Pencipta langit dan bumi ? Dia menyeru kamu untuk memberi ampunan kepadamu dari dosa-dosamu dan menangguhkan (siksaan) mu sampai masa yang ditentukan?"
(Surah Ibrahim: 10)

"Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya, maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan."
(Surah An-Naml: 14)

Keengganan dan keingkaran sebahagian manusia untuk mengakui kewujudan Allah Subhanahuwata’ala sebagai al-Khaliq (Yang Maha Pencipta), sebenarnya didorong oleh perasaan sombong, degil dan keras hati. Hakikatnya, fitrah manusia tidak boleh kosong daripada memiliki perasaan (yang di dalam sudut hatinya) yang mengakui kewujudan al-Khaliq.

Jika fitrah manusia bersih daripada sombong, degil, keras hati dan selaput-selaput dosa yang menutupinya, maka secara spontan manusia akan terus menuju kepada Allah Subhanahuwata’ala tanpa bersusah payah untuk melakukan sebarang pilihan. Secara langsung lidahnya akan menyebut Allah Subhanahuwata’ala dan meminta pertolongan daripada-Nya.

Telatah manusia, apabila berada di saat-saat genting, tidak akan terfikir dan terlintas sesuatu di hatinya kecuali Allah sahaja. Ketika itu segenap perasaan dan fikirannya dipusatkan kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Benarlah Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Dan apabila mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan keikhlasan kepada-Nya, maka ketika Allah menyelamatkan mereka lalu sebahagian daripada mereka tetap berada di jalan yang lurus. Dan tiada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain golongan yang tidak setia lagi ingkar."
(Surah Luqman: 32)

Sesungguhnya permasalahan mengenai kewujudan Allah Subhanahuwata’ala adalah mudah, jelas, terang dan nyata. Kewujudan Allah Subhanahuwata’ala terbukti dengan dalil yang amat banyak dan pelbagai.

Rujukan:
Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul Ad-Da'wah.

No comments:

Post a Comment