Saturday, May 30, 2009

TAUHID AR-RUBUBIYYAH (Siri 1)

Makna kalimah tauhid

Kalimah tauhid bermakna mengEsakan Allah Subhanahuwata’ala. Dari sudut penghayatan dalam kehidupan, ia membawa erti mengenal, berikrar, mengakui, mempercayai dan meyakini bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah hanya sanya Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Selain daripada-Nya, sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Penghayatan kalimah ini meliputi berikrar dengan hati, menyatakan dengan lidah dan membuktikan dengan amalan.

Tauhid ar-Rububiyyah

Tauhid ar-Rububiyyah bermakna beri'tiqad bahawa Allah Subhanahuwata’ala bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan sekelian alam.

Pengertian lanjut Tauhid ar-Rububiyyah

Antara pengertian kalimah Rabb ( ربّ ) ialah Tuan, Pemilik, Pencipta, Penguasa, Pendidik, Pengasuh, Penjaga dan Penguatkuasa Yang Mutlak.

Allah bersifat mutlak

Manusia, jika dia bersifat seperti memiliki dan berkuasa, maka sifatnya itu sementara. Segala sesuatu di alam ini kepunyaan Allah Subhanahuwata’ala. Apa yang dimiliki makhluk hanyalah bersifat pinjaman dan majaz (kiasan). Hanya Allah Subhanahuwata’ala sebagai Rabb al-'Alamin (Rabb sekelian alam) dan mempunyai segala sifat kesempurnaan. Dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna mengakibatkan seluruh makhluk bergantung kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya, mendapat kehidupan daripada-Nya dan berharap kepada-Nya.

Manusia, jika dia cerdik, bijak dan pandai, maka semuanya itu datang daripada Allah Subhanahuwata’ala. Segala kekayaan dan penguasaan manusia bukanlah miliknya yang mutlak tetapi segala-salanya itu datang daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak memiliki apa-apa melainkan setiap kuasa, tindak-tanduk, gerak nafas dan sebagainya datang daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Allah Subhanahuwata’ala, Dialah Maha Berkuasa, Mencipta, Menghidup dan Mematikan. Dia berkuasa memberikan manfaat dan mudarat. Jika Allah Subhanahuwata’ala mahu memberikan manfaat dan kelebihan kepada seseorang, tiada siapa yang mampu menghalang atau menolaknya. Jika Allah Subhanahuwata’ala mahu memberikan mudarat dan keburukan kepada seseorang seperti sakit dan susah, tiada siapa dapat menghalang atau mencegahnya.

Oleh itu hanya Allah Subhanahuwata’ala sahaja yang berkuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
"Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu."
( Surah Al-An'am: 17)

Dengan mengenali Allah Subhanahuwata’ala sepertimana yang dijelaskan di atas, maka timbullah kesan tauhid kepada hati seseorang. Dia hanya takut kepada Allah Subhanahuwata’ala, dan berani untuk bertindak melakukan sesuatu kerana keyakinannya kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Rujukan: Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul Ad-Da'wah.

No comments:

Post a Comment