Wednesday, April 16, 2008

Islam Pemangkin Sains

Penghormatan yang Allah berikan kepada golongan yang suka mengkaji alam, sehingga menggelar mereka sebagai ulul albab, begitu signifikan bagi umat Islam. Ia adalah rangsangan yang istimewa daripada Allah supaya umat Islam mendekati alam bagi mengkajinya. Dengan itu ketaqwaan mereka kepada Allah akan meningkat. Secara khusus, antara ciri yang terdapat pada ulul albab adalah suka mengkaji dan bertafakur mengenai penciptaan langit dan bumi. Pada hari ini golongan yang banyak mengkaji mengenai kejadian langit dan bumi adalah pakar-pakar sains dalam bidang astronomi dan astrofizik. Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Surah Ali Imran Ayat 190 – 191)

Justeru, ayat 190 dalam surah Ali Imran berhubung ulul albab merangsang umat Islam supaya menjadi saintis. Saintis yang mahu dihasilkan mengikut formula Quran adalah saintis yang mengingati Allah di mana sahaja dia berada. Bukannya saintis yang ateis.

Quran sememangnya mahu umat Islam memiliki minda yang saintifik. Minda yang saintifik adalah minda yang kuat berfikir, kritikal dan mampu menganalisis data dan fakta, serta mampu membuat andaian dan kemudiannya kesimpulan kepada apa yang dicerap. Minda saintifik menolak sebarang laporan dan pandangan yang tidak berlapikkan bukti dan dalil.

Sebenarnya minda seperti inilah yang mahu dilahirkan oleh Islam kerana Islam menyuruh umatnya supaya tidak mengikut sesuatu yang tidak bersandarkan bukti dan dalil. Dalam surah Al Israk ayat 36 Allah menyatakan yang bermaksud: “Janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.”

Berhubung dengan ayat ini, Syed Qutub berkata dalam Fi Zilal al Quran, “Janganlah kamu mengikut sesuatu tanpa berpandukan ilmu yang meyakinkan dan (janganlah mengikut sesuatu) yang tidak terbukti kesahihannya.”

[Petikan dari buku Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2007, p 9.]

No comments:

Post a Comment