Tuesday, April 22, 2008

Media Massa Merangsang Seks Bebas

Pornografi menjadi sebuah industri yang besar pada hari ini. Segala bentuk media massa digunakan bagi menyalurkan adegan-adegan lucah. Pada tahun 2003, 83 peratus episod yang ditayangkan dalam 20 rancangan TV yang diminati remaja belasan tahun di Amerika mengandungi gambar-gambar lucah dan 20 peratus daripadanya menunjukkan adegan hubungan seks secara jelas. Di samping itu, unsur-unsur seks juga terdapat dalam lagu-lagu yang diminati remaja pada hari ini. Sebagai contoh pada tahun 1999, 42 peratus daripada lagu-lagu Inggeris yang popular mengandungi lirik-lirik lucah dan 19 peratus daripadanya menceritakan mengenai hubungan seks. Hal ini dinyatakan di Fokus Adolescent Services (On line) di http://www.focusas.com/.

Pada hari ini, antara media yang begitu ghairah memaparkan gambar-gambar dan adegan lucah adalah internet. Mengikut Internet Filter Reviews 2006, di bawah tajuk Internet filter Statistics, terdapat 4.2 juta laman web dengan 372 juta helaian keseluruhannya (pages) yang memaparkan adegan-adegan lucah di seluruh dunia. Dalam masa setahun, jumlah mereka yang menziarahi laman-laman web lucah ini mencecah 72 juta orang. Kebanyakan pelanggan yang menziarahi laman-laman ini adalah remaja dalam lingkungan umur 12 hingga 17 tahun.

Kajian yang dilakukan oleh MSNBC pada tahun 2004 ke atas 15,000 pengguna internet mendapati, 32 peratus daripada golongan wanita dan 13 peratus daripada pihak lelaki berpendapat internet menggalakkan penzinaan. Dalam kajian yang lain yang dimuatkan di BBC News Online, 30 peratus pengguna internet yang bercinta melalui internet kemudiannya menemui kekasih mereka dan berzina di alam nyata.

Kajian di Britain menunjukkan, fenomena ini menjadi sebab musabab meningkatnya peratus perceraian dalam masyarakat. Hal ini didedahkan di dalam buku bertajuk In Bed with the Web: internet And The New Adultery. Salah seorang penulis buku ini adalah Yannick Chatelain.

Industri pornografi begitu menguntungkan. Ia mendatangkan pulangan haram yang lumayan. Mengikut Internet Filter Revies 2006, industri pornografi mengaut keuntungan keseluruhan berjumlah $57 billion dalam masa setahun, majoritinya (iaitu $20 billion) melalui video-video seks lucah.

Benarlah kata Nabi yang bermaksud, “Akan muncul daripada umatku mereka yang menghalalkan perbuatan zina, menghalalkan sutera bagi lelaki, minuman arak dan lagu-lagu yang melalaikan.” Hadis ini direkodkan oleh Bukhari.

Secara dasarnya Islam mengutuk segala bentuk penzinaan dan segala perkara yang membawa kepadanya diharamkan oleh Islam. Allah menjelaskan dalam Surah Israk ayat 32, “Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

Justeru, ajaran Islam didatangkan Allah bagi menjaga lima maslahat utama iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Kelima-lima ini dikenali sebagai maslahat daruriyat. Ia adalah keperluan asas dalam kehidupan. Sekiranya perkara-perkara ini luput, kehidupan pasti hancur dan segala apa yang dinikmati akan musnah. Di samping itu, ia mendatangkan seksaan pada Hari Kiamat.

Oleh sebab aspek pemeliharaan keturunan adalah penting dalam Islam, syariat Islam memeliharanya dengan mengizinkan pergaulan serta percampuran antara lelaki dengan perempuan melalui perkahwinan yang sah. Sebaliknya, mereka yang berzina dihukum dengan keras oleh agama.

Sebenarnya, alat kelamin adalah amanah. Justeru, ia perlu dipelihara berpandukan berpandukan landasan syariat. Berhubung dengan ini sahabat Abdullah Bin Amr Bin al-As berkata: “Amanah adalah alat kelamin manusia. Sekiranya manusia mampu menjaga amanah itu Allah akan memelihara dirinya dan keturunannya.”


[Petikan dari buku Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2007, p 177 - 178.]

No comments:

Post a Comment