Tuesday, April 15, 2008

Tamadun

Tamadun ialah anda membina kemajuan dengan iktibar anda sebagai seorang manusia yang mempunyai akal, hati sanubari, akhlak. Dalam membina tamadun anda perlu mengawal syahwat.

Tamadun ialah apabila engkau mengatakan ‘tidak’ ketika engkau dapati sesuatu yang bercanggah dengan sifat kemanusiaan yang ada dalam diri. Tamadun ialah apabila engkau mengucapkan ucapan yang telah diucapkan oleh Nabi Yusuf Bin Yaakob Bin Ishak Bin Ibrahim a.s: “Aku berlindung dengan Allah” tatkala baginda dipelawa melakukan maksiat. Beginilah sikap yang sepatutnya dipunyai oleh manusia.

Perkara yang sangat menyedihkan kita lagi ialah percikan tamadun barat telah berpindah kepada kita sebagai orang-orang Islam. Kita telah mula mengikut perlakuan mereka secara membuta tuli. Kita mahu mengikut jejak langkah mereka. Kita ingin mengikut cara hidup mereka sedikit demi sedikit. Kita ingin mengikut mereka sejengkal demi sejengkal, sedepa demi sedepa sekalipun mereka masuk ke dalam lubang biawak kita akan mengikutnya sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
“Kamu akan mengikut cara hidup orang yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun kamu akan mengikut sama masuk ke dalamnya. Kami bertanya: “Adakah masuk orang sebelum kami itu orang Yahudi atau Nasrani?

Setengah dari kalangan kita ingin berjalan mengikut Barat dengan memberikan kebebasan mutlak, membiarkan pemuda dan pemudi menjalinkan hubungan sesama mereka supaya setiap dari mereka dapat merasai nikmat seks. Kita biarkan pemuda dan pemudi kita berhubung secara bebas dengan rakan-rakan mereka di barat agar mereka dapat belajar perkara-perkara seksual melalui jalan pemikiran yang menyesatkan, dengan cara bergaul dengan kaum yang sesat itu di negara mereka.

Ketika orang-orang yang pergi ke barat atau ke negeri timur jauh, ke Bangkok dan sebagainya dan apabila mereka kembali mereka telah tercemar dengan penyakit pada badan dan akal mereka. Begitulah kita mula pergi kepada mereka untuk mengambil bala, wabak atau mereka datang kepada kita dengan berbagai bentuk dan cara.

Allah telah melindungi kita sebagai orang Islam dengan ajaran agamaNya. Dia telah melindungi kita dengan hukum-hukum syariatNya. Dia telah melindungi kita dengan akidah yang boleh menjadikan seorang mukmin berdiri teguh di hadapan hawa nafsu, syahwat dan perkara-perkara yang memberahikan.

Seorang mukmin tidak rela dirinya dikotori. Sesungguhnya Islam telah mendidik mukmin semenjak kukunya lembut supaya menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Firman Allah dalam Surah An Nur ayat 30 – 31 yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang mukmin lelaki supaya menundukkan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka. Tindakan sedemikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. Dan katakanlah (wahai Muhamad) kepada orang-orang mukmin perempuan supaya mereka menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan mereka melainkan yang nampak jelas pada mereka, dan labuhkanlah kain tutup kepala mereka sehingga ke paras bawah buah dada mereka.”

Sesungguhnya Allah mahu manusia muslim terdidik dengan sifat menjaga kehormatan, memelihara kesucian dan berakhlak dengan sifat malu. Allah tidak redha manusia mukmin bergelumang dengan maksiat dan terjunam ke dalam lubuk maksiat.

[Petikan dari buku Khutbah Jumaat, Dr Yusuf Al Qardhawi , As Syabab Media, Bandar Baru Bangi, 2002, p 172 - 175.]

No comments:

Post a Comment