Wednesday, April 09, 2008

Islam Adalah Cara Hidup Yang Komprehensif

Islam adalah agama yang lengkap lagi komprehensif. Konsep kesempurnaan ini dikenali sebagai syumuliyah dalam Islam. Hal ini dinyatakan Allah dalam Surah Al Maidah ayat 3, “Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untuk kamu dan Aku sempurnakan nikmatKu ke atasmu dan Aku redai Islam menjadi agamamu,”

Berhubung dengan perkara ini, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir Al Quran Al Azim berkata, “Ini adalah nikmat paling agung yang dikurniakan Allah kepada umat ini. Apabila Allah menyempurnakan agama ini, umat Islam tidak memerlukan agama lain selain Islam dan mereka juga tidak memerlukan nabi lain (selepas Nabi Muhammad)”.

Bagi memperincikan lagi konsep ini, dalam Usul 20 Imam Hasan Al-Banna berkata, “Ajaran Islam adalah menyeluruh mencakupi kesemua bidang kehidupan. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia juga adalah pengetahuan dan undang-undang ataupun ilmu dan kehakiman. Islam juga menekankan aspek kebendaan dan harta ataupun usaha dan kekayaan. Di samping itu Islam mementingkan jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Islam adalah akidah yang benar dan ibadah yang sah”

Oleh itu Islam adalah lengkap dan sempurna ia tidak menerima sebarang campur aduk dengan sebarang ideologi dan falsafah. Inilah yang Allah maksudkan dalam perintahNya yang terdapat dalam surah Al Baqarah ayat 42, “ Jangan kamu campuradukkan yang hak dengan yang batil dan jangan kamu sembunyikan kebenaran sedang kamu mengetahui.”

Berhubung dengan ini, Imam Qatadah menegaskan, “Janganlah kamu campuradukkan ajaran Islam dengan ajaran Yahudi dan Nasrani sedangkan kamu mengetahui agama yang diterima Allah hanyalah Islam.” Hal ini disebut dalam al-Asas fi al-Tafsir.

[Petikan dari buku Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2007, p 2.]

1 comment: