Tuesday, April 15, 2008

Mulia Dengan Islam

Kita orang Islam telah dimuliakan dan dilindungi oleh Allah dengan agama Islam. Kita tidak perlu mengikut orang lain yang tidak mengikut agama Islam. Sekiranya kita hendak juga mengambil sesuatu daripada barat maka ambillah ilmu dan teknologinya kerana ilmu itu sebenarnya adalah hak kita, maka tidak salah sekiranya kita mengambilnya semula.

Orang-orang barat telah mengambil manhaj ilmu daripada umat Islam. Maka oleh itu kita perlu mengambilnya semula dan memanfaatkannya untuk diri kita.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “ Ilmu yang berguna adalah barang kepunyaan mukmin yang telah hilang, maka di mana sahaja dia menjumpainya maka dia lebih berhak mendapatkannya”.

Manakala suara yang mengajak kita mengambil semua yang ada pada orang barat samada baik atau buruk adalah suara yang sesat dan tidak boleh dipakai.

Walau dalam keadaan mana sekalipun umat Islam tidak boleh menghancurkan keperibadiannya dengan mengikut mereka yang telah dimurkai Allah dan orang-orang yang sesat. Allah telah mengajar umat Islam supaya mengatakan kata-kata yang diulang tidak kurang dari 17 kali dalam sehari semalam. Firman Allah dalam Surah Al Fatihah ayat 6 – 7 yang bermaksud:
“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus iaitu jalan mereka yang telah Engkau beri nikmat, bukannya jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan juga jalan mereka yang sesat”.

Kita sebagai orang Islam hendaklah mempunyai perbezaan dengan orang lain dari kita. Kita menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang diharamkan olehNya. Apa yang menyedihkan kita ialah setengah undang-undang dalam negara orang Islam masih menghalalkan perkara yang telah diharamkan oleh Allah. Ia menghalalkan zina secara terang-terangan. Ia menghalalkan hubungan jenis yang tidak diakui oleh syarak selagi ia berlaku dengan kerelaan kedua-dua belah pihak. Dalam keadaan ini undang-undang tidak boleh mengambil tindakan ke atas pelaku zina tersebut seperti mana yang dikatakan oleh pujangga: “Aku rela, bapa aku rela, adakah engkau hendak menghukum aku wahai pemerintah?”.

Dalam setengah negara undang-undang melarang lelaki mempunyai isteri dua orang tetapi mereka mengharuskan lelaki mempunyai teman wanita dan perempuan simpanan yang ramai. Begitulah yang telah dilakukan oleh manusia masa kini. Mereka telah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Mereka telah menentang syariat Allah secara terang-terangan.

Kita sebagai orang Islam perlu berpegang teguh dengan syariat Allah. Ia merupakan bahtera penyelamat dan perahu yang boleh menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.

Agama Islam bukanlah satu jalan untuk mencapai kebahagiaan di akhirat sahaja, tetapi ia juga adalah satu jalan untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kejayaan tidak akan terhasil melainkan dengan mengikut syariat Allah. Kemenangan dan kekuatan tidak akan terhasil tanpa mengikut syariat Allah.


[Petikan dari buku Khutbah Jumaat, Dr Yusuf Al Qardhawi , As Syabab Media, Bandar Baru Bangi, 2002, p 183 - 185.]

No comments:

Post a Comment