Wednesday, April 09, 2008

Iman Yang Mampu Mengalahkan Kekuatan Nafsu

Proses penyempurnaan diri Nabi Yusuf dirancang oleh Allah melalui beberapa tahap kesabaran.

Pertamanya kesabaran menghadapi perlakuan saudara-saudara baginda, kesabaran harus berjauhan dengan ayah baginda dan kesabaran dikurung di dalam penjara hingga beberapa tahun.

Keduanya kesabaran yang harus dipilihnya sendiri, iaitu kesabaran menghadapi rayuan isteri al-Aziz (Zulaikha), lebih-lebih lagi isteri al-Aziz itu merupakan wanita yang cantik dan terhormat. Wanita itulah yang telah merayu baginda dan menutup pintu. Pada masa itu Nabi Yusuf a.s. berada pada usia muda remaja. Dengan pertimbangan bahawa di negeri itu beliau tidak mempunyai kerabat atau kenalan pun, dan berkat iman yang murni dan tulus, sekalipun ada dorongan syahwat, beliau harus menghindari hal-hal yang tidak diingini. Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“….andaikata dia tidak melihat tanda daripada Tuhannya…”
(Surah Yusuf: Ayat 24)

Maksudnya adalah tanda iman yang mampu mengalahkan semua kekuatan nafsu, dan ini pula yang dimaksudkan dalam sabda Nabi s.a.w. tentang salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan dari Allah pada hari yang tiada perlindungan selain perlindunganNya, iaitu lelaki yang dirayu wanita yang cantik menawan dan terhormat, lalu lelaki itu berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah.”

Nabi Yusuf lebih suka memilih penjara daripada terseret dalam perbuatan yang dilarang. Beliau tidak membiarkan dirinya kepada usahanya sendiri, tetapi beliau memohon kepada Allah agar Dia menyingkirkan kejahatan mereka. Nabi Yusuf berkata yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku..”
(Surah Yusuf: Ayat 33)

“Maka Tuhannya memperkenankan doa Yusuf dan Dia menghindarkan Yusuf daripada tipu daya mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah Yusuf: Ayat 33)
Rujukan: Fawa’id Mustanbithah min Qishshati Yusuf (Pengajaran Daripada Kisah Nabi Yusuf), Syeikh Abdul Rahman B. Nashir Sa’di, (terjemahan Muhammad Baihaqi), Penerbitan Darul Iman, Kuala Lumpur, 2000.

No comments:

Post a Comment