Tuesday, April 15, 2008

Berfikir dan Berzikir

Sesungguhnya mengenali Allah merupakan akidah yang paling tinggi di dalam Islam. Rasa takut seorang hamba terhadap Allah, sesuai dengan kadar makrifat terhadapNya. Suatu ketika Nabi Musa as bertanya kepada Allah, “Ya Tuhanku, siapa hamba yang paling takut kepadaMu?” Allah swt menjawab, “Dia adalah orang yang paling mengenaliKu.” (Hadis riwayat Ibnul Mubarak)

Jalan yang mudah bagi kita untuk mengenali Allah ialah sebagaimana ditunjukkan al Quran iaitu dengan cara berfikir. Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Surah Ali Imran Ayat 190 – 191)

Pada ayat tersebut, Allah memotivasi kita untuk memikirkan para makhlukNya yang di langit dan di bumi, serta memikirkan keagungan penciptaanNya. Ketika memikirkan perkara ini dengan berzikir maka akan tercetus rasa takut dan bertaubat kepada Allah swt:
“Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”
(Surah Ali Imran Ayat 191)

Ketika ayat-ayat di atas diturunkan, Rasulullah menangis. Melihat Rasulullah menangis, Bilal ra berkata, “Merugilah orang yang membaca ayat-ayat ini kemudian tidak memikirkannya” (Hadis Riwayat Abu Hatim dan Ibnu Hibban).

Melalui perbuatan bertafakur (berfikir) yang sebenar, seseorang akan mengenali Tuhannya, lalu mengungkapkan pengetahuannya itu dengan banyak berzikir kepadaNya. Oleh kerana itu, Hasan al Basri pernah berkata, “Berfikir sebentar, lebih baik daripada bangun malam.” Ketika Abu Darda’ ditanya, “Apakah menurutmu tafakkur (berfikir) termasuk ibadah?” Abu Darda’ menjawab, “Ya, ia adalah keyakinan”.

Dengan demikian, tujuan tertinggi dari berfikir adalah mengenali Allah. Kerana mengenali Allah dapat menimbulkan rasa takut, tunduk, penyerahan diri, cinta, pengharapan dan tawakal kepadaNya.

Berfikir adalah kunci pengetahuan, manakala berzikir pula adalah amalan yang sangat tinggi nilainya sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Taimiyah tentang keperluan zikir itu sepertimana air bagi ikan. Bagaimana keadaan ikan tanpa air?

[Petikan dari buku Ath-Thariq ila ar-Rabbaniyyah; Manhajan wa Sulukan, Dr Majdi al-Hilali (Judul Terjemahan: Pribadi Yang Dicintai Allah; Menjadi Hamba Rabbani, terjemahan A.Ikhwani) Maghfirah Pustaka, Jakarta, 2005, p 104-105.]

No comments:

Post a Comment