Tuesday, April 15, 2008

Kehidupan Yang Baik

Sesungguhnya taatkan Allah, istiqamah di atas landasan agamaNya dan takutkan Allah merupakan punca yang memberikan kehidupan yang baik dan tenang kepada manusia di dunia serta akan menghasilkan ganjaran yang baik di akhirat. Firman Allah di dalam Surah An Nahlu ayat 97 yang bermaksud:
“Barangsiapa yang melakukan amal soleh dari kalangan lelaki dan perempuan sedang dia seorang mukmin maka Kami akan memberikan kepada kehidupan yang baik dan Kami akan memberikan pembalasan yang baik terhadap amalan soleh yang telah mereka kerjakan”.

Kehidupan yang baik bukanlah bermakna mempunyai harta yang banyak dan hidup dalam keadaan yang mewah. Rakyat di Negara Qatar sebelum zaman petrol dan sebelum zaman kekayaan yang melimpah ruah yang telah menyebabkan manusia menjadi lalai telah hidup dalam keadaan yang baik. Mereka sentiasa tolong menolong dalam keadaan susah dan senang. Mereka mengasihi sesama sendiri. Mereka rasa cukup dan redha dengan nikmat yang sedikit. Mereka hidup dalam keadaan tenang.

Setiap orang sentiasa memelihara diri, harta dan kehormatan saudaranya. Kehidupan masa itu amat baik. Apa pula yang dilakukan oleh manusia dalam negara ini apabila kekayaan melimpah ruah kepada mereka, Allah meluaskan rezeki mereka, bumi di bawah tapak kaki mereka memuntahkan minyak?

Apakah yang dilakukan oleh manusia dengan nikmat-nikmat ini? Adakah mereka memeliharanya? Adakah mereka kekal seperti sebelumnya? Atau mereka telah melakukan seperti yang kita dengar, kita baca dan kita lihat perlakuan orang-orang kaya yang bermain judi berjuta-juta ringgit di negara kafir, mereka membelanjakan kekayaan itu untuk minum arak, berjudi dan berseronok dengan perempuan?

Mereka telah membazirkan harta dan telah mengabaikan hak-hak yang sepatutnya ditunaikan. Mereka telah mengabaikan hak Allah dan hak hamba-hambaNya. Maka habislah segala perkara selepas mereka memperolehi kekayaan ini.

Maksiat mempunyai kesan yang buruk terhadap individu, masyarakat, seluruh manusia, binatang-binatang ternakan dan semua makhluk yang mempunyai nyawa. Sehingga Abu Hurairah pernah berkata: “Sesungguhnya pendeta yang sedang berada di dalam tempat ibadahnya akan terkena kesan kezaliman orang yang zalim.”
Mujahid telah berkata: “Sesungguhnya binatang-binatang melaknat anak Adam yang melakukan maksiat apabila hujan tidak turun. Binatang itu berkata: “Ini adalah hasil keburukan maksiat dilakukan oleh anak Adam”.

Imam Ibnu Qaiyim mempunyai satu buku yang bertajuk “Penyakit dan Ubat”. Di dalam buku ini beliau menyebut kesan-kesan buruk dari maksiat lebih seratus kesan. Kitab ini perlu dibaca oleh ramai orang sebagai peringatan terhadap keburukan maksiat di dunia sebelum berhadapan dengannya di akhirat.

[Petikan dari buku Khutbah Jumaat, Dr Yusuf Al Qardhawi , As Syabab Media, Bandar Baru Bangi, 2002, p 142 - 143.]

No comments:

Post a Comment