Wednesday, February 16, 2011

Pengajaran Dari Surah Al Mukminun (ayat 1 – 11) Siri 4 (Akhir)

Firman Allah dalam Surah Mukminun ayat 9 – 11

وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَوَٲتِہِمۡ يُحَافِظُونَ (٩)أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡوَٲرِثُونَ (١٠) ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلۡفِرۡدَوۡسَ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ (١١)

“Dan mereka yang tetap memelihara solatnya. (9) Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. (10) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. (11)

Ayat di atas menerangkan antara ciri orang yang berjaya ialah orang yang memelihara solatnya.

Mereka yang mendirikan solat mengikut peraturan yang ditetapkan. Mereka menunaikan tepat pada waktunya dengan sempurna sama ada solat fardhu atau solat sunat. Mereka menunaikan segala rukun dan peradabannya.

Mereka solat dengan solat yang hidup, di mana mereka menumpukan seluruh hati dan perasaan. Solat merupakan perhubungan antara hati manusia dengan Allah. Orang yang tidak memelihara perhubungan ini tidak dapat diharap akan memelihara perhubungan yang baik sesama manusia. Hanya mereka yang dapat memelihara hubungan dengan Allah mempunyai hati nurani yang ikhlas serta memelihara hubungan baik (ukhwah) sesama Islam.

Pada permulaan ayat (ayat ke 2) memberi penekanan kepada solat iaitu mereka yang khusyuk dalam solat. Kemudian ditamatkan dengan solat (ayat ke 9 - “mereka yang tetap memelihara solatnya”) untuk menunjukkan betapa tinggi kedudukan solat dalam pembinaan iman. Ini adalah kerana solat merupakan satu bentuk ibadah dan menghadapkan diri (tawajjuh) kepada Allah yang paling sempurna.

Itulah sifat orang mukmin yang beruntung. Ini merupakan sifat atau ciri-ciri utama orang mukmin yang dimuliakan oleh Allah. Solat dapat meningkatkan diri orang mukmin ke tahap kesempurnaan. Sifat ini berbeza dengan kehidupan haiwan yang hanya hidup mencari kenikmatan dan makan seperti binatang ternakan.

Kehidupan di muka bumi tidak sempurna dan tidak kekal walau hebat dengan kekayaan, kenikmatan dan kekuasaan. Sedangkan Allah menghendaki supaya orang mukmin yang mengikuti jalan hidayah dari Allah menikmati syurga Firdaus yang kekal abadi. Negeri yang aman damai tanpa dilanda ketakutan dan negeri yang tetap mantap tanpa dilanda kebinasaan.

Itulah kemuncak keuntungan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada para mukminin. Inilah keuntungan dan kenikmatan yang paling tinggi dan sempurna. Selepas kemuncak ini tiada lagi matlamat lain yang dipandang mata atau diangan-angankan oleh manusia.

Firman Allah dalam surah ali Imran ayat 185:

كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَڪُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ‌ۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَ‌ۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ (١٨٥)

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (185)

Rujukan:

Asy Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, Tafsir Fi Zilalil Quran – Di Bawah Bayangan Al Quran Jilid 11, terjemahan Yusoff Zaky Haji Yacob, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 2002

No comments:

Post a Comment