Monday, February 14, 2011

Halangan dalam mengenal Allah - Akibat dorongan nafsu syahwat dan syubhat

Ma’rifatullah (mengenal Allah) adalah perkara utama yang harus disempurnakan oleh seseorang muslim. Dengan mengenal Allah kita akan mendapat kebaikan di antaranya adalah peningkatan iman dan taqwa. Di samping itu dengan mengenal Allah akan tumbuh ketenangan, keberkatan dan kehidupan yang baik, serta di akhirat dibalas dengan syurga Allah. Semua ini adalah bergantung kepada keredhaan Allah.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa halangan dalam mengenal Allah. Ada yang didukung oleh iblis yang menggoda anak cucu Adam agar terus berada dalam kesesatan dan jauh dari petunjuk Allah SWT dan ada yang berasal dari hawa nafsu.

Halangan dalam mengenal Allah muncul dalam bentuk penyakit syahwat seperti fasiq, takabbur, zalim dan dusta. Di samping itu halangan juga dalam bentuk salah faham atau syubhat kepada Islam dan Allah seperti jahil, ragu-ragu dan menyimpang dari perintah Allah. Kesemua sifat di atas menyebabkan berlaku kekufuran terhadap Allah SWT.

Penghalang kepada mengenal Allah akan mengakibatkan kita dimurkai Allah SWT khususnya yang diakibatkan oleh penyakit syahwat seperti adanya kesombongan dan kezaliman pada diri individu. Oleh itu perlu dilakukan mujahadah untuk mengatasi kemurkaan Allah tersebut.

Sifat sombong seringkali muncul pada diri manusia yang mempunyai sifat berikut:

i. merasa bahawa segala sesuatu merupakan hasil usahanya dan bukan kerana ketentuan Allah.

ii. Merasa diri paling benar, paling hebat dan paling mampu.

Manakala penyakit syubhat (ragu-ragu) muncul kerana kurangnya ilmu pada diri manusia khususnya ilmu terhadap nilai-nilai Islam. Kejahilan dan keraguan akan menyebabkan timbul sikap menentang Allah SWT. Hal ini berlaku kerana tiada ilmu dan bodoh. Selain itu, maklumat yang tidak lengkap dan tidak jelas juga mengakibatkan pemikiran dan sikap yang syubhat kepada Islam dan kewujudan Allah SWT.

Penghalang mengenal Allah yang diakibatkan oleh penyakit syubhat seperti adanya kebodohan, ragu-ragu dan lalai perlu diatasi dengan ilmu. Dengan ilmu kita tidak lagi menjadikan sesuatu sebagai syubhat sehingga kita tidak menjadi orang yang sesat. Oleh kerana itu setiap muslim perlu berilmu agar dapat mengatasi pelbagai penghalang dalam mengenal Allah.

Penyakit nafsu yang menghalang dalam mengenal Allah termasuklah fasiq, sombong, zalim, dusta dan banyak dosa. Penyakit nafsu banyak diceritakan dalam kisah para nabi bermula semenjak Nabi Adam hingga Nabi Muhammad SAW . Sikap mengikuti atau menuruti hawa nafsu sehingga ke tahap mempertuhankan hawa nafsu digambarkan dalam al Quran surah Al Jasiyah ayat 23:

أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ ۥ هَوَٮٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٍ۬ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةً۬ فَمَن يَہۡدِيهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِ‌ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ (٢٣

“Orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Allah membiarkan sesat berdasarkan ilmunya dan Allah mengunci mati pendengaran dan hatinya. Dan meletakkan tutupan atas penglihatannya.” (Surah Al Jasiyah ayat 23)

Godaan wanita juga dikaitkan dengan penyakit nafsu. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Tiada aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki daripada fitnah wanita”.

Terdapat pelbagai kisah di dalam Al Quran yang menceritakan kisah godaan wanita seperti kisah Nabi Adam yang digoda untuk memakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah. Begitu juga kisah Nabi Yusuf yang digoda oleh wanita cantik serta berkedudukan tinggi di negara Mesir sehingga baginda rela dipenjarakan daripada memenuhi nafsu wanita berkenaan.

Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa wanita yang beriman merupakan perhiasan dunia yang boleh membahagiakan seorang suami yang beriman. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Dunia merupakan harta benda, dan harta benda yang paling baik ialah wanita yang solehah. Jika dipandang, ia menyenangkannya, jika disuruh ia taat, jika ditinggal pergi ia menjaga kehormatan dirinya dan harta suaminya.”

Sebagai manusia kita sangat mudah terpengaruh dengan dorongan hawa nafsu sehingga menyebabkan fitrah atau hati nurani kita tertutup daripada nilai kebenaran yang dapat membawa kepada mengenal Allah.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 14:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٲتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَـٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِ‌ۗ ذَٲلِكَ مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُ ۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ (١٤

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)”.

Rujukan:

Dr Irwan Prayitno, Msc, Keperibadian Muslim, Pustaka Tarbiatuna, Jakarta, Jun 2010.

No comments:

Post a Comment