Sunday, July 31, 2011

Panduan Agar Hati Hidup Dengan Al Quran

Sayyid Qutb mengatakan bahawa sesungguhnya AlQuran itu harus dibaca dam diterima oleh setiap generasi umat dengan penuh perhatian. Kita perlu tadabbur ayat-ayat al Quran sebagai arahan dan nasihat yang hidup. Seolah-olah ia turun pada abad ini untuk mengubati penyakit dan permasalah umat pada abad ini. Ia menerangi jalan menuju masa depan, tidak hanya sebagai kalimat yang dibaca atau dicetak sebagai sebuah kitab atau kenyataan yang ditinggalkan terbiar begitu sahaja.

Kita berinteraksi dengan Al Quran seolah-olah ia sedang berbicara dengan kita. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.” (Surah Qaf ayat 37)

Manfaat Al Quran tidak akan diperolehi sehinggalah kita membaca serta mengamalkan segala macam nasihat dan arahan untuk kehidupan seharian kita pada masa kini atau akan datang sebagaimana yang dilakukan oleh generasi pertama di bawah didikan Rasulullah.

Ketika kita membaca Al Quran dengan penuh perhatian dan kesedaran maka kita akan mendapat apa yang kita inginkan. Kita akan mendapat pelbagai keajaiban yang tidak pernah terlintas dan terbayang sebelumnya. Kita akan mendapati kalimat-kalimat, ungkapan dan arahannya seolah hidup dan menepati permasalahan yang kita hadapi. Ia menunjukkan arah kepada jalan yang kita inginkan. Ia sangat menyentuh perasaan kita.

Walau bagaimanapun ada halangan atau rintangan antara hati kita dengan al Quran jika kita membaca Al Quran sekadar sebagai ibadah dan tidak ada kaitan dengan realiti kehidupan manusia sehari-hari.

Sayyid Qutb menyatakan bahawa sesungguhnya Al Quran adalah hakikat yang mempunyai titik lingkaran yang terus menerus berputar seperti alam semesta. Alam semesta adalah firman Allah yang boleh dilihat manakala Al Quran merupakan firman Allah yang boleh dibaca. Kedua-duanya menjadi saksi dan bukti akan penciptanya di mana Al Quran adalah untuk diamalkan.

Alam semesta dengan segala bintang, planet, galaksi tidak berhenti-henti bergerak. Ia melaksanakan fungsi yang telah diberikan oleh Allah. Ia beredar di orbit masing-masing. Fungsinya tidak boleh dihalang oleh ruang dan batas waktu.

Demikian pula al Quran, ia melaksanakan fungsinya bagi segenap manusia, ia tetap berfungsi kepada semua generasi dan zaman kerana fitrah manusia itu tetap tidak berubah tidak kira masa, tempat, suasana atau bangsa sehinggalah ke hari kiamat.

Walau pun berlaku perubahan kepada keadaan dan alam sekitar sekelilingnya dan manusia turut dipengaruhi oleh perubahan tersebut namun hakikat fitrah manusia tetap tidak boleh diganti dan diubah.

Fitrah ertinya sifat batin semulajadi, yang dibekalkan oleh Allah ke dalam diri setiap manusia sejak azali lagi. Fitrah wujud bersama lahirnya tubuh kasar manusia ke dunia. Ia terus menjadi sifat manusia tanpa melalui proses berguru atau pengalaman. Cuma ia tidak cukup subur semasa manusia masih bayi. Ia beransur-ansur subur bersama kesuburan yang dialami oleh jasad lahir manusia.

Contoh-contoh sifat fitrah ini ialah takut, sayang, simpati, marah, dendam, benci, gembira, dengki, megah, sedih dan lain-lain lagi. Rasa-rasa fitrah ini bukannya diperolehi di mana-mana sekolah atau dari mana-mana guru. Ia sudah sedia ada. Ia menjelma dalam kalbu manusia di waktu manusia itu berhadapan dengan keadaan yang tertentu.

Al Quran berbicara kepada manusia selaras dengan fitrah manusia yang tidak berubah itu. Sesungguhnya Al Quran adalah kitab petunjuk dan manhaj hidup yang Allah turunkan kepada kita agar menunjukkan kita kepada apa yang bermanfaat bagi dunia dan akhirat kita.

Ibnul Qayyim mengatakan, bahawa membaca yang hakiki adalah membaca makna dan mengikutinya, membenarkan segala khabar yang dibawanya, mengerjakan segala yang diperintahkannya dan meninggalkan segala larangannya. Ia akan selalu siap sedia menerima apa sahaja arahan dan peraturan yang termaktub di dalam al Quran. Membaca Al Quran meliputi bacaan lafazh dan meneliti makna. Membaca makna lebih mulia dan lebih berharga dari hanya membaca secara lafazh sahaja. Mereka yang membaca dengan sebenar-benarnya iaitu lafazh dan meneliti makna adalah orang yang layak memperolehi pujian di dunia dan akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” (Surah Shad ayat 29)

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?” (Surah Muhammad ayat 24)

Saidina Ali Bin Abi Talib berkata; “Tidak ada kebaikan dalam membaca Al Quran yang tidak disertai dengan tadabbur (memperhatikan ayat-ayatnya dan mengambil pelajaran darinya serta mengamalkannya).

Rujukan:

Dr Majdi Al Hilali, Agar Hati Hidup Bersama Al Quran terjemahan Al Imanu Awwalan Fakaifa Nabda-u bihi, oleh Andi Subarkah, Pustaka Nuun, Semarang, 2009.

No comments:

Post a Comment