Friday, July 08, 2011

Tiga Jalan Menuju Kesesatan

Barangsiapa yang mahu menjadi seorang yang benar-benar Muslim perlu mengetahui jalan yang boleh membawa kepada kesesatan. Kita tiada peluang untuk hidup kali kedua bagi membaiki kesilapan selepas meninggalkan dunia ini. Oleh itu perlu kita pastikan kita berada di atas jalan atau landasan yang betul untuk mencapai matlamat keredhaan Allah.


Tajuk yang hendak disampaikan kali ini menjelaskan kepada anda dari mana sebenar kekufuran dan bid’ah itu timbul. Al Quran menjelaskan kepada kita bahawa kesesatan ini muncul melalui tiga sumber iaitu:


i. Mengikut kemahuan sendiri


Sumber yang pertama adalah kemahuan dri manusia sendiri. Firman Allah:



فَإِن لَّمۡ يَسۡتَجِيبُواْ لَكَ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهۡوَآءَهُمۡ‌ۚ وَمَنۡ أَضَلُّ مِمَّنِ ٱتَّبَعَ هَوَ
ٮٰهُ بِغَيۡرِ هُدً۬ى مِّنَ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ


“...dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikitpun. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (Surah Al Qasas ayat 50)


Ayat di atas memberi maksud bahawa faktor yang terbesar penyebab kesesatan manusia adalah dorongan-dorongan hawa nafsu sendiri.


Tidak mungkin seseorang itu dapat menjadi hamba Allah, sedangkan dia mengikuti dorongan hawa nafsunya sendiri. Ia akan terus menerus memikirkan pekerjaan apa yang akan mendatangkan wang baginya, usaha apa yang akan membawa populariti dan penghormatan orang padanya, ke mana ia harus mengejar kesenangan dan kepuasan, serta apa-apa sahaja yang boleh memberikan kemudahan dan kebahagiaan hidup baginya.


Pendeknya, ia akan menempuh segala macam cara untuk mencapai tujuan-tujuan tersebut, tanpa mempedulikan samada Allah melarang cara-cara tersebut. Dan ia takkan pernah mengerjakan suatu apa pun yang dianggapnya tidak akan membawa tercapai tujuan-tujuannya tersebut, walaupun Allah memerintahkannya untuk mengerjakannya.


Oleh itu, pada hakikatnya Tuhan bagi orang seperti ini adalah dirinya sendiri, bukannya Allah Yang Maha Agung. Jadi, bagaimana ia akan mendapat manfaat dari petunjuk Allah


Hal ini diterangkan oleh Allah dalam firman-Nya:


أَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ ۥ هَوَٮٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيۡهِ وَڪِيلاً (٤٣) أَمۡ تَحۡسَبُ أَنَّ أَڪۡثَرَهُمۡ يَسۡمَعُونَ أَوۡ يَعۡقِلُونَ‌ۚ إِنۡ هُمۡ إِلَّا كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ‌ۖ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ سَبِيلاً


“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya, Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu).” (Surah Al Furqan ayat 43- 44)


Mereka yang menjadi hamba kepada hawa nafsu lebih buruk daripada binatang . Binatang tidak akan melanggar batas-batas yang telah ditentukan Allah baginya. Sebagai contoh,binatang hanya memakan apa yang telah ditetapkan baginya. Ia hanya menjalankan peranan yang telah ditentukan Allah baginya.


Tetapi manusia akan bersifat binatang apabila menjadi hamba kepada hawa nafsunya sendiri. Ia akan melakukan perbuatan yang tidak terduga oleh syaitan sendiri.


2. Mengikut nenek moyang tanpa berfikir


Jalan yang kedua yang boleh membawa kepada kesesatan ialah mengikut adat kebiasaan, kepercayaan, fikiran, amalan dan upacara yang biasa dilakukan oleh nenek moyang dan menganggapnya lebih penting daripada perintah Allah.


Dalam hal ini Al Quran juga memberi peringatan yang keras seperti dalam Surah Al Baqarah ayat 170 yang bermaksud:


“Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah", mereka menjawab: "(tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara- ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?”


Manakala dalam Surah Al Maidah ayat 104-105 Allah berfirman yang bermaksud:


“Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul”. Mereka menjawab: “Cukuplah untuk kami dapati bapak-bapak kami mengerjakannya.” Dan apakah mereka akan mengikuti juga nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk? Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, maka Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”.


Jahatnya kesesatan itu adalah demikian rupa, sehingga semua orang-orang bodoh di setiap zaman terkena cengkamannya. Kesesatan selamanya telah mencegah mereka menerima bimbingan dari utusan Allah.



3. Kepatuhan Kepada Selain Allah


Jalan yang ketiga menuju kesesatan ialah apabila manusia mengenepikan perintah Allah lalu mentaati perintah manusia dengan pelbagai alasan.


Sering kita dengar manusia menta’ati perintah manusia lain dengan alasan seperti “kerana bapa seseorang itu adalah seorang pembesar, maka kata-katanya mestilah baik” atau “kerana rezeki saya bergantung kepada orang itu, maka saya harus patuh kepadanya”, atau “kerana bangsa itu adalah bangsa yang maju maka kita harus mengikut apa yang dipakainya“.


Dengan diajukannya alasan-alasan seperti ini maka tertutuplah pintu petunjuk Tuhan sepertimana firman Allah yang bermaksud:


“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah...“ (Surah Al An’am ayat 116)


Ayat ini menerangkan bahawa manusia hanya boleh tetap berada di jalan yang benar, bila ia mempercayakan diri seratus peratus kepada satu Tuhan.


Barangsiapa yang mahu menjadi seorang Muslim yang sebenarnya maka dia mestilah:


i. Tidak memperhambakan kepada hawa nafsu sendiri,


ii. Tidak mengikut ada kebiasaan nenek moyang yang bertentangan dengan ajaran Islam


iii. Tidak memperhambakan diri kepada manusia seperti orang-orang kaya, pemerintah yang berkuasa, ulamak palsu, bangsa-bangsa yang sesat dan sebagainya.


Rujukan:


Manhaj Hidup Muslim, terjemahan Fundamental Of Islam Sayyid Abul A’la Al-Maududi, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, 1985.

No comments:

Post a Comment