Sunday, June 05, 2011

Takut Kepada Allah

Tiga Kebaikan Yang Menyelamatkan Diri


Kehidupan ini adalah suatu ujian dari Allah untuk mengetahui siapa di antara kita yang mampu melakukan kebaikan. Kita tiada pilihan lain sekiranya menginginkan balasan syurga di akhirat nanti. Malangnya, kebanyakan kita gagal dalam ujian duniawi sehingga menjadi orang yang rugi di dunia dan akhirat.


Dalam sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: “Tiga perkara yang akan memberi keselamatan iaitu takut kepada Allah dalam keadaan bersendirian dan dikhalayak ramai, berlaku adil dalam keadaan redha dan benci, berhemat (berjimat cermat) dalam keadaan miskin dan kaya.” (HR Thabrani dan Abu Syaikh dari Anas Bin Malik r.a.)


Menurut Syeikh Utsaimnin perkataan khasyyatullah bermaksud rasa takut kepada Allah berdasarkan pengetahuan tentang kebesaran Allah dan kekuasaan-Nya Yang Maha Sempurna sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah orang-orang yang berilmu.” (Surah Fathir ayat 28)


Oleh itu salah satu kunci keselamatan kita di dunia dan akhirat adalah khasyyatullah kerana sifat ini akan memberi kepada kita beberapa kebaikan sebagaimana berikut:-


i. Khasyyatullah akan menjadi penyebab untuk mengukuhkan kekuasaan dan kewujudan kita di dunia.


Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 13 – 14 yang bermaksud: “Orang –orang kafir berkata kepada rasul-rasul mereka,”Kami sungguh-sungguh akan mengusir kamu dari negeri kami atau kamu kembali kepada agama kami.” Maka Tuhan mewahyukan kepada mereka, “Kami pasti akan membinasakan orang-orang zalim itu, dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri-negeri itu sesudah mereka. Yang demikian itu (adalah untuk) orang-orang yang takut (akan menghadap) ke hadrat-Ku dan yang takut kepada ancaman-Ku.”


Oleh itu, khasyyatullah akan memberikan kekuatan dan keselamatan dari pelbagai fitnah yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam sehingga kita dapat menegakkan keadilan dan kebenaran Islam di muka bumi.


ii. Khasyyatullah akan menjadi pemicu dan pendorong bagi kita untuk lebih bersemangat dalam melaksanakan amal kebaikan dalam tulus ikhlas untuk mencari keredzaan Allah tanpa mengharapkan ganjaran dunia dari orang lain.


Firman Allah dalam surah Al Insan ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanya untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. Sesunggunya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (dihari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan.”


Semangat dan ketulusan (ikhlas) dalam beramal akan menyelamatkan kita dari pelbagai kesulitan dan riya’ yang menjadi sumber kebinasaan.


iii. Khasyyatullah akan meninggikan darjat kita dan membebaskan diri kita dari ketakutan pada hari Kiamat. Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud: Demi keagungan dan kebesaran-Ku, Aku tidak akan menghimpun dalam diri seorang hamba dua rasa takut dan dua rasa aman. Jika ia takut kepada-Ku di dunia, maka Aku akan memberinya keamanan di hari kiamat. Jika ia merasa aman dari siksa-Ku, maka Aku akan membuatnya takut pada hari kiamat nanti.” (HR Ibnu Hibban)


iv. Khasyyatullah akan membolehkan kita berada di bawah naungan Allah pada hari kiamat nanti. Pada hari itu panas terik matahari tidak mampu ditanggung oleh manusia seolah-olah berada sejengkal dari kepala. Antara tujuh golongan yang berhak mendapat naungan dari Allah Ta’ala pada hari kiamat ialah “seorang lelaki yang diajak wanita berkedudukan dan cantik untuk berbuat zina, lalu dia berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah. Dan seorang yang berzikir mengingati Allah ketika bersendirian sehingga berlinangan air mata.” (HR Bukhari).


v. Khasyyatullah akan menyelamatlam kita dari neraka dan memasukkan kita ke dalam syurga. Rasulullah S.A.W. bersabda: Barangsiapa takut, tentulah dia akan berangkat sejak permulaan malam. Barangsiapa berangkat di permulaan malam, nescaya ia akan sampai ke tempat tujuan. Ketahuilah bahawa perniagaan Allah sangat mahal. Ketahuilah bahawa perniagaan Allah adalah syurga”. (HR Tirmidzi)


Ungkapan “berangkat dipermulaan malam” merupakan kiasan bagi orang yang menempuh perjalanan akhirat. Syaitan dan hawa nafsu akan menghalang dipertengahan jalan agar berbuat dosa dan keburukan. Jika ia berwaspada dan tulus ikhlas niatnya dalam beramal, nescaya akan aman dari gangguan syaitan dan tipu muslihatnya. Inilah perniagaan Allah. Barangsiapa yang melaksanakannya, bererti ia termasuk dikalangan orang-orang yang mendapat keselamatan akhirat.


vi. Khasyyatullah akan membolehkan kita meraih redha Allah.


Firman Allah yang bermaksud: “Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga ‘Adn yang mengalir sungai-sungai di bawahnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.” (Al Bayyinah ayat 8).


Beruntunglah orang yang takut kepada Allah di dunia kerana ia tidak akan takut kepada Allah di akhirat setelah mendapat ganjaran syurga.


Sedangkan orang yang tidak takut kepada Allah di dunia dengan melakukan pelbagai maksiat dan kejahatan, tunggulah kamu dengan azab Allah yang sangat pedih dan menakutkan di akhirat.


Wallahu‘aklam.


Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

No comments:

Post a Comment