Wednesday, June 29, 2011

Apakah kita menyedari harta kita yang bernilai telah hilang?

Keinginan untukmemperolehi kembali apa yang telah hilang dari tangan kita akan timbul apabila kita menyedari apa yang hilang dan betapa bernilainya harta yang hilang itu.

Bila kita menyedari, mengerti dan sedar bahawa kita dahulu pernah memiliki sesuatu harta yang tidak ternilai harganya, kemudian hilang dari tangan kita, maka kita pasti akan berfikir dan berusaha untuk memperolehi harta itu kembali.

Kita dapat rasakan betapa sedihnya apabila kehilangan harta benda. Tetapi tidak kita merasa rugi dan sedih apabila ajaran Islam hilang dalam amalan kehidupan kita. Kalau kita menyedari kerugian ini maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menebus kerugian ini.

Syarat untuk menjadi muslim yang sejati memerlukan pengetahuan tentang Islam. Setiap muslim harus mengetahui apa yang diajarkan oleh Islam. Setiap muslim harus mengetahui apa yang diajarkan oleh Al Quran, sistem kehidupan yang diikuti oleh Rasulullah.

Apa makna Islam dan perkara yang membezakan antara Islam dan kufur. Tidak ada seorang pun yang boleh menjadi muslim tanpa mengetahui hal-hal ini.

Tetapi amat sayang sekali kita semua tidak ghairah untuk memperolehi pengetahuan tersebut. Ini menunjukkan bahawa kita tidak sedar betapa besarnya kurniaan yang telah terlepas dari tangan kita.

Seorang ibu tidak akan memberikan susu kepada anaknya sebelum anak menangis minta menetek. Kalau seorang manusia merasa haus, dia sendiri harus mencari air dan Tuhan pun sudah menyediakan air itu.

Bila kita sendiri tidak merasa haus, tidak ada gunanya sebuah sumber air yang memancar di hadapan kita.

Oleh itu kita harus menyedari terlebih dulu betapa ruginya kita tidak memahami ajaran Islam. Kitab Suci Allah ada bersama-sama kita, tetapi jika kita tidak tahu apa yang tertulis di dalamnya maka ia merupakan suatu kerugian yang tidak terkira besarnya. Tidak ada kerugian yang lebih besar dari itu...

Jika kita tidak mengetahui makna kalimah syahadah yang dengan membacanya kita menjadi seorang muslim, maka kita tidak akan tahu tanggungjawab yang terpikul apabila mengucap kalimah tersebut.

Jika kita memiliki sawah padi, dan sawah padi kita terbakar, betapa besarnya kerugian yang kita rasakan. Kita tahu betapa sengsaranya orang yang tidak memiliki pekerjaan. Betapa sedihnya kehilangan harta benda.

Tetapi tidakkah kita merasa sedih apabila kita tidak memahami ajaran Islam dan tidak pula mengamalkannya. Alangkah ruginya kita kalau tidak dapat mengecapi nikmat Islam ketika di dunia dan di akhirat pula terpaksa menanggung azab siksa neraka.

Moga-moga Allah memberikan jalan bagi kita untuk memperoleh kembali harta yang hilang dengan mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam dalam segenap aspek kehidupan kita.

Insya Allah dengan usaha kita yang bersungguh-sungguh, Allah akan menyelamatkan kita dari kerugian yang besar ini....

Rujukan:

Manhaj Hidup Muslim, terjemahan Fundamental Of Islam Sayyid Abul A’la Al-Maududi, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, 1985.

No comments:

Post a Comment