Sunday, June 05, 2011

Bekalan Ruhiyah Dalam Berjihad Melawan Nafsu

Sudah menjadi kebiasaan untuk kita menyediakan bekalan untuk sesuatu pertarungan. Seorang ahli tinju misalnya akan menyiapkan diri dengan latihan yang intensif dan menjaga pemakanan yang boleh memberi stamina untuk menghadapi lawan di dalam gelanggang.


Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pertarungan melawan hawa nafsu juga tidak kurang hebat dan sengit. Pertarungan dalam diri kita sendiri. Jihad melawan hawa nafsu memerlukan bekalan kekuatan untuk menghadapi keinginan dan kecenderungan agar sentiasa berada di atas kehendak syarak.


Bekalan ruhiyah yang harus dimiliki oleh seorang muslim untuk berjihad melawan nafsunya ialah:


i. seorang muslim perlu memiliki azam yang kuat, kesabaran yang kental dan kekuatan jiwa yang akan membantunya dalam jihad melawan hawa nafsunya. Meninggalkan keinginan hawa nafsu itu sangat berat, menimbulkan penderitaan batin dan jiwa yang bergejolak dahsyat sehingga memerlukan tekad yang kuat, kesabaran yang tinggi dan jiwa yang teguh untuk menghadapinya.


ii. Sentiasa bertafakur untuk memikirkan bahawa kita tidak dicipta untuk menurut hawa nafsu tetapi dicipta untuk misi yang sangat agung dan mulia yang tidak akan dapat diraih sekiranya tidak dapat mengawal hawa nafsu.


Manusia mempunyai perbezaan dibandingkan dengan makhluk yang lain. Perbezaan ini berbentuk tanggungjawab dan amanah untuk membangun, memelihara dan menjaga sesama manusia serta alam.


Manusia dimuliakan oleh Allah kerana amanah yang diberikan sebagai khalifah Allah dimuka bumi. Manusia diberi kebebasan memilih tidak seperti makhluk Allah yang tunduk dan patuh tanpa ada pilihan seperti matahari dan bintang yang bersinar serta berada di atas orbit yang telah ditetapkan Allah.


Allah memberi ganjaran yang besar berupa syurga kepada manusia yang beriman dan neraka sebagai balasan bagi mereka yang tidak beriman.


iii. Kita tidak boleh redha binatang menjadi lebih mulia daripada kita. Kita semua tahu bahawa binatang mampu membezakan antara perkara yang bermanfaat dan yang membahayakan berdasarkan naluri yang dberi Allah. Sedangkan manusia diberi akal untuk membezakan antara perkara yang baik dan buruk. Sepatutnya kita tidak membiarkan martabat diri kita jatuh lebih rendah daripada binatang yang tidak berakal apabila membiarkan diri kita mengikut dorongan hawa nafsu semata-mata.


Kalau kita perhatikan trend remaja hari ini, mereka terikut-ikut dengan budaya hedonisme yang hanya memikirkan soal keseronokan dan kepuasan nafsu tanpa mengira soal halal atau haram.


Nilai hidup sebegini tidak ubah seperti haiwan, bahkan lebih teruk lagi kerana haiwan tidak mempunyai akal. Manusia ada akal tetapi tidak digunakan, ibarat orang yang berjalan di tengah jalan yang sibuk sambil memejam mata.


Harus diingat bahawa kemuliaan manusia bergantung sejauhmana manusia mengamalkan nilai-nilai Islam. Sesunguhnya nilai-nilai Islam adalah sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Mereka yang menjauhkan diri dari Islam akan melakukan kerosakan dan menghinakan diri sendiri.


iv. Selalu membayangkan kesan buruk akibat mengikut hawa nafsu. Lihatlah sendiri, mereka yang menurut nafsu hilang kehormatan diri, mewariskan kehinaan, cacat jiwanya dan hati menjadi buta dan mati.


Firman Allah dalam Surah Al A’raaf ayat 176 yang bermaksud: “Dan kalau Kami menghendaki sesungguhnya Kami tinggikan darjatnya denagn ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurnya lidah dan jika kamu membiarkannya dia menghulurkan lidahnya juga. Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat Kami. Cerita-cerita demikian bermaksud agar manusia memikirkannya.”


v. Hendaklah menimbang keselamatan agama, harta dan kedudukan yang dimiliki dengan nikmat sebentar yang dirasai dengan mengikut hawa nafsu. Barangsiapa yang lebih mengutamakan kenikmatan sesaat dengan mengorbankan kemuliaan dan kekayaan yang dimilikinya, maka dia adalah orang yang paling bodoh dan jahil.


Sebagai contoh lelaki yang berpoya-poya dengan wanita sanggup kehabisan wang asalkan dapat memuaskan nafsu. Begitu juga orang yang melakukan jenayah rogol misalnya sanggup kehilangan kebebasan (dihukum penjara), kehilangan jawatan dan sebagainya hanya untuk melepaskan gejolak hawa nafsu beberapa minit.


Orang yang menagih dadah sanggup membiarkan dirinya menderita seumur hidup hanya kerana inginkan keseronokan dan kepuasan beberapa jam. Tidakkah kelihatan bodoh dengan membiarkan diri dikuasai hawa nafsu???


vi. Hendaklah menyedari bahawa seorang yang menuruti hawa nafsu sama sekali tidak layak untuk menjadi pemimpin yang ditaati sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia.” Ibrahim berkata, “ Dan saya mohon juga dari keturunanku.” Allah berfirman, “Janji-Ku ini tidak meliputi orang-orang yang zalim.”. (Surah Al Baqarah ayat 124)


Orang yang menuruti hawa nafsunya adalah termasuk orang-orang yang zalim. Allah melarang kita mentaati mereka sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Janganlah kamu mentaati orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami dan menuruti hawa nafsunya. Dan keadaannya itu melewati batas.” (Surah Al Kahfi ayat 28


vii. Menyedari bahawa punca segala permusuhan, kejahatan dan kedengkian adalah disebabkan dorongan hawa nafsu. Oleh itu barangsiapa yang melawan hawa nafsu bererti ia menyelamatkan hati, anggota tubuh badannya serta menyelamatkan hati, fizikal dan seluruh anggota tubuh orang lain.


Abu Bakar Al Warraq berkata: “Jika hawa nafsu menguasai maka hati akan menjadi gelap. Jika hati menjadi gelap maka akan menyesakkan dada. Jika dada menjadi sesak, maka akhlaknya akan rosak. Jika akhlaknya rosak maka masyarakat akan membencinya dan iapun membenci mereka."


Kita boleh lihat sendiri betapa parahnya kerosakan dan kehancuran yang diakibatkan oleh kebencian dan permusuhan yang terjadi di tengah umat manusia. begitu juga peperangan yang berlaku demi untuk memuaskan nafsu pemimpin negara kuasa besar telah menyebabkan ramai orang awam terkorban.


viii. Sedarilah bahawa hawa nafsu merupakan dinding yang mengelilingi neraka jahanam sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Syurga dikelilingi oleh bermacam kesulitan dan neraka dikelilingi oleh berbagai macam kesenangan.” (HR Bukhari dan Muslim)


Sekiranya seseorang itu sentiasa menuruti keinginan hawa nafsunya, bererti ia merobohkan dinding yang melindunginya dari api neraka, sehingga ia pasti akan terjerumus di dalamnya.


ix. Jika kita merenungi sebuah hadis Rasulullah (HR Bukhari) mengenai tujuh golongan yang mendapat naungan dari Allah pada hari Kiamat, yang mana tiada naungan pada hari itu melainkan naungan Allah ternyata mereka adalah orang yang berjaya melawan hawa nafsunya sepertimana berikut:-


a. seorang pemimpin yang adil (orang yang berjaya mengawal nafsu supaya berlaku adil tidak mengira saudara sendiri, kaum kerabat atau sahabat handai, kaya atau miskin, golongan atasan atau rakyat biasa )


b. Seorang pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah (hanya mereka ada kekuatan untuk melawan nafsu sahaja yang mampu bertahan dalam melaksanakan ibadah kepada Allah sejak akil baligh tanpa cuai)


c. Seorang lelaki yang hatinya sentiasa terpaut untuk pergi ke masjid (seandainya dia tidak mampu menguasai hawa nafsu maka tidak mungkin dia dapat berulang alik ke masjid melaksanakan solat jemaah dan menghadiri majlis ilmu di masjid secara berterusan).


d. Seorang yang memberi sedekah di mana tangan kiri tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanan (orang yang ikhlas dalam melaksanakan amal kebaikan seperti bersedekah secara tersembunyi, sesungguhnya telah berjaya mengenepikan tuntutan hawa nafsu yang menginginkan habuan dunia, publisiti, pujian, pangkat kebesaran dan sebagainya)


e. Seorang lelaki yang menolak ajakan wanita cantik dan berkedudukan untuk melakukan zina seraya berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah.” (andainya lelaki seperti ini tidak mampu menundukkan hawa nafsu, mana mungkin mampu menolak tawaran hebat seperti ini?)


f. Dua seorang sahabat yang menjalin persahabatan kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Allah(seandainya mereka tidak mampu mengawal hawa nafsu, sukar untuk mereka mempertahankan hubungan baik atas dasar kasih kerana Allah)


g. Seorang yang berzikir mengingati Allah ketika bersendirian, hingga berlinangan air mata (keimanan seperti ini tidak mampu dicapai oleh orang yang selalu mengikut dorongan hawa nafsu).


Semoga kita termasuk dalam golongan yang mampu menundukkan hawa nafsu dan meraih kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Di samping itu kita juga berharap Allah memberi kekuatan kepada kita agar segala amal kebaikan yang kita lakukan dapat dilaksanakan secara berterusan sehingga ke akhir hayat kerana ia merupakan kunci keselamatan kita di dunia dan akhirat.


Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

No comments:

Post a Comment