Saturday, November 06, 2010

Khalifah Umar bin Abdul Aziz

Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah seorang khalifah yang paling zuhud, wara’ dan soleh setelah 4 Khulafaur Rasyidin. Beliau memerintah negara Islam selama 2 tahun 5 bulan saja dan wafat pada umur 39 tahun sebab diracun oleh pembesar-pembesar Bani Umaiyyah.

Suatu hari Khalifah Umar bin Abdul Aziz sangat ingin memakan buah epal, tetapi tidak mempunyai wang untuk membelinya, kerana semua hartanya dan harta keluarga telah beliau berikan kepada Baitulmal ketika menjadi khalifah. Lalu ada seseorang dari kaum keluarganya menghadiahkan buah epal dan dihidangkan kepada Khalifah Umar oleh Amru bin Muhajir.


Tiba-tiba beliau berkata: “Alangkah wangi dan bagusnya epal ini. Wahai anak muda, angkat epal ini dan pulangkan kepada orang yang membawanya. Sampaikan salam kepadanya, sesungguhnya hadiahnya telah sampai kepadaku ketika aku sudah tiada selera untuk makan epal.”


Amru bin Muhajir tahu bahwa Khalifah bertindak demikian kerana wara’nya. “Wahai Amirul Mukminin! Dia adalah sepupumu dan masih ahli keluargamu, sedang engkau telah mendengar bahwa Rasulullah saw mau menerima hadiah,” kata Amru.

“Celaka engkau, sesungguhnya hadiah bagi Rasulullah saw memang hadiah. Akan tetapi hadiah pada hari ini bagi kami adalah merupakan rasuah,” kata Khalifah Umar.

Diceritakan bahwa suatu ketika Khalifah Umar bin Abdul Aziz sedang berada di pejabat untuk kerja resmi kerajaan. Keadaan ruangan sangat gelap hingga terpaksa memasang lampu pelita. Seseorang datang dan masuk pejabat Khalifah setelah diizinkan. Tiba-tiba Umar memadamkan api pelita itu, maka beliau bercakap dengan tamunya dalam keadaan gelap, membuat orang lain kehairanan.

“Mengapa Amirul Mukminin melayani tamu dalam keadaan gelap?” tanya seorang pegawai Khalifah.

“Yang datang tadi itu adalah keluargaku. Dia datang kepadaku kerana ada urusan peribadi, sedangkan lampu pelita adalah milik negara. Oleh sebab itu, ketika aku berbicara masalah pribadi, aku padamkan lampu tersebut kerana tidak mahu terpakai milik negara.” kata Umar bin Abdul Aziz.


Lihatlah betapa amanahnya seorang pemimpin Islam pada waktu itu. Beliau tidak menggunakan kedudukannya sebagai Khalifah untuk kepentingan sendiri atau kaum keluarga dan sahabat malah apa yang beliau ada disedekahkan ke Baitulmal.

Pengajaran:

i. Pemimpin yang baik dan adil tidak disukai oleh mereka yang mencari peluang untuk mendapat habuan melalui jalan yang tidak syarak seperti rasuah, pecah amanah dan sebagainya.

ii. Sifat taqwa Khalifah Umar menyebabkan baginda sangat berhati-hati agar tidak melakukan sesuatu yang syubhah. Apatah lagi perkara yang jelas haram, sudah pasti dielakkan.

iii. Sifat amanah Khalifah Umar tidak mengira samada kepada rakyat biasa atau kaum keluarga sendiri.

Sumber:

http://mypersonalpages.wordpress.com/2008/06/23/kisah-teladan-dari-khalifa-umar-bin-abdul-aziz/

No comments:

Post a Comment