Wednesday, November 24, 2010

Berinteraksi Secara Positif Dengan Anak-Anak

Ibu bapa yang bersedia mendengar perkataan atau pandangan anaknya bererti menghargai dan mendengar buah fikiran mereka. Anak-anak akan merasa diberi perhatian dan penghargaan. Ia akan belajar menghormati dan menghargai buah fikiran atau pendapat bapanya dan akan taat kepadanya. Selain itu anak-anak akan percaya kepada diri sendiri. Perasaan ini akan membuatkan anak-anak memiliki kemampuan yang lebih banyak dan lebih luas dalam berinteraksi dengan suasana atau peristiwa yang berlaku disekitarnya.

Perkara penting yang perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah:
i. Hendaklah mendengar apa yang dikemukakan oleh anak-anak.
ii. Hendaklah menjauhi daripada mengkritik atau kata-kata keras yang melukai perasaan anak dan yang mematikan kreativitinya.

Ibu bapa dituntut agar menjauhi kata-kata dan ungkapan yang dapat menimbulkan pertengkaran dan permusuhan. Iaitu seruan dengan menggunakan kata-kata yang menyingggung perasaan anak-anak, hingga hal itu dipendamkan dalam hati dan sangat sulit untuk dilupakan bagitu sahaja.

Kadangkala ibu bapa menggunakan ancaman, ugutan dan peringatan tanpa menimbang risiko dan pengaruh dari sikapnya terhadap jiwa dan diri anak-anaknya. Ia tidak segan mengatakan: "Jika kamu tidak berhenti .... maka aku tidak akan memberi wang belanja."

Seringkali juga ibu bapa menuduh anak-anak tanpa ada alasan yang kuat seperti: "Kamulah punca segala masalah yang timbul selama ini... Aku tahu perangaimu.."

Adakalanya ibu atau bapa menjerit kepada anak-anaknya: "Diam! Dengar kata-kataku.."

Adegan-adegan di atas tidak lain merupakan penghinaan, makian dan peringatan. Ancaman, jeritan atau kata-kata yang keras akan menanam sesuatu yang amat pahit ke dalam fikiran anak-anak. Meninggalkan satu sifat yang negatif bagi kehidupan masa depan mereka.

Seharusnya ibu bapa berbincang, mendengar idea-idea dan perkataan anak-anaknya. Untuk mendidik anak-anak agar tidak mengeluarkan kata-kata yang negatif atau menyakitkan hati terhadap ibu bapa maka ibu bapa perlu elakkan daripada menggunakan perkataan atau nada menyerang dan mengkritik, menyakitkan hati dan menyinggung perasaan anak-anak.

Suasana kasih sayang dalam sesebuah keluarga dapat menarik anak-anak untuk lebih dekat, akrab dan nyaman berada di sisi ibu bapa. Keadaan ini akan menambah kecenderungan mereka untuk berfikir dan bertindak secara tenang.

Seseorang ibu atau bapa dalam memberi arahan dan saranan kepada anak-anak perlu menanam rasa tanggungjawab pada peribadi anak-anak mereka. Biarlah apa yang dilaksanakan oleh anak-anak lahir daripada perasaan yang bertanggungjawab dan tidak merasakan seperti dipaksa. Oleh itu perlu dikemukakan rasional atau alasan mengapa sesuatu perkara itu perlu dilakukan atau ditinggalkan.

Apabila perasaan bertanggungjawab itu lahir maka akan hilanglah sifat negatif pada diri anak-anak seperti sikap acuh tidak acuh, "ini bukan urusanku", lari dari tanggungjawab dan sebagainya.

Anak-anak sebenarnya suka jika ibu bapa menanam rasa tanggungjawab dan batasan yang jelas mengenai kewajipan di dalam hati mereka. Anak-anak perlu didik dan dilatih dari kecil sehingga ia menjadi satu kebiasaan yang baik.

Anak-anak lebih terpengaruh dengan tindakan atau contoh teladan yang ditunjukkan oleh ibu bapa. Oleh itu sekiranya ibu bapa inginkan anak-anak bersikap dengan sikap yang baik maka ia perlu terlebih dahulu menunjukkan sikap yang baik terhadap anak-anaknya.

Rujukan:

A. Mohd Azwar, Petua Membentuk Anak Pintar dan Kreatif, Jasmin Enterprise, Kuala Lumpur, 2000.

No comments:

Post a Comment